Featured Post

Ikan

Suatu masa dahulu ketika memancing tepi sungai Pengkalan Kiat ikan yang paling senang dapat ialah ikan belukur. Kadang dapat ikan tilam. Ada...

Friday, August 26, 2016

ZAMAN DULU- DULU

Pergi Kampung Hulu
jumpa Tok Besah
zaman dulu- dulu
hidup serba susah

Ayah sakit gigi
emak kena jaga
bangun pagi- pagi
mandi air telaga

Makan nasi minyak
lauk gulai lembu
malam nyamuk banyak
RUMAH TAK ADA kelambu

Berdiri tepi kolah
pakai kain selepang
adik pergi sekolah
bawa SE kupang

Budak nama Awang
kawan dengan Maryam
kalau tiada wang
bawa telor ayam

Beli berus gigi
beli di kedai Ali
sekolah waktu pagi
petang main guli

Suami kakak Midah
tanam ubi keledek
pergi sekolah rendah
pakai seluar pendek

Isteri tok penghulu
sangat ramah tamah
makanan orang dulu
ada keliling rumah

Masak sayur bayam
jamu orang marhaban
teringin makan ayam
tangkap dalam reban

Ayah baru pergi
pergi Sungai Puyu
sarapan waktu pagi
makan ubi kayu

Asyik tengok Esah
kupas buah jering
kerana hidup susah
makan tamban kering

Berniaga sangat maju
jual barang- barang
kalau gosok baju
guna seterika arang

Kena kejar perompak
pecut laju- laju
sabun cap kapak
buat basuh baju

Kenduri Kampung Gelam
tetamu sangat banyak
bila waktu malam
pasang pelita minyak

Bungkus buah cermai
bungkus dengan kertas
emak cabut semai
ayah tajak batas

Makan pulut tanak
makan dengan Salmah
isteri nak beranak
bidan datang rumah

Isteri nama Asyikin
suami nama Che Pa
pakai kain cukin
kait buah kelapa

Mangsa kena kelar
kelar di dada
orang perempuan loklar
kain ketang kedada

Askar kena serang
serang dalam hutan
ayah sangat garang
tibai dengan rotan

Berdiri tepi beranda
orang minta sedekah
umur masih muda
ayah suruh bernikah

Kaki terpijak duri
jalan terhoyong- hoyong
kalau buat kenduri
pakat gotong royong

Emak beli gelas
beli dari Pak Wi
umur lapan belas
baru masuk jawi

Cabut duri semilu
cabut dengan tangan
suasana dulu- dulu
kini tinggal kenangan

Saturday, July 9, 2016

Buku Besar

Kini buku besar‎ kalau disebut mungkin akan difahami buku yang besar saiznya. Jika disebut daging buku besar mungkin ada yang masih tahu tapi susah hendak melihatnya. Mungkin era 90an gulai daging ini telah jarang dihidangkan masa kenduri kendara. Begitulah zaman berubah cara hidang pun berubah dan menu pun juga berubah sedikit demi sedikit. 

Wednesday, June 22, 2016

Pantun minum kopi

Pakda Deraman minum kopi
Sambil pula menghisap rokok
Buat kerja sentiasa rapi
Agar hasilnya menjadi elok



Sunday, June 19, 2016

Suis Lampu Lama

‎Seingatnya inilah suis lampu yang mula-mula diguna masa rumah-rumah mula mendapat kemudahan letrik pada tahun 70an dikampung. Lampunya jenis mentol. Apabila dibuka suisnya berbunyi agak kuat. Dahulunya minima bil letrik walau tidak digunakan ialah RM2.00. Apabila lama digunakan ia akan rosak biasanya apabila hendak ditolak kebawah tidak dapat (tak jettak).  Foto sumber Google. 

Wednesday, June 1, 2016

Tijah gergasi kejutkan penduduk

Penduduk menunjukkan tijah gergasi yang lebih besar berbanding tijah biasa yang lazim ditemui di Sungai Batang Gergaji
Tijah gergasi kejutkan penduduk
Penduduk menunjukkan tijah gergasi yang lebih besar berbanding tijah biasa yang lazim ditemui di Sungai Batang Gergaji.
JABI - Penemuan siput tijah gergasi mengejutkan penduduk Kampung Batang Gergaji, di sini, baru-baru ini.

Yusof Abd Rahman, 50, yang lebih dikenali dengan panggilan Said berkata, enam siput tijah dengan berat kira-kira tiga kilogram itu ditemui beberapa penduduk yang menyertai pesta menimba ikan di sungai kampung berkenaan.

Menurutnya, hampir semua penduduk terkejut melihat saiz siput itu yang amat besar, berbanding saiz biasa sekitar tujuh sentimeter panjang sahaja.

"Saiz tijah dijumpai di sungai dikeringkan ini lebih besar, sehingga tiga hingga empat kali ganda daripada saiz tijah yang biasa ditemui," katanya yang kali pertama menyertai pesta menimba di sungai berkenaan.

Menurut Said, penemuan siput itu menarik perhatian ramai untuk melihat dengan lebih dekat.

Katanya, penduduk percaya siput itu mengambil masa lama untuk membesar kerana sebelum ini tidak pernah ada pesta menimba dan menangkap ikan dilakukan di situ.

"Saya sendiri yang sudah berpuluh tahun terlibat dengan aktiviti menimba ikan, tidak pernah melihat siput seperti itu. Saiz siput itu yang besar menyebabkan isi lebih banyak dan enak,\' katanya.

Said berkata, penduduk kampung diketuainya sendiri mencipta sejarah apabila menjadi kumpulan pertama mengadakan pesta menimba di situ.

Bagaimanapun katanya, hasil tangkapan tidak begitu memuaskan kerana hanya memperoleh 30 kilogram ikan terdiri daripada haruan, lampam jawa, keli dan pelbagai spesies lain.

Sumber: Sinar Harian‎


Wednesday, May 18, 2016

Foto Terbaru Pengkalan Kiat

‎Kemeriahannya seolah-olah sudah tiada disini. Nampak sunyi sepi walau disiang hari. Tiada kelibat manusia ulang alik dengan kapal penambang. Tiada yang berenang  mandi manda. Tiada bebudak‎ yang main berembah dan sebagainya. Begitulah putaran masa ikut telah berubah seiring perubahan aktiviti manusia. Yang muda menjadi berusia. Yang ada telah tiada. 

Monday, May 16, 2016

Pasar Minggu Raub

1. Sebagai pengetahuan kulit kerbau juga dikenali sebagai Belulang.. Ianya enak dimasak gulai lemak bersama rebung.. Maka itu jika kita berkunjung ke Pasar Minggu (Pekan Sari) dimana-mana didalam daerah Raub samada di Pekan sari Raub, Dong, Ulu Gali, Sega atau di mana jua, rebung dah memang sinonim berpasangan dengan belulang.
Satu lagi masakan yang popular dan unik di Raub juga ialah Aserom.. ianya diperbuat dari buah Perah yang banyak tumbuh di kawasan hutan terutama di Ulu Sungai.
Jika anda yang ingin mengetahui lebih lanjut dan merasai keenakan masakan ini, silalah berkunjung ke Raub dan kami sentiasa mengalu-alukan kedatangan anda. 

‎2. Pekan sari Raub ni banyak mengimbau kenangan silam saya sewaktu arwah bapak saya masih hidup. Setiap kali kami balik kampung di Dong. dia akan singgah ke pekan sari ni beli sayur-sayuran dan buah-buahan hutan. Antara yang pernah saya makan dulu ialah buah perah(?) sejenis buah hutan yang kulitnya coklat kehitaman tapi isinya putih. Satu lagi buah yang saya tak ingat nama dia..perlu diperam dulu untuk dibuang racunnya. warna kekuningan dan biasanya diricih halus. I miss all that..Selalunya bila arwah bapak ke pekan Raub, dia akan berjumpa dengan rakan-rakan dan saudara-mara..ada yang masih panggil dia cikgu walaupun dia dah berdekad meninggalkan profesion itu. Betullah kata orang putih, \'Once a teacher, always a teacher.\'
Sumber 1: ‎ Penulis Zairie Aries‎
Sumber 2: ‎ Penulis Kamarulzaman‎

Friday, February 26, 2016

Kawan Sepanjang Jalan

‎Jika dari Sekolah Kebangsaan Bandar
Menuju ke Kampung Dusun Buluh
Kanannya Kartini Cihgu Soh
Kiri pula Paksoh kedai runcit jual air sirap tapai ubi
Sebelah kanan rumah Patah
Kirinya pula Ahmad Taufik Tok Imam Sat
Dihadapannya kedai getah Pak Muda Jusoh
Sebelahnya rumah Pak Lah
Belakang rumah Pak Lah Pak Su Hamid 
Kehadapan lagi Aziz dan Zulkifli sebelah kanan
Kehadapan lagi kanan Suha@Halim juga Normah
Disebelah kiri masuk kedalam Ghazali dan Zaitun
Sebelumnya sebelah kiri Jemin 
Anwar Mamat Hitam kanannya
Kedepan lagi Norma Mek Nab
Sebelumnya Kohing dan Mat Tuyuh
Juga Seman sebelah Balai Sah
Senah Tok Yasok adik Mek Nab
Seli dan Sedi Pak Man dan juga diri ini
Kalau di Pengkalan Kiat ada Kamil, Azmi dan Jaya

Saturday, February 20, 2016

Mengail dan Menangkap Ikan

‎Mengail juga disebut memancing
Tempat pula ada di Pengkalan Kiat
Kalau udang di Kemubu
Kalau tauknya pula disawah padi
Atau juga dilundang
Juga dibendang dekat rumah Pakcu Hassan
Sambil menggala pun ada ikan
Puyu haruan keli sepat jika ikan darat
Kalau tual pula didalam sungai
Ikan sepila pula di Becah Kua juga Lundang
Hati-hati diketik lintah
Disungai banyak ikan belungkur
Kadang-kadang ikan tilam
Sotar pula yang paling pintar
Menangkap Ikan juga udang galah
Depan rumah Pakcik Leh pun ada sawah
Kekadang datang untuk mengail
Ikan anak butir nangka tidaklah besar
Kalau sudah habis musim mengetam
Datang pula musim menimba
Meriah suasana ikan pun banyak
Dari pagi hingga ketengah hari 
Dapat satu baldi dikira menjadi
Badan pun sihat cergas sentiasa
Apa dibuat semua gembira
Asalkan dapat berkawan tua dan muda
Sudah dikira semangat sudah diberi
‎Ada juga kadang kala mengguna serkap
Di kawasan kolam kampung cina
Pak Yong Beki Pak Wat juga ecai
Masa itu musim kemarau
Apa diheran budak tidak duduk diam
Sepanjang tahun penuh acara 
Semuanya ikut cuaca juga musim
Mencari ikan juga bermusim
‎Tual juga alat menangkap ikan
Diletak dibatas sawah tempat air mengalir
Yang banyak datang ikan sepila
Dibuat pais sedap rasanya
Dimana datang ikan-ikan ini tidak pernah tanya
Apa yang tahu ada air ada ikan
Itu ajaibnya ikan ini
Sampai masanya ada air ia pun ada
Jika musim bah pula lain ikannya
Ada ikan belida besar terkena bubu
Ada menjaring ikan bercampur sungai dan sawah