Featured Post

Ikan

Suatu masa dahulu ketika memancing tepi sungai Pengkalan Kiat ikan yang paling senang dapat ialah ikan belukur. Kadang dapat ikan tilam. Ada...

Thursday, September 30, 2010

Pak Cu Soh


Pak Cu Soh merupakan orang lama yang masih ada di Kampung Dusun Buluh. Tapi sekarang hanya berada dirumah dan tidak mampu lagi berada diluar rumah. Jika setahun yang lalu jika melawatnya beliau masih mampu mengesok keruang tamu. Tapi sekarang beliau pun sudah tidak mampu lagi berbuat demikian. Kini beliau hanya berada dibiliknya sehari-harian. Bila berbicara dengannya beliau masih mengenali jika diberitahu siapa kita dan pendengarannya baik. Beliau masih ingat siapa kita dan dapat berinteraksi dengan baik walaupun penglihatanya gagal mengenali kita lagi. Dibahagian dikedua-dua lututnya sudah tidak dapat dibengkokkan sepenuhnya jadi jika beliau tidur pun dalam keadaan begitu. Sekarang beliau dikira yang paling berumur di Kampung Dusun Buluh ini dan mungkin umurnya sudah hampir 100 tahun kerana yang seangkatan dengannya sudah tiada. Beliau juga dikira perihatin terhadap keluarga kami dalam soal bertanya khabar dan akan memantau mana yang perlu terutama soal keselamatan. Sekarang tinggal bersama anaknya Cek Yoh Pak Man.

Saturday, September 25, 2010

Bangunan Lama Sekolah Kebangsaan Mata Ayer





Bangunan lama setingkat sekolah ini telah lama wujud sebelum tahun 70an lagi. Jika dahulu jika tidak silap hanya ada satu blok bangunan sahaja. Kemudian mungkin ditambah pula satu lagi bangunan. Blok yang terdapat bangunan baru sekarang dahulunya ialah padang bola sepak. Bangunan lama ini sekarang sudah tidak digunakan lagi dan diletakkan barang-barang lama juga dikosongkan. Difahamkan juga sekolah ini kekurangan murid berbanding sekolahnya yang besar dan tenaga pengajar yang mencukupi. Ini mungkin terjadi kerana ada yang menghantar anak masing-masing kesekolah di Pulai Chondong. Dahulu padang bola lama sekolah ini sentiasa digunakan terutama oleh pemain dewasa bukan sahaja oleh murid-murid. Begitu juga dibahagian depan berhampiran pintu pagar masuk dahulunya terdapat gelanggang badminton dan sentiasa digunakan pada waktu malam.

Monday, September 20, 2010

Kelas Lukisan



Semasa di tingkatan 1 SMAS pernah daku mengambil mata pelajaran lukisan tapi rasanya masa ambil SRP tidak mendudukinya kerana diganti dengan mata pelajaran Pendidikan Agama Islam. Subjek lukisan ini memang semenjak dari sekolah rendah lagi memang diminati kerana dapat bermain dengan water color (serbuk) percuma. Jika silap bancuh masa mewarna kertas lukisan akan basah dan susah kering. Yang masih diingat cara paling senang membuat lukisan ala abstract iaitu dengan cara ambil berus yang siap ada water color padanya dan diketuk kejari menghala kekertas lukisan. Dengan cara ini ia membentuk satu corak yang menarik. Lagi satu digunakan ubi keledek (setelor) yang dipotong dan dibentuk corak-corak dengan pisau. Corak itu bermacam bentuk seperti tiga segi dan dicelup ubi yang bercorak kedalam pewarna dan ditekan pula kekertas lukisan sehingga penuh satu kertas lukisan dengan pelbagai bentuk. Semasa di SMAS guru yang mengajar ialah Cikgu Lee Tong Keng. Beliau ini amat baik semasa mengajar dan tidak pernah marah kepada anak murid. Mungkin ini juga sebab kita meminati lukisan. Kelas lukisan berada bersebelahnan kantin sekolah dan sebelah kiri pula kawasan perhimpunan seminggu sekali. Cuma apa yang diingati cuma ada seorang murid pada masa itu yang selalu disebut nama yang pandai dan berbakat melukis dan beliau tinggal di Joh atau Labok.

Wednesday, September 15, 2010

Restoran Baru Alias Pulai Chondong





Restoran Alias yang baru setelah berlaku kebakaran dahulu telah dibuka kembali semenjak bulan Jun 2010 yang lepas. Konsep dan reka bentuk restoran masih mengekalkan konsep terdahulu. Restoran ini juga berada dihujung deretan kedai berhampiran Surau yang berdekatan Stesen minyak Shell Pulai Chondong. Restoran ini tidak lagi berada ditepi jalan tapi berada berhampiran Market Pulai Chondong. Jika diperhatikan ramai dipenuhi pelanggan seawal pagi dan tuan punya kelihatan bersemangat melayannya. Restoran ini berwarna kuning ditingkat atasnya dan bahagian dinding dalamnya.

Thursday, September 9, 2010

Selamat Hari Raya Aidilfitri

Dahulu masa budak hari raya ialah hari bersuka ria dengan makanan yang berbagai, pakaian pula baru walaupun dalam bentuk baju dan seluar sekolah sahaja. Itu semua tidak diambil berat sangat kerana majoritinya begitu. Dahulu sepanjang bulan puasa dirasakan waktunya cukup lama datangnya hari raya. Begitu juga jika menunggu untuk berbuka puasa 5 minit pun dirasakan lama menunggu didepan hidangan. Jika hari biasa pun dirasakan lama apa lagi dibulan Ramadan. Ini berbeza dengan sekarang dirasakan waktu sudah semakin cepat berlalu. Kemeriahan Ramadan disiang hari mungkin tidak dirasakan sangat kerana lapar berpuasa namun apabila menjelang petang suasana berubah. Apa lagi jika dapat berbuka bersama jiran tetangga jika ada sauadara mara yang menganjurkan majlis berbuka puasa . Dimalam hari diisi dengan acara solat terawih dibalai sah Kampung Dusun Buluh dan bermain permainan tertentu . Permainan popular pula ialah meriam buluh. Selepas terawih memang ada jamuan seperti kuih muih tapi yang popular dan tetap diingati ialah biji sagu berwarna warni dan cendol hijau air gula.. Kita budak-budak memang tahu bila masa akan tamat terawih dan akan segera kembali untuk menikmati jamuan ringan. Orang dewasa dan ibu bapa pula tidak pula menghalang apa sahaja aktiviti yang diadakan dalam bulan Ramadan ini dan seolah-olah bulan ini bulan kebebasan. Dan dibulan ini juga diadakan Musabaqah membaca AlQuran peringkat antarabangsa. Biasanya akan didengar melalui radio sahaja kerana set TV tiada yang hendak menaja. Ini kerana tuan punya TV dikampung semua berbangsa cina. Waktu sahur adalah waktu sukar untuk bangun kerana penat beraktiviti dimalam hari tetapi digagahi juga. Bila menjelang hari raya pagi-pagi lagi telah bangun dari tidur dan mandi diperigi disamping menggosok gigi dengan ubat gigi percuma dari sekolah. Selepas itu bersolat hari raya. Maka selepas solat hari raya maka aktiviti pun bermula. Maka diatas jalan samada jalan kecil dan besar dikampung ramailah budak-budak kehulu dan kehilir beraya dengan baju baru. Tidak perlu dibimbangi akan bahaya lalu lintas kerana yang akan lalu pun bas sahaja dan sedikit kereta prebet sapu dan van. Masa itu kita tidak akan berada dirumah lagi kerana akan beraya kerumah saudara mara disekitar kampung untuk cari duit raya. Walaupun dapat 10 atau 20 sen dari setiap rumah sudah dikira berbaloi. Setelah duit raya berjaya dikumpul inilah masa untuk berbelanja samada membeli mercun, beradu nasib dengan sejenis permainan tikam menikam juga akan kebandar menaiki bas. Itu hari raya pertama. Untuk hari raya kedua pun lebih kurang begitu juga. Dan dahulu hari raya hanya dua hari sahaja. Tapi walaupun dua hari tapi aktivitinya padat. Lagipun cukuplah dua hari sahaja kerana baju raya pun bukannya banyak. Untuk hari raya pertama dan kedua itulah juga baju yang dipakai. Masa hari raya program TV pun dikira istimewa. Tayangan gambar agak terkini juga disiarkan disamping filem lama. Jumlah penonton pun ramai disesebuah rumah yang bukan terhad kepada ahli keluarga sahaja. Dahulu tiada budaya balik kampung seperti sekarang. Tidak perlu menunggu siapa akan balik. Cuma menunggu anak yang tinggal dikampung lain untuk datang beraya. Jadi mereka ini tanpa gagal akan datang beraya kerumah ibu bapa untuk bermaaf-maafan dihari mulia. Hari Raya umumnya untuk kanak-kanak berseronok dengan baju baru, permainan, duit raya, makanan raya, naik kenderaan, ziarah menziarahi dan lainnya yang menyeronokkan. Salam Aidilfitri ampun dipohon maaf diberi dari blog KDB pada semua pembaca.

Saturday, September 4, 2010

Pistol Lidi

Pistol Lidi amat popular dimasa budak dahulu. Ianya tidak mengira musim samada hari biasa atau menjelang Hari Raya. Bahan yang diperlukan ialah lidi basikal jika boleh yang bersaiz panjang sekali, kepala lidi, paku saiz setengah inci, getah urat dan belerang dikepala batang mancis. Caranya dimasukkan belerang mancis kedalam lubang kepala lidi. Setelah hampir penuh masukkan paku kedalam lubang tersebut. Selepas itu siap untuk diketuk. Ianya mesti diketuk diatas batu atau simen supaya ianya meletup. Permainan ini seeloknya diawasi oleh orang dewasa atau dibuat demotrasi dulu untuk memahamkan tekniknya. Jika tahu tekniknya ia tidaklah merbahaya tapi bunyi letupan agak kuat juga. Jika ragu-ragu tidak usahlah mencubanya malah jika tidak pernah melakukannya. Setelah berulang kali diletupkan biasanya kepala lidi akan mula pecah. Dinasihatkan juga dimusim perayaan pernah kedengaran ada yang cedera kerana membuat letupan sendiri menggunakan batang paip dengan memasukkan belerang didalam batang paip dan sambil mengetuk-ngetuk. Ini merbahaya kerana bahan letupan tidak boleh diketuk sewenang-wenangnya kerana ia akan meletup sebelum sampai masa yang diperlukan. Belerang yang dimaksukkan disini ialah serbuk yang terdapat di dalam mercun atau bunga api. Itu sebab pihak berkuasa melarang menjual mercun kerana disalah gunakan dengan menggunakan ditempat salah seperti batang paip besi kerana sedikit sahaja diketuk atau bergesel ia akan meletup dan amat berbahaya kepada yang tidak tahu cara serbuk tersebut berfungsi.