Featured Post

Ikan

Suatu masa dahulu ketika memancing tepi sungai Pengkalan Kiat ikan yang paling senang dapat ialah ikan belukur. Kadang dapat ikan tilam. Ada...

TERINGAT

11.    Kereta Mainan. Ketika satu tahun  sebelum bersekolah rendah permainan yang selalu diingati ialah bermain kereta mainan bersaiz kecil. Cara kereta kereta itu dimainkan ialah dengan melakarkan atas lantai kayu rumah dengan kapor putih jalan raya yang mempunyai simpang simpang. Para pemain pula tiga empat orang menggerakkan kereta mainan itu diatas jalan yang dilukis tadi. Jika ada simpang kena berhenti lihat kiri kanan. jika tiga empat orang bermain lalu lintas kereta agak sibuk kerana  sibuk menjalankan kereta masing masing siap membunyikan kereta dengan suara mulut. Itulah permainan budak dahulu yang agak menarik dan sentiasa diingati. (190621)
 
10.    Berembah. Berembah ialah sejenis seni mempertahankan diri. Budak-budak jika diwaktu sekolah kalau kebetulan hari tersebut berbalah  tidak akan berembah dikawasan sekolah dan akan berjanji sewaktu balik sekolah. Berembah ini sama macam gusti. Rasanya budak lelaki berembah adalah perkara biasa pada yang ingin menunjukkan kekuatan masing-masing atau jika disakiti. Berembah ini agak selamat dari bergocah  kerana ia boleh dikawal dan tidak menggunakan senjata cuma mempamirkan kekuatan fizikal semata-mata. Jadi siapa yang berbadan besar ada kemungkinan akan menang.(30/07/12)

9.    Tuaat. Penyakit kulit yang biasa dihidapi oleh budak-budak ialah tuaat. Ia biasanya tumbuh ditangan atau bahagian jari. Ia boleh membesar jika tidak diubati walaupun pada awalnya kecil sahaja sebesar mata batang mancis. Jika ingin membuangnya petuanya yang masih diingat ialah dengan mengambil cecair yang keluar dari hujung kayu api yang dibakar. Seeloknya disapu semasa ia masih panas ke permukan tuaat tadi. Tapi tidak dapat dipastikan setakat mana keberkesanannya dalam menghilangkan tuaat tersebut.(30/07/12)

8.   Belalang Hitam.  Jika diwaktu tengah hari ada sejenis belalang yang berwarna hitam berbelang putih kecil saiznya akan berada diatas tanah. Belalang ini daku suka menangkapnya dan jika susah akan menggunakan penyapu lidi dengan memukul agar dapat ditangkap. Itulah budak-budak semua perkara apa yang ada dalam fikiran ialah bermain dan permainan yang kadang-kadang makan pun lupa.(30/07/12)

7.   Beras. Beras biasanya dimasak untuk menjadi nasi supaya boleh dimakan. Tapi dizaman budak beras ini ada yang memakannya walaupun agak keras. Lagipun bau beras ini bagi daku amat wangi sekali yang kadang-kadang disebabkan kewangiannya membuatkan beras ini ingin dimakan. Jadi untuk menghalang budak-budak makan beras maka orang-orang tua memberi pesan jangan makan beras nanti terkena penyakit kuning. Alasan ini ada juga logiknya.(25/07/12)

6.   Ikan Pelator. Ikan kering Pelator bakar kelihatan seperti ikan selar kuning jika dibakar diatas bara api dan bila sudah masak akan diketuk-ketuk dengan peniup api buloh bolehlah dimakan dengan nasi. Masa budak jika baru balik sekolah tengah hari nasi telah dimasak terletak atas para dapor jadi pandai-pandailah layan diri.(19/06/12)

5.   Pokok Manggis. Pernah lah juga melihat umbi pokok manggis akan dipukul dengan sesuatu oleh seseorang sambil berkata jika tahun ini kau tidak berbuah maka kau akan ditebang. Apa yang berlaku pokok itu akan berbuah dengan lebatnya ditahun tersebut.(03/04/12)

4.   Hari Lahir. Jika mengikut tok pula dikatanya daku dilahirkan malam Sabtu maka akan menjadi tukang. Tukang apa tidak pula diketahui. Bagi mak pula selalu dia mengatakan daku seakan-akan akan jadi kerani ini berikutan sebab dia selalu berkata begitu mungkin berdasarkan perangai dan tingkah laku daku atau mungkin menjadi seorang kerani itu dikira sudah berpangkat tinggi. (03/04/12)

3.   Cita-cita. Jika dizaman sekolah dahulu apabila ditanya guru ada yang menjawab akan jadi askar, polis, guru dan lainnya. Ada juga yang tidak tahu hendak jadi apa sebab tidak minat apa yang disebut seperti diatas. Ada juga yang menjawab cita-citanya ingin bekerja di Singapura. (03/04/12)

2.   Penilaian Darjah 5. Selepas keputusan Penilaian Darjah 5 diumumkan maka kelayakan minima untuk ke MRSM ialah 3A 2B. Murid SK Bandar yang layak cuma 1 orang sahaja. Yang dapat 2A pun cuba memohon juga tapi apa yang diingati ialah kena disertakan sebuah karangan dalam Bahasa Inggeris bersama borang permohonan. Manalah murid ini tahu mengarang dalam bahasa tersebut, jadi karangan tersebut dibantu oleh sesiapa dan pihak mana tapi tidak pasti sangat tapi siap lah juga karangan pendek tersebut. Apa yang pasti semuanya gagal untuk memasuki MRSM dan lain sekolah berasrama penuh. Yang berjaya cuma yang yang mendapat 3A iaitu Apandi Ibrahim yang dalam kelas sentiasa dapat nombor 1.(18/09/11)

1.   Baju dan Budu. Kalau masa budak dulu jika baju terutama baju sekolah jika tidak dibasuh beberapa hari mak akan merakamkan rasa tidak puas hati dengan mengatakan baju mu dah jadi macam budu. Pelik juga memikirkannya kerana budu itu makanan.(15/09/11)