Wednesday, January 25, 2012

Sarang Kerengga

Sarang kerengga biasanya terletak diatas pokok yang diperbuat dari daun pokok tersebut. Kerengga tidak seperti semut lain yang membuat sarang tidak diatas pokok dimana biasanya bahagian atas tanah. Apapun kerengga ini cuma akan jadi ancaman bila tiba musim buah kerana kesukaran untuk kita memanjat pokok seperti pokok duku, jambu, rambutan dan lainnya. Jika kita diserang selain digigit kerengga tersebut akan mengeluarkan sejenis cecair yang apabila terkena pada mata akan terasa pedih. Disebabkan jumlah mereka ini banyak maka jumlah cecair yang dipancarkan akan cepat mengena sasaran. Pernah juga diceritakan kerengga akan bertelur yang berwarna cerah keputihan dan telur tersebut ada yang memakannya. Sukar juga untuk membayangkan akan hal tersebut kerana kita sedari zaman bebudak tidak pernah memakannya dan apa khasiatnya tidak pula diketahui.

Wednesday, January 18, 2012

Buah Getah Berani

Buah getah pun ada yang berani dan ada yang penakut. Jika yang berani itu maksudnya yang kuat dan menang jika diperlagakan antara satu sama lain. Teringat juga diawal tahun 70an buah getah dikutip dan dikumpul banyak-banyak kononnya dapat dijual dan akan dibeli oleh seseorang tapi tidak diingat pula siapa yang membeli dan berapa kadar harganya kerana tidak dialami oleh diri sendiri sendiri cuma sempat juga mengumpulnya. Ini terjadi kerana kononnya waktu tersebut harga getah mahal dan pokok-pokok getah perlu ditanam dalam kuantiti yang banyak.

Wednesday, January 11, 2012

Batang Pisang

Batang pisang seperti ini yang telah siap dipotong-potong atau dicincang dengan menggunakan parang atau sadak adalah untuk dijadikan makanan lembu. Biasanya lembu jika lapar akan suka makan batang pisang ini. Walaupun adakalanya tidak dapat dihabiskan sebatang tapi cukuplah untuk mengenyang sementara lembu tersebut terutama jika dimusim bah yang sukar dicari rumput yang tempatnya banyak ditenggelami air. Untuk menyelerakan lagi lembu tersebut makan bolehlah direnjis-renjis dengan air garam atau sebarang air yang rasanya masin. Inilah antara aktiviti masa budak yang ada pengalaman sedikit memelihara lembu kampung dua tiga ekor. Walaupun kita budak-budak sibuk dengan pelbagai aktiviti seperti bermain, sekolah dan menolong ibu bapa sempat juga melayan memberi makan lembu yang dipelihara walaupun kadang-kadang ada ketikanya terlepas pandang memberi makan atau mengalih lembu tersebut.

Wednesday, January 4, 2012

Bah

Pada 1 Jan 2012 sempena tahun baru Masehi sekitar Pulai Chondong telah dinaiki air bah. Jalan yang tidak boleh dilalui ialah di Pengkalan Kunyit dan Jalan di Pangkal Perahu. Walau bagaimana pun ianya cuma beberapa jam sahaja terputus hubungan laluan sekitar pagi dan menjelang petang sudah boleh dilalui. Untuk ke Kampung Dusun Buluh perlu melalui jalan Kok Lanas Kemubu. Musim ini sudah dua kali dinaiki air dan biasanya air akan naik sebanyak tiga kali barulah berakhir musim bah dikawasan ini. Foto adalah kejadian bah dijalan Pangkal Perahu ke Kerawang sekitar jam 1030 pagi.