2. Dahulu di sekitar Kampung Dusun Buluh banyak bendang padi diusahakan seperti di Becah Kua, Kubang Tebit, Kerawang juga di Kampung Dusun Buluh sendiri. Yang paling luas ialah di Kerawang hingga bersambung ke kawasan Pulai Chondong, Kampung Pangkal Gong, Kampung Bukit juga hingga kekaki Bukit Buloh juga Kampung Pangkal Nering. Tetapi sejak dua tiga dekat kebelakangan disebabkan aktiviti kuari batu yang sejak sekian lama maka aliran air yang mempunyai debu dan butiran batu halus masuk ke sawah padi menyebabkan kerosakan struktur tanah menjadi keras dan tidak sesuai lagi untuk ditanam padi.
3. Pendek kata dahulu tidak perlu ada saliran tali air untuk tanam padi cukup dengan air musim hujan tetapi hanya ditanam satu tahun sekali. Jika yang tidak mempunyai bendang padi mereka akan usahakan padi huma yang ditanam ditanah biasa yang tiada air iaitu dengan menugal padi. Dahulu setiap inci tanah diusahakan tidak terbiar kosong dipenuhi dengan tanaman yang menjadi sumber ekonomi dan makanan penduduk. Kita sebagai budak pada waktu itu memang suka menyelusuri setiap tempat dalam kampung kerana banyak mempunyai kebun, tiada semak samun dan kelihatan bersih dan terjaga.
4. Namun banyak juga beras import dari negara Siam boleh dibeli dikedai kedai yang kualiti berasnya bagus terutama kepada peniaga kedai nasi. Dahulu beras dijual runcit mengikut ukuran cupak. Kadang kadang ada dijual sacara timbangan kati. Jika beras siam yang dijual dikedai diletakkan dalam guni besar yang dipanggil guni jalur. Berat beras untuk satu guni mungkin satu pikul atau mungkin bersamaan 100 kilogram sekarang atau mungkin juga 100 kati. Dahulu beras dibeli dalam jumlah yang sedikit oleh pembeli mengikut kemampuan dalam satu cupak atau segantang. Jika segantang lebih kurang 6 kati dan harga lebih kurang 3 ringgit segantang. Ini bermakna 50 sen sekati iaitu dalam setengah cupak lebih sedikit. Kesimpulannya secara kasar dahulu tahun 70an harga beras 1 kilogram lebih kurang 70 ke 80 sen. Jika 5 kilogram harga bawah 4 ringgit (pengiraan kasar sahaja mungkin betul mungkin salah).
5. Dahulu jika dirumah sudah ada beras untuk dimasak untuk beberapa hari sekeluarga dan membeli dengan tidak berhutang maka sudah dikira mereka bukan lagi orang miskin kerana jika miskin pada kebiasaannya mereka akan berhutang beras samada dikedai atau lainnya. Waktu itu beras bolehlah diukur status ekonomi keluarga. Jika ada beras dirumah maka kelangsungan hidup lebih terjamin. 

No comments:
Post a Comment