Wednesday, December 28, 2011

Padang Wau Kerawang 4

Sekarang padang wau ini sudah tidak kelihatan seperti dulu lagi. Dimana kini sesetengah kawasan telah berpagar dawai duri dan ditanam pelbagai tanaman seperti sayuran. Terdapat juga dibina tempat takungan air yang besar mungkin sebagai tempat menyimpan air siraman tanaman. Apa pun tempat ini telah tersimpan sejarahnya yang tersendiri dimana pernah terkenal terutama bagi kami penduduk berhampiran dengan Kampung Kerawang. Tempat ini juga jika selepas mengetam padi adalah tempat pertama ditempuh atau dilalui untuk mencari belalang kunyit diwaktu malam. Belalang ini banyak terdapat di batang padi dan tidak terbang dan senang ditangkap. Belalang ini pula boleh dijadikan bahan makanan.

Wednesday, December 21, 2011

Padang Wau Kerawang 3

Suasana pertandingan wau diwaktu petang disini diberi tumpuan keatas wau-wau yang akan masuk bertanding mengikut giliran. Jumlah berapa pusingan wau dapat dipertandingkan bergantung kepada jumlah peserta yang akan masuk bertanding. Bagi peserta pula tujuan mereka bertanding adalah untuk menang. Jadi faktor untuk menang ialah bergantung kepada jenis wau dan kelajuan angin. Jenis wau maksudnya peserta kena pandai dan tahu wau ini sesuai dengan kekuatan angin. Ini bermakna setiap wau direka bentuk dengan sayap dimana ada yang lembut dan keras sesuai dengan kelajuan angin. Wau yang sayap lembut dapat naik tinggi dan seimbang walaupun anginnya tidak kuat dan jika angin kuat digunakan wau bersayap keras. Apabila wau dinaikkan maka semua mata tertumpu kepada belasan wau yang dinaikkan. Untuk menggantikan "stop watch" digunakan satu alat dari tempurung kelapa yang ditebuk dan dimasukkan kedalam baldi berisi air dan bila tempurung tenggelam maka ditiupkan wisel menandakan tali setiap wau perlu diukur ketinggiannya dengan menggunakan satu alat yang diperbuat dari kayu pembaris. Mana-mana tali wau yang ukuran paling tinggi dikira pemenang. Dahulu budaya pertandingan permainan tradisional sudah dikira satu kemestian ketika tiba musimnya. Apa saja yang boleh dipertandingkan akan dianjurkan kerana inilah salah satu cara peduduk beraktiviti,berhibur dan bersosial antara satu sama lain dan yang terlibat tidak mengira peringkat umur. Kita bebudak tidak melepas peluang turut serta memeriah suasana.

Tuesday, December 13, 2011

Padang Wau Kerawang 2

Padang ini semasa diadakan pertandingan wau kelihatan ramai pengunjung samada yang ingin bertanding, melihat atau juga berjual makanan. Bagi yang bertanding ianya datang dari seluruh negeri Kelantan dan juga dari Thailand. Jenis wau yang dipertandingkan ialah Wau Daun kerana wau jenis ini dapat naik menegak dan dapat mengekalkan ketinggian dalam kadar masa yang agak lama sesuai dengan masa yang ditetapkan dalam undang-undang pertandingan. Jumlah wau yang masuk bertanding jumlahnya melebihi 10 wau biasanya 12. Kita bebudak apa yang diingati hanya meramaikan pesta tersebut dan bila tamat pertandingan maka kita akan mula membuat wau sendiri setelah mempelajari sedikit sebanyak selok belok teknologi membuat wau ditempat ini.

Tuesday, December 6, 2011

Padang Wau Kerawang 1

Padang wau ini terletak di Kampung Kerawang yang jaraknya lebih kurang 300 meter dari tepi jalan utamanya. Jika dahulu tapak permainan wau ini merupakan satu kawasan yang luas dan lapang. Ianya juga boleh dimasukki oleh kenderaan seperti kereta. Dipadang ini akan diadakan pertandingan wau selepas musim mengetam padi diwaktu petang dan menjadi acara tahunan. Tempat ini mungkin satu-satunya padang pertandingan wau di sekitar Pulai Chondong.