Featured Post

Ikan

Suatu masa dahulu ketika memancing tepi sungai Pengkalan Kiat ikan yang paling senang dapat ialah ikan belukur. Kadang dapat ikan tilam. Ada...

Saturday, April 28, 2012

Penunjuk

Penunjuk ini digunakan untuk menunjuk kepada ayat-ayat ketika membaca AlQuran. Ianya akan dilipat dari kertas buku atau dari urat khabar. Penunjuk ini menjadi amat penting ketika pergi mengaji dirumah guru AlQuran dimana jika tiada akan menjadi kesalahan besar pula dan boleh dihukum. Tapi penunjuk ini selalu hilang mungkin diambil oleh orang yang datang awal mengaji atau lain-lain sebab. Walau bagaimanapun jika penunjuk ini hilang ia bolehlah diganti segera dan cepat dengan lidi sahaja. Diperhatikan mungkin sekarang alat ini jarang digunakan terutama oleh orang dewasa. Tujuan penunjuk ini amat penting kerana dengan cara ini dapat menunjukkan dengan tepat huruf-huruf yang disebut pada mereka untuk mengenali huruf yang dibaca.

Tuesday, April 17, 2012

Masjid Galang Pulai Chondong

Masjid ini terletak lebih kurang 1 km dari Kedai Pulai Chondong arah ke Kota Bharu. Difahamkan suatu ketika dahulu tahun 70an pada waktu pagi jika tidak silap hari Jumaat ramai yang akan kemasjid ini untuk mendengai kuliah mingguan yang disampaikan oleh tok-tok guru. Pada masa tersebut kita sebagai budak-budak tidak berapa mengambil kisah tentang perkara pengajian seperti ini kerana menganggap ia urusan orang dewasa. Jadi ramailah yang datang dari pelbagai kampung seperti Kampung Pangkal Gong dan yang menariknya kebanyakkan mereka kesini dengan berjalan kaki dan majoritinya golongan wanita yang agak berumur. Begitulah bersemangatnya mereka mencari ilmu akhirat yang tentunya memerlukan pengorbanan tenaga dan masa. Bukan semua masjid dikawasan ini yang mengadakan kelas pengajian seperti dimasjid ini. Sekarang pun masjid ini sentiasa dikunjungi oleh orang luar yang singgah untuk bersolat fardhu selain qariah setempat kerana lokasinya yang sesuai tambahan pula berada ditepi jalan raya. Pada waktu malam juga sentiasa diadakan kuliah maghrib.

Wednesday, April 4, 2012

Disuatu Jalan Pengkalan Kiat Ke Mata Ayer

Pemandangan jalan ini adalah dari Pengkalan Kiat ke Mata Ayer jalan bawah. Semasa melaluinya terdapat  sekumpulan budak kampung berada disitu sambil berbasikal. Apabila diajak mengambil foto mereka secara spontan mereka menolaknya. Mungkin mereka menolak kerana tidak mengenal identiti orang yang hendak mengambil gambar. Mereka ini keturunan cina dan salah seorang dari mereka cucu kepada Cik Husin. Dulu ramai juga orang yang seperti Cik Husin yang mempunyai nama melayu seperti Awang, Cik Hasan dan lainnya. Jika yang perempuan cina dewasa biasanya diberi gelaran Mek seperti Mek Bunga, Mek Yok juga Mek Tin. Jika yang agak tua ada yang dipanggil Tok seperti Tok Tehor, Tok Awang Aki, Tok Ayong dan Tok Kiat. Ada juga dipanggil Pak dan Mat seperti Pak Wat, Pak Yong dan Mat Rih. Ada juga yang tiada apa gelaran dengan dipanggil nama sahaja seperti Bei dan Pia. Mungkin dahulu hubungan orang melayu dan cina agak rapat sehingga diberi nama gelaran hormat tersebut. Mungkin sekarang kesinambungan tersebut sudah tiada lagi mungkin kerana generasi kini kurang berpeluang bersama seperti dimajlis kebudayaan hiburan atau juga masing-masing sibuk dengan urusan berbanding masyarakat dulu yang kurang sibuk. Lagi pun zaman sudah berubah bukan bermakna mereka tidak berusaha mengeratkan berhubungan antara satu sama lain tapi kurang berpeluang berbuat demikian. Malah ia berlaku sesama bangsa sendiri juga. Dahulu walaupun jaraknya agak jauh dari kampung ke suatu kampung tapi mereka masih mengenali antara satu sama lain. Tapi  sekarang walaupun tinggal berdekatan ada juga yang mungkin tidak mengenali antara satu sama lain.