Featured Post

Ikan

Suatu masa dahulu ketika memancing tepi sungai Pengkalan Kiat ikan yang paling senang dapat ialah ikan belukur. Kadang dapat ikan tilam. Ada...

Wednesday, May 5, 2010

Pak Cerrik - Cengkerik


Belalang Cengkerik Dijadikan Produk Pelancong Kelantan
PASIR MAS, 2 Mei (Bernama) -- Pertandingan belalang cengkerik mahu dijadikan satu lagi produk pelancongan negeri Kelantan yang bakal digiatkan oleh Pejabat Kementerian Pelancongan Negeri Kelantan.

Aktiviti pertandingan ini dilihat mampu menarik minat pelancong asing setelah ia mula menarik minat rakyat negara luar apabila produk tersebut dijual di beberapa negara Eropah dan Amerika Syarikat sebelum ini.

"Pertandingan ini dikenali sebagai pertandingan seni suara belalang cengkerik dan mula digemari rakyat negeri ini sejak beberapa dekad lalu sebelum ia menjadi tarikan minat golongan muda.

"Uniknya pertandingan ini ialah ia diadakan pada waktu malam dan dalam kawasan hutan bagi menghidupkan suasana serta tarikan kepada unggas ini untuk berbunyi yang mana kenyaringan bunyi itulah yang dipertandingkan," kata pengarah pejabat tersebut, Sulaiman Ismail kepada Bernama.

Beliau berkata acara pertandingan tersebut dicadang untuk dimasukkan di dalam kalendar Tahun Melawat Malaysia atau Tahun Melawat Kelantan di masa depan.

Menurutnya, setakat ini pertandingan diadakan secara kecil-kecilan di peringkat daerah dan dikendalikan di bawah Persatuan Kelab Peminat Warisan dan Kecantikan Ayam Serama Kelantan (Kerisma).

Bagi menggalakkan lagi aktiviti tersebut, Kementerian Pelancongan akan menyediakan peruntukan membeli peralatan yang diperlukan dan membiayai kos penganjuran pertandingan.

-- BERNAMA

Nota: Jika dahulu nama cengkerik ini kita panggil Pak Cerrik. Bahasa Kelantan jika nama-nama binatang banyak dipangkalnya dengan perkataan PAK. Contoh Pak Katak, Pak Kor dan lainnya. Begitu juga burung banyak dengan nama dipangkal CEK seperti burung Cek Tuli, Cek Maddi dan lainnya. Berbalik kepada cengkerik tadi dahulu masa budak kita amat meminati menangkap serangga ini yang berbadan besar bukan seperti yang dipelihara dikedai ikan peliharaan yang berbadan kecil. Cengkerik ini akan membuat lubang didalam tanah dikawasan yang berumput. Jadi untuk mengeluarkannya kena ada satu cara sahaja iaitu memasukkan air kedalam lubang, jadi beberapa ketika ia akan keluar sendiri mungkin mengelak kelemasan. Itulah teknik yang diguna pakai.

No comments:

Post a Comment