Featured Post

Ikan

Suatu masa dahulu ketika memancing tepi sungai Pengkalan Kiat ikan yang paling senang dapat ialah ikan belukur. Kadang dapat ikan tilam. Ada...

Sunday, November 28, 2010

Pejabat Pos Pulai Chondong

Pejabat Pos ini terletak ditepi jalan Pulai Chondong. Berhadapan pula dengan Klinik Kesihatan Pulai Chondong. Ia dibina sekitar tahun 1970. Dahulu jika ada apa-apa kawat yang hendak dihantar menggunakan telegram melalui Pejabat Pos.. Ia seperti khidmat SMS sekarang. Diwaktu itu jika terima telegram biasanya berita yang tidak baik seperti ada kematian, sakit juga mohon datang bertugas semula walaupun masih dalam cuti. Masa itu dipejabat pos boleh menyimpan wang dengan membuka akaun dengan simpanan minima RM1. Tujuan dibuka bagi orang dewasa kerana ingin terima kiriman wang dari anak-anak yang bekerja diluar Kelantan. Bagi budak sekolah pula untuk belajar menyimpan seperti bila dapat wang biasiswa sekolah. Masa tersebut jika dalam buku simpanan terdapat sepuluh dua puluh ringgit pun sudah dikira banyak dan seronok. Buku akaun simpanan pejabat pos adalah buku akaun pertama daku yang pernah dibuka. Buku itu sentiasa dilihat setiap waktu terluang dan disimpan rapi.

Friday, November 26, 2010

Freewheel

Alat ini dipanggil dalam bahasa asal iaitu freewheel. Alat ini jarang rosak tapi jika rosak kos untuk menukar agak tinggi dan jika boleh diperbaiki boleh menjimatkan kos. Apa yang perlu diganti mungkin bebola sahaja. Walaubagaimanapun jika rosak ia cuma tidak dapat berfungsi iaitu tidak free. Basikal masih dapat berfungsi cuma tidak selesa sahaja dan mungkin merbahaya jika membrek mengejut. Jadi jika kurang bajet tidak perlu ditukar.

Monday, November 22, 2010

Origami

Dahulu nama atau istilah origami ini kita pun tidak tahu sebenarnya. Tapi dari segi membuatnya memamglah kita berminat juga. Sebab modalnya cuma kertas buku latihan sekolah dan surat khabar. Rasanya cuma tiga jenis ini sahaja yang popular dan senang dibuat iaitu perahu, topi atau songkok dan kapalterbang. Songkok mesti dibuat dengan surat khabar sebab saiznya yang besar. Songkok ini bila siap dibuat bolehlah digunakan untuk bersolat di Madrasah kerana dahulu untuk mempunyai songkok hitam sebenar jarang yang mampu cuma mampu melihat yang tergantung dipenyangkut didinding kepunyaan orang dewasa.


Tuesday, November 16, 2010

Projektor Wayang Gambar

Inilah contoh sebuah projector wayang gambar yang digunakan sekitar awal tahun 70an. Dahulunya di Kampung Mata Ayer ada sebuah panggung wayang yang diperbuat dari kayu. Tempat duduknya juga dibuat dari kayu (kudda) dimana dibahagian belakang lebih tinggi dari bahagian depan. Projektor ini pula ditempatkan disatu bilik khas. Setiap pertunjukan ada dua projektor silih berganti akan dipasang. Projektor ini berbeza dengan projektor wayang gambar jabatan penerangan (publik lesen) yang mana ianya lebih kecil. Panggung wayang ini kepunyaan ayah kepada Awang tuan punya kedai di Mata Ayer yang berbangsa cina. Bagaimana pun panggung wayang ini sudah lama tiada yang jaraknya 250 meter kehilir kedai Mek Baru ditepi jalan tepi sungai. Harga tiket masa tersebut dikenakan 35 sen sahaja.

Tuesday, November 9, 2010

Kad Gambar


Inilah agaknya model kamera yang digunakan untuk tangkap gambar disuatu masa dahulu. Masih diingati bila meningkat kepada umur 12 tahun kena buat kad pengenalan . Sebelum pergi ke Pejabat Pendaftaran di Machang kenalah ambil gambar saiz paspot. Juru gambarnya datang kerumah disuatu petang. Jadi tidak perlu kekedai gambar. Jika dikedai gambar siap dipasang lampu yang bersesuaian untuk mendapat foto yang bermutu. Jika dirumah maka diambil diluar rumah dan latar belakangnya pula ialah kain berwarna putih (cerah). Bila dicari yang terjumpa dan agak sesuai ialah kain selimut. Maka dipegang pula oleh seseorang dibelakang dan gambar pun ditangkap (pukul). Juru foto hanya perlu melihat bahagian atas kamera dan ditutup dengan tangan sedikit untuk melihat imej  supaya jelas dan baru di klik. Apabila  siap gambar tersebut apabila diperhatikan sambil lalu tiada apa yang tidak beres tapi yang agak ketara yang kurang kemasnya  ialah kain latar belakangnya nampak berkedut tapi tidak ketara sebab gambar hitam putih.

Friday, November 5, 2010

Ular Lidi

Ular lidi ialah sejenis ular yang selalu dijumpai tidak kira dimana samada ditepi jalan kecil, dibelakang rumah, diatas batas dan lainnya. Walaupun ia tidak merbahaya dan saiznya yang kecil tetapi apabila ia melintas dihadapan kita membuat rasa terkejut. Inilah jenis ular yang banyak terdapat dikampung masa budak-budak. Antara ular yang biasa dijumpai seperti tudung selar yang berbelang kuning hitam, ular kapak walaupun kecil tetapi berbisa, ular daun yang biasanya berada diatas pokok dan tidak akan bergerak walaupun tahu kita ada dibawahnya. Jika disungai dan pandai berenang dipanggil ular air. Ada juga mendengar cerita ular yang bunyinya macam ayam berkokok tapi biasanya berkokok dimalam hari. Jika ular sawa biasanya akan memakan ayam didalam gok (reban). Kadang-kadang juga ada berjumpa dengan bekas kulit ular yang bersalin kulit di dalam ghok (belukar). Begitu juga kita tahu dimana ada tempat kediaman ular bila terdapat lubangnya seperti dipangkal pokok dan ditepi batas. Pendek kata ular binatang yang tidak diminati dan dikira mengganggu aktiviti budak-budak dan dianggap menakutkan serta menandakan perkara tidak baik (negatif).

Wednesday, November 3, 2010

Sisir


Sisir atau sikat jenis ini popular masa dahulu. Setiap rumah dipercayai mesti ada sisir jenis ini. Kegunaannya ialah akan disisir kerambut untuk menjatuhkan kutu (gutu) biasanya akan diletakkan kertas berwarna putih dihadapan tempat gutu jatuh dan senang nampak untuk ditangkap. Bila ditangkap akan diletak atas kuku ibu jari dan gunakan satu lagi ibu jari dengan memenyet kutu tersebut. Yang menariknya apabila memenyet akan mengeluarkan bunyi. Pendek kata dengan cara ini senang untuk dapat gutu. Sekarang agak jarang pula kita melihat alat ini mungkin sekarang orang sudah tidak menghadapi masalah gutu.