Monday, August 29, 2011

Salam Idulfitri

Disini daku mengambil kesempatan mengucapkan salam idulfitri kepada semua pengunjung.  Jika dahulu dibulan Ramadhan kita budak-budak merasa ianya agak panjang. Ini mungkin kerana kita sangat tidak sabar-sabar menunggu ketibaan hari raya. Tambahan pula baju raya biasanya dibeli awal bulan. Jadi setiap malam sebelum tidur akan tetap setia melihat baju seluar tersebut dan sekali sekala akan mencubanya. Kemeriahan hari raya ini sebenarnya dapat dirasakan sebermula bulan Ramadhan lagi dan kemuncaknya pada hari raya pertama. Hari raya pertama dan kedua dikira meriah. Selepas dua hari tersebut kemeriahannya pun seakan berlalu pergi lagi pun sudah tiada baju baru yang hendak dipakai dan makanan utama pun sudah dihabiskan.

Monday, August 22, 2011

Tanah Perkuburan Islam Kampung Bagan


Tanah Perkuburan Islam ini terletak di Kampung Bagan. Kawasannya juga agak luas merangkumi lebih dari 3 ekar dan terletak tidak jauh dari tepi Sungai Kelantan. Jarak dari jalan raya kesini pula tidak sampai 1 km. Bagi penduduk Kampung Dusun Buluh pula jika ada kematian akan disemadikan di Kubur Kampung Surau Kerawang. Jadi tanah perkuburan ini bagi daku tidaklah banyak maklumat yang dapat diberikan kerana ia agak jauh dari Kampung Dusun Buluh dan tiada saudara mara yang disemadikan disini.

Monday, August 15, 2011

Kakitangan SMAS

Mereka ini adalah kakitangan selain dari tenaga pengajar Sekolah Menengah Abdul Samad (SMAS). Mereka juga bertindak sebagai kakitangan keselamatan sekolah. Masa itu kita memanggil mereka ini pakcik sahaja. Dua dari mereka ini memang dikenali dan jika berjumpa di Kedai Pulai Chondong selalu juga bertegur sapa. Tugas utama antara mereka ini ialah bekerja dan berada dikawasan sekolah pada waktu malam untuk mengawal keselamatan. Pernah juga suatu ketika daku mencuba lampu yang mereka bawa untuk berkawal yang berbentuk
empat segi warna kuning dan bila menyuluh kesesuatu arah ianya amat terang dan tajam cahaya suluhannya. Apa pun nama-nama mereka sudah tidak diingati lagi dan tidak tahu bagaimana keadaan mereka sekarang.

Sunday, August 7, 2011

Pakcik Ya

Pakcik Yar ini berasal dari Pengkalan Kiat Kampung Dusun Buluh. Bapa beliau ialah Pak Sar atau Mustafa dan ibunya Mak Sar. Sekarang beliau tinggal menetap di Bandar Putra Mahkota Bangi Selangor lebih setahun yang lalu. Sebelum itu beliau tinggal di Keramat Kuala Lumpur. Beliau berhijrah ke Kuala Lumpur sekitar hujung tahun 60an. Beliau semasa di Pengkalan Kiat hanya tinggal semasa bersekolah rendah sahaja. Semasa sekolah menengah belajar di Kota Bharu kemudian di Pasir Mas dan juga Pasir Putih sekolah Kamil. Dahulu beliau mengatakan pernah bersekolah secara menumpang sahaja. Maksud menumpang ialah bersekolah disitu tapi tidak berdaftar sebagai pelajar cuma masuk kelas dan untuk ambil peperiksaan sahaja. Tapi mesti pakai pakaian seragam seperti pelajar lain. Beliau sempat menumpang belajar diketiga-tiga sekolah seperti disebutkan. Dahulu perkara ini dibenarkan terutama jika mengenali guru yang mengajar disekolah tersebut. Sekarang beliau bersama isteri Makcik Ani sudah dapat menyesesuaikan diri tinggal disana disamping ada anak-anak dan cucu-cucu yang tinggal berdekatan.

Monday, August 1, 2011

Membuat Ragi

Bahan-bahan adalah seperti:

1. Lada Benar 2. Bawang Putih 3. Halia 4. Lada Burung 5. Lengkuas 6. Bunga Cengkih 7. Adah Manis (macam padi) 8. Jintan Putih 9. Cabang Bunga 10. Belaga Hendi 11. Kulit Kayu Manis 12. Adah Pedas 13. Akar kayu manis

Cara membuatnya:
Beras hendaklah ditumbuk menggunakan lesung tumbuk padi selepas itu hendaklah ditapis menggunakan penapis. Semua rempah ratus seperti dinyatakan perlu dimesin. Selepas itu masukkan air bertapis kedalam beras yang telah ditumbuk tadi dan
gaul dengan air tersebut. Setelah agak keras tepung tersebut dan ianya bolehlah dibulatkan menggunakan tangan dan dileperkan seperti bentuk ragi dan diletakkan didalam dulang seperti difoto.Selepas itu taburkan debu ibu ragi yang telah jadi tepung dengan ditumbuk dalam lesung iaitu ragi yang dibuat khas yang saiznya agak besar dengan ditabur atas tepung yang telah dibentuk jadi ragi tadi. Bila telah siap hendaklah ragi yang didalam dulang biru tadi diletak dalam kelambu selama 2 malam. Selepas itu jemur pula ditempat teduh pula 2 hari. Selepas itu dijemur pula dipanas matahari selama 3 hari pula. Kemudian ragi yang telah siap itu mesti dicuba untuk membuat
tapai. Jika telah berjaya baru lah boleh dijual dan sedikit daripadanya disimpan untuk dibuat ibu ragi.Serba sedikit maklumat ragi:

Ragi adalah bahan utama untuk menbuat tapai. Keunikan ragi ia tidak diperbuat dari gula tapi apabila menjadi tapai ia adalah manis. Untuk satu cupak beras hanya memerlukan sekeping lebih atau dua tiga keping ragi sahaja tapi apa yang pelik bagaimana secupak beras boleh menjadi manis. Inilah kelebihan ragi yang bahannya dari rempah ratus. Sebenarnya didalam rempah tersebut telah tersimpan bahan manis yang terdapat dalam masakan kita.
Bahan dan foto serta resipi membuat ragi ini disediakan oleh pembuat ragi yang bernama Awang Yang dan salah seorang penduduk Kampung Dusun Buluh yang telah menjalankan aktiviti ini berbelas tahun dahulu yang mana sebelum ini diusahakan dikampung isterinya didaerah Pasir Mas Kelantan. Beliau suami isteri mengusahakan membuat ragi ini. Membuat ragi ini memerlukan kepakaran dan faktor kebersihan juga amat perlu dijaga untuk menjamin mutu ragi dimana dikawasan rumah tidak boleh membela binatang ternakan seperti ayam dan sebagainya. Beliau juga menyatakan membuat ragi ini agak memenatkan memandangkan umur pun telah meningkat. Sekarang disamping membuat ragi beliau sentiasa mendapat tempahan tapai dalam kuantiti
yang banyak dari mereka yang akan mengadakan majlis kenduri. Oleh itu jika teringin memakan tapai pergilah kerumahnya dihujung Kampung Dusun Buluh sempadan Kampung Mata Ayer kerana biasanya setok tapai sentiasa ada.