Monday, August 30, 2010

Pondok Polis Mata Ayer

Pondok polis ini telah lama dibina lebih dari 10 tahun yang lalu.Ianya terletak di Pekan Mata Ayer iaitu menghadap berhampiran Kedai Mek Baru dan Kedai Awang. Dahulu selepas pembinaannya Pondok Polis ini dinamakan Pondok Polis Bandar. Ini mungkin menggantikan Pondok Polis Bandar. Nama itu agak tidak sesuai sebab ia berada di Mata Ayer. Selepas dibuka selang beberapa tahun ia tidak digunakan pula. Sekarang mungkin ia telah beroperasi semula. Kawasan persekitarannya agak luas dan bangunan pun agak besar. Daku pernahlah sekali masuk ke Pondok Polis ini tapi telah lupa apa tujuan ketika mula-mula dibuka dahulu tapi apa yang diingat ialah jika seseorang telah meninggal dunia maka tugas anggota polis disini akan mengambil kad pengenalan orang yang telah meninggal tersebut dari warisnya.

Wednesday, August 25, 2010

Simpang Kemubu Pangkal Gong





Kedai runcit difoto ini terletak di Kampung Pangkal Gong Pulai Chondong Machang Kelantan. Juga ianya berhampiran dengan simpang. Jika kita datang dari arah Kemubu jika membeluk kekiri akan ke Kota Bharu dan kanan ke Kuala Krai. Sebelum sampai kesini dari Kemubu terdapat beberapa buah kedai dikiri kanan jalan. Disebelah kiri dahulu ada kedai Alwi berhampiran sebuah wakaf. Disebelah kanan ada kedai kopi. Dahulu tempat ini agak sibuk kerana ia menjadi tempat menunggu bas dan kereta private sapu. Juga tempat ini kira pusat bandar Pangkal Gong. Jika dahulu juga jika kita menaiki bas SKMK dari Kemubu ia akan pergi ke Pekan Pulai Chondong dahulu kemudian baru ke Bandar Machang. Tapi difahamkan kemudahan ini telah lama diberhentikan. Jadi jika hendak ke Pekan Pulai Chondong terpaksalah berhenti saja disini. Begitu juga jika kita datang dari Bandar Machang dengan bas lain kita terpaksa berhenti disini dan akan mengambil kereta private sapu pula untuk ke Kemubu dan sebagainya. Pendek kata dahulu perkhidmatan bas dan kereta sapu amat penting sebagai kenderaan awam untuk semua peringkat umur dari budak hingga dewasa. Jika menaiki bas penumpang kadang-kadang boleh tawar menawar harga tambang dengan penjaga tiket bas . Mana-mana yang tidak cukup wang atau hendak berjimat (budak-budak) bila penjaga tiket tanya hendak kemana akan ada yang mengatakan akan singgah di Kampung Mata Ayer sedangkan hendak ke Kampung Dusun Buluh. Jadi bila sampai dekat dengan sempadan Kampung Dusun Buluh(masih kawasan Mata Ayer) kena lah turun dan berjalan pula. Ini satu teknik sahaja. Juga semasa didalam bas juga penumpang perlu meyimpan tiket kerana sekali sekala ada spital bas akan memeriksa tiket bas tersebut. Jika gagal ditunjukkan akan dikehendaki membayar lagi. Sekarang mungkin budak-budak sudah jarang melalui pengalaman ini kerana masing-masing ibu bapa mempunyai kenderaan sendiri.

Friday, August 20, 2010

Puting Beliung


Kenapa pepatung ini dikenali sebagai puting beliung tidak pula diketahui tetapi itulah namanya yang masih diingati. Serangga ini boleh dijadikan permainan juga iaitu apabila ditangkap akan diikat benang diekornya. Lepas itu dilepaskan terbang keudara. Lagi satu kegunaannya dipercayai jika budak-budak selalu kencing malam bolehlah digunakan khidmat serangga ini iaitu dengan membiarkan ia menggigit pusat budak tersebut. Apapun tidak pula diketahui apakah cara ini berkesan untuk menghilangkan gejala tersebut.

Sunday, August 15, 2010

Culvert


Kalbut ini disuatu masa dulu samasa jalan bertar baru dibina antara Pangkal Gong dan Kemubu juga menjadi tempat menarik dan jadi tumpuan. Kalbut ini dibina diatas jalan raya untuk menghubungkan kedua-dua belah parit kiri dan kanan jalan supaya aliran air seimbang dikedua-dua belah jalan dan tidak melimpah diatasnya . Di Kampung Dusun Buluh dianggarkan ada dua kalbut iaitu satu berhampiran didepan rumah Pak Wil Tukang azan balai sah juga beliau boleh memanjat pokok kelapa. Suaranya lantang jika mengalunkan azan. Rumah beliau berdekatan pula dengan rumah Abang Deris hadapan Balai Sah sebelah alik ulu. Satu lagi dekat rumah Maksu Embong Pak Cu Soh tapi kurang popular. Pada permulaan siapnya kalbut ini ramailah budak-budak bermain-main disini jika ada kelapangan. Aktivitinya macam biasa iaitu merangkak dari sebelah sini kesebelah sana. Didalamnya agak gelap. Apa yang lebih menyeronokkan jika hari mula hujan dimana kita ramai-ramai duduk didalamnya. Cabaran juga untuk melalui bawah kalbut ini kerana dibimbangi ada binatang berbisa didalamnya seperti ular dan sebagainya. Apabila agak lama selepas dibina ada juga aktiviti kurang sihat berlaku iaitu ada mereka yang tidak bertanggungjawab pada waktu malam akan membuang hajat diatas batu hujung kalbut ini dimana seolah-olah macam tandas pula. Tapi sekarang rasanya aktiviti merangkak ini tiada lagi kerana kalbut pun mungkin sudah tersumbat dan tidak sesuai dijadikan tempat bermain serta bersemak.

Tuesday, August 10, 2010

Surau Kampung Bandar


Surau ini terletak ditepi jalan raya jika dari Kemubu sebelah kiri sebelum sampai ke Sekolah Kebangsaan Bandar. Jika diperhatikan surau ini dari dahulu hingga sekarang warna catnya tidak pernah berubah walaupun telah silih berganti dicat baru. Begitu juga dengan kedudukan pembesar suaranya terletak disitu tidak berubah kedudukannya. Begitu juga dengan pintu tingkapnya juga tidak pernah dibuka atau mungkin juga dibuka mungkin tidak berbetulan. Apapun surau ini telah lama wujud dan jika melalui jalan ini sering terpandang kerana bentuknya juga dikira unik dan kekal dari dulu sampai sekarang.

Thursday, August 5, 2010

Atap Bata



Atap bata ini sudah jarang atau pun tidak digunakan lagi untuk membuat sesebuah rumah. Sekarang atap bata ini diganti dengan atap genting model baru yang kuat, besar dan berat kerana sekarang rumah jarang diperbuat dari kayu. Jika dahulu jika membuat rumah menggunakan atap bata sudah dikira rumah yang berharga agak tinggi. Dimana jika tidak mampu cukup dengan hanya menggunakan atap zink sahaja. Sekarang jika masih menggunakan atap ini untuk menyulat harganya sekitar RM4 sekeping.