Featured Post

Ikan

Suatu masa dahulu ketika memancing tepi sungai Pengkalan Kiat ikan yang paling senang dapat ialah ikan belukur. Kadang dapat ikan tilam. Ada...

Sunday, December 26, 2010

Pokok Serai Kayu


Pokok ini banyak kedapatan didalam belukar atau kebun buah-buahan. Pokoknya jika sudah besar ada mengeluarkan buah berwarna kehitaman jika sudah masak. Buahnya menjadi makanan burung dan juga boleh dimakan dan jika selepas dimakan gigi kita yang putih bertukar menjadi kehitaman kesan warnanya. Bagi pokok yang kecil dan rendah biasanya senang untuk diambil daunnya. Pucuknya atau yang belum tua boleh dibuat ulam. Jika dahulu ia menjadi bahan utama bersama daun kesum, pucuk daun mata ayam, serai batang juga kacang panjang untuk dihiris sebagai ulam. Dahulu nasi kerabu dikampung jarang digunakan taugeh juga kobis seperti sekarang. Pendek kata jika daun ini dijadikan salah satu ulam nasi kerabu nescaya menambah keaslian rasa nasi kerabu tersebut.

Tuesday, December 21, 2010

MBH Jaya Enterprise


Kedai MBH Jaya Enterprise ini terletak menghadap Simpang Pangkal Gong Kemubu. Kedai ini yang terbesar di Pekan Pangkal Gong. Menjual pelbagai barangan runcit. MBH adalah singkatan kepada Mohamad Bukhari bin Hassan iaitu tuan punya kedai yang sentiasa berada di kaunter juruwang dikedainya. Bapanya dahulu adalah tuan punya Mesin Padi yang besar terletak ditepi sawah sebelah kiri jalan menuju ke Kampung Bukit berdekatan dengan rumah arwah Haji Harun yang disebelah kanannya.. Masa tersebut Mesin Padi beliau menjadi maju kerana semua padi pesawah disekitarnya dimesin disini. Sekarang mesin ini sudah lama tiada. Daku dahulu pernahlah kesini masa bebudak untuk melihat atau menghantar serta mengambil padi dan beras yang telah dimesin sambil melihat kehebatan mesin ini beroperasi yang tingginya seolah-olah bertingkat dan bunyinya yang kuat dan disekitarnya dipenuhi sekam padi yang menimbun tinggi yang sentiasa mengeluarkan asap.

Thursday, December 16, 2010

Cikgu Ishak

Beliau ialah Cikgu yang mengajar Sains Paduan di Sekolah Menengah  Abdul Samad (SMAS). Biasanya kita murid akan sentiasa kemakmal samada untuk pelajaran teori atau praktikal. Apa yang masih sangat diingati antaranya ketika ia mengajar bagaimana badan kita mengeluarkan air seperti berpeluh, membuang air besar atau kecil. Dahulu beliau menetap disebuah rumah yang terletak di tepi Jalan Bukit Buloh berdekatan padang bola. Apapun cara dan pendekatan beliau mengajar senang untuk difahami dan diminati.

Sunday, December 12, 2010

Daun Pellah

Daun Pellah atau Mempelas ini berlainan dari daun lain kerana permukaannya yang kesat seperti kertas pasir. Jadi jika dahulu jika membuat satu-satu permainan misalnya dari kayu, buluh, objek dari tanah liat yang telah kering atau lainnya maka untuk melicinkan permukaannya digunakan daun ini yang senang didapati. Walaupun ia tidak lah berapa tahan sangat seperti kertas pasir tapi bolehlah digunakan sekadar mengantikan kertas pasir oleh budak-budak.

Wednesday, December 8, 2010

Lencana SMAS


Inilah lencana (beh) sekolah daku dahulu dengan motonya Ilmu Jaminan Hidup. Jika dahulu lencana ini dipakaikan di baju seragam sekolah atas pada poket? Lencana ini pula diperbuat dari logam/besi. Rasanya logo dari dahulu hingga sekarang tidak berubah mungkin yang berubah ialah nama sekolah ditambah Kebangsaan. Adakah kita benar-benar menghayati Ilmu Jaminan Hidup dimasa tersebut. Lencana ini jika sudah berusia maka catnya akan tertanggal sedikit demi sedikit dan perlu diganti. Dahulu apa yang diperhatikan jika memakai topi misalnya maka penuhlah diatas topi tersebut dilekatkan dengan pelbagai lencana dari jabatan, organisasi, sekolah dan lainnya. Sekarang trend ini sudah tiada mungkin lencana sekarang sudah tidak diperbuat dari logam lagi.

Friday, December 3, 2010

Mesin Taip

Mula-mula mengenali mesin taip jenis lama ini ketika suatu hari dipelawa oleh Pak Nik Soh yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di kilang batu Bukit Buloh Pulai Chondong.  Beliau tinggal di Kampung Kerawang. Beliau telah lama meninggal dan agak rapat dengan keluarga kami dan selalu juga datang ke Kampung Dusun Buluh dan Pulai Chondong. Memang meyeronokkan apabila menggunakan mesin ini mungkin seperti bebudak sekarang dapat menggunakan komputer. Pendek kata mesin taip ini termasuk dalam kategori mesin seperti mesin jahit, mesin kelapa, mesin getah, mesin pengisar, mesin gergaji, mesin rumput atau juga mesin padi.

Sunday, November 28, 2010

Pejabat Pos Pulai Chondong

Pejabat Pos ini terletak ditepi jalan Pulai Chondong. Berhadapan pula dengan Klinik Kesihatan Pulai Chondong. Ia dibina sekitar tahun 1970. Dahulu jika ada apa-apa kawat yang hendak dihantar menggunakan telegram melalui Pejabat Pos.. Ia seperti khidmat SMS sekarang. Diwaktu itu jika terima telegram biasanya berita yang tidak baik seperti ada kematian, sakit juga mohon datang bertugas semula walaupun masih dalam cuti. Masa itu dipejabat pos boleh menyimpan wang dengan membuka akaun dengan simpanan minima RM1. Tujuan dibuka bagi orang dewasa kerana ingin terima kiriman wang dari anak-anak yang bekerja diluar Kelantan. Bagi budak sekolah pula untuk belajar menyimpan seperti bila dapat wang biasiswa sekolah. Masa tersebut jika dalam buku simpanan terdapat sepuluh dua puluh ringgit pun sudah dikira banyak dan seronok. Buku akaun simpanan pejabat pos adalah buku akaun pertama daku yang pernah dibuka. Buku itu sentiasa dilihat setiap waktu terluang dan disimpan rapi.

Friday, November 26, 2010

Freewheel

Alat ini dipanggil dalam bahasa asal iaitu freewheel. Alat ini jarang rosak tapi jika rosak kos untuk menukar agak tinggi dan jika boleh diperbaiki boleh menjimatkan kos. Apa yang perlu diganti mungkin bebola sahaja. Walaubagaimanapun jika rosak ia cuma tidak dapat berfungsi iaitu tidak free. Basikal masih dapat berfungsi cuma tidak selesa sahaja dan mungkin merbahaya jika membrek mengejut. Jadi jika kurang bajet tidak perlu ditukar.

Monday, November 22, 2010

Origami

Dahulu nama atau istilah origami ini kita pun tidak tahu sebenarnya. Tapi dari segi membuatnya memamglah kita berminat juga. Sebab modalnya cuma kertas buku latihan sekolah dan surat khabar. Rasanya cuma tiga jenis ini sahaja yang popular dan senang dibuat iaitu perahu, topi atau songkok dan kapalterbang. Songkok mesti dibuat dengan surat khabar sebab saiznya yang besar. Songkok ini bila siap dibuat bolehlah digunakan untuk bersolat di Madrasah kerana dahulu untuk mempunyai songkok hitam sebenar jarang yang mampu cuma mampu melihat yang tergantung dipenyangkut didinding kepunyaan orang dewasa.


Tuesday, November 16, 2010

Projektor Wayang Gambar

Inilah contoh sebuah projector wayang gambar yang digunakan sekitar awal tahun 70an. Dahulunya di Kampung Mata Ayer ada sebuah panggung wayang yang diperbuat dari kayu. Tempat duduknya juga dibuat dari kayu (kudda) dimana dibahagian belakang lebih tinggi dari bahagian depan. Projektor ini pula ditempatkan disatu bilik khas. Setiap pertunjukan ada dua projektor silih berganti akan dipasang. Projektor ini berbeza dengan projektor wayang gambar jabatan penerangan (publik lesen) yang mana ianya lebih kecil. Panggung wayang ini kepunyaan ayah kepada Awang tuan punya kedai di Mata Ayer yang berbangsa cina. Bagaimana pun panggung wayang ini sudah lama tiada yang jaraknya 250 meter kehilir kedai Mek Baru ditepi jalan tepi sungai. Harga tiket masa tersebut dikenakan 35 sen sahaja.

Tuesday, November 9, 2010

Kad Gambar


Inilah agaknya model kamera yang digunakan untuk tangkap gambar disuatu masa dahulu. Masih diingati bila meningkat kepada umur 12 tahun kena buat kad pengenalan . Sebelum pergi ke Pejabat Pendaftaran di Machang kenalah ambil gambar saiz paspot. Juru gambarnya datang kerumah disuatu petang. Jadi tidak perlu kekedai gambar. Jika dikedai gambar siap dipasang lampu yang bersesuaian untuk mendapat foto yang bermutu. Jika dirumah maka diambil diluar rumah dan latar belakangnya pula ialah kain berwarna putih (cerah). Bila dicari yang terjumpa dan agak sesuai ialah kain selimut. Maka dipegang pula oleh seseorang dibelakang dan gambar pun ditangkap (pukul). Juru foto hanya perlu melihat bahagian atas kamera dan ditutup dengan tangan sedikit untuk melihat imej  supaya jelas dan baru di klik. Apabila  siap gambar tersebut apabila diperhatikan sambil lalu tiada apa yang tidak beres tapi yang agak ketara yang kurang kemasnya  ialah kain latar belakangnya nampak berkedut tapi tidak ketara sebab gambar hitam putih.

Friday, November 5, 2010

Ular Lidi

Ular lidi ialah sejenis ular yang selalu dijumpai tidak kira dimana samada ditepi jalan kecil, dibelakang rumah, diatas batas dan lainnya. Walaupun ia tidak merbahaya dan saiznya yang kecil tetapi apabila ia melintas dihadapan kita membuat rasa terkejut. Inilah jenis ular yang banyak terdapat dikampung masa budak-budak. Antara ular yang biasa dijumpai seperti tudung selar yang berbelang kuning hitam, ular kapak walaupun kecil tetapi berbisa, ular daun yang biasanya berada diatas pokok dan tidak akan bergerak walaupun tahu kita ada dibawahnya. Jika disungai dan pandai berenang dipanggil ular air. Ada juga mendengar cerita ular yang bunyinya macam ayam berkokok tapi biasanya berkokok dimalam hari. Jika ular sawa biasanya akan memakan ayam didalam gok (reban). Kadang-kadang juga ada berjumpa dengan bekas kulit ular yang bersalin kulit di dalam ghok (belukar). Begitu juga kita tahu dimana ada tempat kediaman ular bila terdapat lubangnya seperti dipangkal pokok dan ditepi batas. Pendek kata ular binatang yang tidak diminati dan dikira mengganggu aktiviti budak-budak dan dianggap menakutkan serta menandakan perkara tidak baik (negatif).

Wednesday, November 3, 2010

Sisir


Sisir atau sikat jenis ini popular masa dahulu. Setiap rumah dipercayai mesti ada sisir jenis ini. Kegunaannya ialah akan disisir kerambut untuk menjatuhkan kutu (gutu) biasanya akan diletakkan kertas berwarna putih dihadapan tempat gutu jatuh dan senang nampak untuk ditangkap. Bila ditangkap akan diletak atas kuku ibu jari dan gunakan satu lagi ibu jari dengan memenyet kutu tersebut. Yang menariknya apabila memenyet akan mengeluarkan bunyi. Pendek kata dengan cara ini senang untuk dapat gutu. Sekarang agak jarang pula kita melihat alat ini mungkin sekarang orang sudah tidak menghadapi masalah gutu.

Sunday, October 31, 2010

Foto Pekan Pangkal Gong

Kelihatan sebuah surau berhampiran Simpang menuju ke Kemubu. Di Kelantan terdapat dua tempat bernama Kemubu satunya di Hulu Kelantan dan satu lagi ditepi Sungai Kelantan tempat dimana terdapat Rumah Pam untuk mengairi sawah padi sekitar Jajahan Kota Bharu. Yang di Hulu Kelantan pula jika membuat perjalanan menggunakan keretapi akan melaluinya di stesennya. Di simpang ini keadaan lalu lintasnya agak sibuk dan merbahaya pada semua pengguna jalan raya dan perlu lebih berhati-hati semasa mengambil laluan masing-masing.


Sunday, October 24, 2010

Foto Tanah Perkuburan Surau Kerawang

Pemandangan tanah perkuburan ini berlatar belakangkan Bukit Panau. Tempat ini terletak bersebelahan Masjid Al Amin. Jarak keluar kejalan raya lebih kurang 300 meter. Masjid ini telah dibina sekitar tahun 1974 diatas tapak lama surau.

Sunday, October 17, 2010

Pengkalan Kunyit




Tempat ini terletak lebih kurang 1 kilometer untuk ke Simpang Pangkal Gong jika datang dari arah Kemubu. Jalan disini agak lurus dan melalui kawasan bendang padi yang luas. Apa yang menonjol disitu terdapat sebuah pondok disimpang jalan kampung untuk ke Kampung Surau. Jika dizaman bebudak dahulu daku pernah melalui tempat ini dengan berjalan kaki bersama kawan (Bakri) dari Machang untuk balik ke Kampung Dusun Buluh dan Bandar. Tapi bila berhampiran tempat ini hari sudah hampir gelap dan jika tidak silap kami tidak lagi berjalan kaki kerana ada kenderaan untuk dinaiki. Tempat ini jika diwaktu malam keadaannya agak gelap dan sunyi kerana bukan kawasan perkampungan. Oleh itu diandaikan tempat ini agak keras iaitu jika dilalui diwaktu malam agak ditakuti. Keadaan dan suasana seperti ini sesuai pada masa dahulu dimana kepercayaan tersebut masih menebal. Dari segi sejarah pula tempat ini apa yang difahamkan dahulunya memang ia sebuah pengkalan untuk penduduk sekitar Pulai Chondong jika ingin ke Bandar Kota Bharu melalui jalan sungai. Dari pengkalan ini yang terdapat anak sungai akan kesungai kelantan dan seterusnya ke distinasi seterusnya samada menghilir atau mudik. Mungkin ini terjadi kerana tiada kemudahan pengangkutan jalan darat atau cara pengangkutan alternatif. Begitulah jika dapat dibayangkan betapa sukarnya orang-orang dahulu untuk bergerak dari satu tempat kesatu tempat berbanding sekarang. Sekarang tempat ini masih tidak berubah kelihatan seperti dahulu juga. Ini mungkin disebabkan tempat ini agak rendah dan sering dinaiki air dimusim banjir.

Sunday, October 10, 2010

Kampung Kubang Terbit



Nama asal Kampung Kubang Tebit/Tubik atau Kubang Tebik ialah mengikut ceritanya berasal dari sebuah kubang. Kubang tersebut terletak berhampiran dengan rumah Pak Kob Minah dan juga rumah Pakda Soh dekat rumah Pak Melah. Juga berhampiran dengan simpang untuk kerumah Tok Ayong berbangsa cina dimana jika melalui rumahnya untuk ke Becah Kua.Ianya terletak disebuah kawasan yang agak rendah. Dipercayai disitu ada sebuah kubang yang agak besar yang bertakung air. Dikubang itu juga tempat banyak burung-burung terbit atau keluar samada untuk minum atau mandi terutama jika pada musim kemarau. Mungkin disebabkan jumlahnya agak banyak dan sentiasa berlaku maka ada penduduk mengambil kejadian/fenomena ini untuk menamakan kampung ini sebagai Kubang Burung Terbit/Tubik. Lama selepas itu terbit bertukar jadi tebit sahaja. Jadi tempat ini seperti difoto adalah tempat asal Kampung Kubang Tebit. Kampung ini sekarang boleh dilalui melalui jalan kecil (jalan kampung) sehingga ke simpang jalan besar hingga keklinik keluarga dekat Kampung Wakaf Zin dan juga akan keluar ke Kampung Dusun Buluh dekat Balai Sah berhadapan rumah Abang Derih. Apapun ini cerita mulut sahaja dari orang lama yang menetap disini. Kampung Kubang Tebit ini mengikut geografinya boleh dibahagi dua iaitu Kubang Tebit Hulu dan Kubang Tebit Hilir kerana kawasan perumahan sepanjang jalannya agak panjang dan jauh. Mungkin yang hulunya dimulai dari selekoh dekat rumah Pakda Soh dan hilirnya dari rumah Pakda Soh kerumah Makcik Yam. Sebelah alik hilir Rumah Makcik Yam pula mungkin termasuk dalam Kampung Dusun Buluh.

Tuesday, October 5, 2010

Mesin Penampi Padi

Pesawat Penampi Padi ini telah berusia hampir 100 tahun. Ini diberitahu oleh pemiliknya yang dikenali sebagai Awang berbangsa cina yang tinggal di Kampung Dusun Buluh. Pernah satu ketika mesin ini terdedah hujan dan panas tetapi disebabkan diperbuat dari kayu cengal ianya tidak reput. Pernah juga mesin ini hendak dibeli difahamkan oleh muzium tapi tidak dijual mungkin kerana ada nilai sentimental. Asalnya mesin ini berada di Pulau Raya tempat beliau berasal dimana disana banyak juga ditanam padi. Tapi telah berpindah keKampung Mata Ayer kerana ibunya berkahwin dengan Yer tinggal dekat dengan Sekolah Kebangsaan

Mata Ayer. Mesin ini satu ketika dahulu banyak digunakan untuk menampin padi. Biasanya jika tiada mesin ini boleh juga dugunakan menggunakan badang untuk memisahkan dengan padi hampa. Sekarang beliau (Awang) menetap disini dengan berkebun, membuat ragi dan berniaga durian jika tiba musimnya. Dimasa daku budak-budak dahulu Awang ini selalu datang menoreh kekebun getah dimana terletak rumahnya sekarang tapi telah ditebang dan diganti dengan pokok dokong.

Thursday, September 30, 2010

Pak Cu Soh


Pak Cu Soh merupakan orang lama yang masih ada di Kampung Dusun Buluh. Tapi sekarang hanya berada dirumah dan tidak mampu lagi berada diluar rumah. Jika setahun yang lalu jika melawatnya beliau masih mampu mengesok keruang tamu. Tapi sekarang beliau pun sudah tidak mampu lagi berbuat demikian. Kini beliau hanya berada dibiliknya sehari-harian. Bila berbicara dengannya beliau masih mengenali jika diberitahu siapa kita dan pendengarannya baik. Beliau masih ingat siapa kita dan dapat berinteraksi dengan baik walaupun penglihatanya gagal mengenali kita lagi. Dibahagian dikedua-dua lututnya sudah tidak dapat dibengkokkan sepenuhnya jadi jika beliau tidur pun dalam keadaan begitu. Sekarang beliau dikira yang paling berumur di Kampung Dusun Buluh ini dan mungkin umurnya sudah hampir 100 tahun kerana yang seangkatan dengannya sudah tiada. Beliau juga dikira perihatin terhadap keluarga kami dalam soal bertanya khabar dan akan memantau mana yang perlu terutama soal keselamatan. Sekarang tinggal bersama anaknya Cek Yoh Pak Man.

Saturday, September 25, 2010

Bangunan Lama Sekolah Kebangsaan Mata Ayer





Bangunan lama setingkat sekolah ini telah lama wujud sebelum tahun 70an lagi. Jika dahulu jika tidak silap hanya ada satu blok bangunan sahaja. Kemudian mungkin ditambah pula satu lagi bangunan. Blok yang terdapat bangunan baru sekarang dahulunya ialah padang bola sepak. Bangunan lama ini sekarang sudah tidak digunakan lagi dan diletakkan barang-barang lama juga dikosongkan. Difahamkan juga sekolah ini kekurangan murid berbanding sekolahnya yang besar dan tenaga pengajar yang mencukupi. Ini mungkin terjadi kerana ada yang menghantar anak masing-masing kesekolah di Pulai Chondong. Dahulu padang bola lama sekolah ini sentiasa digunakan terutama oleh pemain dewasa bukan sahaja oleh murid-murid. Begitu juga dibahagian depan berhampiran pintu pagar masuk dahulunya terdapat gelanggang badminton dan sentiasa digunakan pada waktu malam.

Monday, September 20, 2010

Kelas Lukisan



Semasa di tingkatan 1 SMAS pernah daku mengambil mata pelajaran lukisan tapi rasanya masa ambil SRP tidak mendudukinya kerana diganti dengan mata pelajaran Pendidikan Agama Islam. Subjek lukisan ini memang semenjak dari sekolah rendah lagi memang diminati kerana dapat bermain dengan water color (serbuk) percuma. Jika silap bancuh masa mewarna kertas lukisan akan basah dan susah kering. Yang masih diingat cara paling senang membuat lukisan ala abstract iaitu dengan cara ambil berus yang siap ada water color padanya dan diketuk kejari menghala kekertas lukisan. Dengan cara ini ia membentuk satu corak yang menarik. Lagi satu digunakan ubi keledek (setelor) yang dipotong dan dibentuk corak-corak dengan pisau. Corak itu bermacam bentuk seperti tiga segi dan dicelup ubi yang bercorak kedalam pewarna dan ditekan pula kekertas lukisan sehingga penuh satu kertas lukisan dengan pelbagai bentuk. Semasa di SMAS guru yang mengajar ialah Cikgu Lee Tong Keng. Beliau ini amat baik semasa mengajar dan tidak pernah marah kepada anak murid. Mungkin ini juga sebab kita meminati lukisan. Kelas lukisan berada bersebelahnan kantin sekolah dan sebelah kiri pula kawasan perhimpunan seminggu sekali. Cuma apa yang diingati cuma ada seorang murid pada masa itu yang selalu disebut nama yang pandai dan berbakat melukis dan beliau tinggal di Joh atau Labok.

Wednesday, September 15, 2010

Restoran Baru Alias Pulai Chondong





Restoran Alias yang baru setelah berlaku kebakaran dahulu telah dibuka kembali semenjak bulan Jun 2010 yang lepas. Konsep dan reka bentuk restoran masih mengekalkan konsep terdahulu. Restoran ini juga berada dihujung deretan kedai berhampiran Surau yang berdekatan Stesen minyak Shell Pulai Chondong. Restoran ini tidak lagi berada ditepi jalan tapi berada berhampiran Market Pulai Chondong. Jika diperhatikan ramai dipenuhi pelanggan seawal pagi dan tuan punya kelihatan bersemangat melayannya. Restoran ini berwarna kuning ditingkat atasnya dan bahagian dinding dalamnya.

Thursday, September 9, 2010

Selamat Hari Raya Aidilfitri

Dahulu masa budak hari raya ialah hari bersuka ria dengan makanan yang berbagai, pakaian pula baru walaupun dalam bentuk baju dan seluar sekolah sahaja. Itu semua tidak diambil berat sangat kerana majoritinya begitu. Dahulu sepanjang bulan puasa dirasakan waktunya cukup lama datangnya hari raya. Begitu juga jika menunggu untuk berbuka puasa 5 minit pun dirasakan lama menunggu didepan hidangan. Jika hari biasa pun dirasakan lama apa lagi dibulan Ramadan. Ini berbeza dengan sekarang dirasakan waktu sudah semakin cepat berlalu. Kemeriahan Ramadan disiang hari mungkin tidak dirasakan sangat kerana lapar berpuasa namun apabila menjelang petang suasana berubah. Apa lagi jika dapat berbuka bersama jiran tetangga jika ada sauadara mara yang menganjurkan majlis berbuka puasa . Dimalam hari diisi dengan acara solat terawih dibalai sah Kampung Dusun Buluh dan bermain permainan tertentu . Permainan popular pula ialah meriam buluh. Selepas terawih memang ada jamuan seperti kuih muih tapi yang popular dan tetap diingati ialah biji sagu berwarna warni dan cendol hijau air gula.. Kita budak-budak memang tahu bila masa akan tamat terawih dan akan segera kembali untuk menikmati jamuan ringan. Orang dewasa dan ibu bapa pula tidak pula menghalang apa sahaja aktiviti yang diadakan dalam bulan Ramadan ini dan seolah-olah bulan ini bulan kebebasan. Dan dibulan ini juga diadakan Musabaqah membaca AlQuran peringkat antarabangsa. Biasanya akan didengar melalui radio sahaja kerana set TV tiada yang hendak menaja. Ini kerana tuan punya TV dikampung semua berbangsa cina. Waktu sahur adalah waktu sukar untuk bangun kerana penat beraktiviti dimalam hari tetapi digagahi juga. Bila menjelang hari raya pagi-pagi lagi telah bangun dari tidur dan mandi diperigi disamping menggosok gigi dengan ubat gigi percuma dari sekolah. Selepas itu bersolat hari raya. Maka selepas solat hari raya maka aktiviti pun bermula. Maka diatas jalan samada jalan kecil dan besar dikampung ramailah budak-budak kehulu dan kehilir beraya dengan baju baru. Tidak perlu dibimbangi akan bahaya lalu lintas kerana yang akan lalu pun bas sahaja dan sedikit kereta prebet sapu dan van. Masa itu kita tidak akan berada dirumah lagi kerana akan beraya kerumah saudara mara disekitar kampung untuk cari duit raya. Walaupun dapat 10 atau 20 sen dari setiap rumah sudah dikira berbaloi. Setelah duit raya berjaya dikumpul inilah masa untuk berbelanja samada membeli mercun, beradu nasib dengan sejenis permainan tikam menikam juga akan kebandar menaiki bas. Itu hari raya pertama. Untuk hari raya kedua pun lebih kurang begitu juga. Dan dahulu hari raya hanya dua hari sahaja. Tapi walaupun dua hari tapi aktivitinya padat. Lagipun cukuplah dua hari sahaja kerana baju raya pun bukannya banyak. Untuk hari raya pertama dan kedua itulah juga baju yang dipakai. Masa hari raya program TV pun dikira istimewa. Tayangan gambar agak terkini juga disiarkan disamping filem lama. Jumlah penonton pun ramai disesebuah rumah yang bukan terhad kepada ahli keluarga sahaja. Dahulu tiada budaya balik kampung seperti sekarang. Tidak perlu menunggu siapa akan balik. Cuma menunggu anak yang tinggal dikampung lain untuk datang beraya. Jadi mereka ini tanpa gagal akan datang beraya kerumah ibu bapa untuk bermaaf-maafan dihari mulia. Hari Raya umumnya untuk kanak-kanak berseronok dengan baju baru, permainan, duit raya, makanan raya, naik kenderaan, ziarah menziarahi dan lainnya yang menyeronokkan. Salam Aidilfitri ampun dipohon maaf diberi dari blog KDB pada semua pembaca.

Saturday, September 4, 2010

Pistol Lidi

Pistol Lidi amat popular dimasa budak dahulu. Ianya tidak mengira musim samada hari biasa atau menjelang Hari Raya. Bahan yang diperlukan ialah lidi basikal jika boleh yang bersaiz panjang sekali, kepala lidi, paku saiz setengah inci, getah urat dan belerang dikepala batang mancis. Caranya dimasukkan belerang mancis kedalam lubang kepala lidi. Setelah hampir penuh masukkan paku kedalam lubang tersebut. Selepas itu siap untuk diketuk. Ianya mesti diketuk diatas batu atau simen supaya ianya meletup. Permainan ini seeloknya diawasi oleh orang dewasa atau dibuat demotrasi dulu untuk memahamkan tekniknya. Jika tahu tekniknya ia tidaklah merbahaya tapi bunyi letupan agak kuat juga. Jika ragu-ragu tidak usahlah mencubanya malah jika tidak pernah melakukannya. Setelah berulang kali diletupkan biasanya kepala lidi akan mula pecah. Dinasihatkan juga dimusim perayaan pernah kedengaran ada yang cedera kerana membuat letupan sendiri menggunakan batang paip dengan memasukkan belerang didalam batang paip dan sambil mengetuk-ngetuk. Ini merbahaya kerana bahan letupan tidak boleh diketuk sewenang-wenangnya kerana ia akan meletup sebelum sampai masa yang diperlukan. Belerang yang dimaksukkan disini ialah serbuk yang terdapat di dalam mercun atau bunga api. Itu sebab pihak berkuasa melarang menjual mercun kerana disalah gunakan dengan menggunakan ditempat salah seperti batang paip besi kerana sedikit sahaja diketuk atau bergesel ia akan meletup dan amat berbahaya kepada yang tidak tahu cara serbuk tersebut berfungsi.

Monday, August 30, 2010

Pondok Polis Mata Ayer

Pondok polis ini telah lama dibina lebih dari 10 tahun yang lalu.Ianya terletak di Pekan Mata Ayer iaitu menghadap berhampiran Kedai Mek Baru dan Kedai Awang. Dahulu selepas pembinaannya Pondok Polis ini dinamakan Pondok Polis Bandar. Ini mungkin menggantikan Pondok Polis Bandar. Nama itu agak tidak sesuai sebab ia berada di Mata Ayer. Selepas dibuka selang beberapa tahun ia tidak digunakan pula. Sekarang mungkin ia telah beroperasi semula. Kawasan persekitarannya agak luas dan bangunan pun agak besar. Daku pernahlah sekali masuk ke Pondok Polis ini tapi telah lupa apa tujuan ketika mula-mula dibuka dahulu tapi apa yang diingat ialah jika seseorang telah meninggal dunia maka tugas anggota polis disini akan mengambil kad pengenalan orang yang telah meninggal tersebut dari warisnya.

Wednesday, August 25, 2010

Simpang Kemubu Pangkal Gong





Kedai runcit difoto ini terletak di Kampung Pangkal Gong Pulai Chondong Machang Kelantan. Juga ianya berhampiran dengan simpang. Jika kita datang dari arah Kemubu jika membeluk kekiri akan ke Kota Bharu dan kanan ke Kuala Krai. Sebelum sampai kesini dari Kemubu terdapat beberapa buah kedai dikiri kanan jalan. Disebelah kiri dahulu ada kedai Alwi berhampiran sebuah wakaf. Disebelah kanan ada kedai kopi. Dahulu tempat ini agak sibuk kerana ia menjadi tempat menunggu bas dan kereta private sapu. Juga tempat ini kira pusat bandar Pangkal Gong. Jika dahulu juga jika kita menaiki bas SKMK dari Kemubu ia akan pergi ke Pekan Pulai Chondong dahulu kemudian baru ke Bandar Machang. Tapi difahamkan kemudahan ini telah lama diberhentikan. Jadi jika hendak ke Pekan Pulai Chondong terpaksalah berhenti saja disini. Begitu juga jika kita datang dari Bandar Machang dengan bas lain kita terpaksa berhenti disini dan akan mengambil kereta private sapu pula untuk ke Kemubu dan sebagainya. Pendek kata dahulu perkhidmatan bas dan kereta sapu amat penting sebagai kenderaan awam untuk semua peringkat umur dari budak hingga dewasa. Jika menaiki bas penumpang kadang-kadang boleh tawar menawar harga tambang dengan penjaga tiket bas . Mana-mana yang tidak cukup wang atau hendak berjimat (budak-budak) bila penjaga tiket tanya hendak kemana akan ada yang mengatakan akan singgah di Kampung Mata Ayer sedangkan hendak ke Kampung Dusun Buluh. Jadi bila sampai dekat dengan sempadan Kampung Dusun Buluh(masih kawasan Mata Ayer) kena lah turun dan berjalan pula. Ini satu teknik sahaja. Juga semasa didalam bas juga penumpang perlu meyimpan tiket kerana sekali sekala ada spital bas akan memeriksa tiket bas tersebut. Jika gagal ditunjukkan akan dikehendaki membayar lagi. Sekarang mungkin budak-budak sudah jarang melalui pengalaman ini kerana masing-masing ibu bapa mempunyai kenderaan sendiri.

Friday, August 20, 2010

Puting Beliung


Kenapa pepatung ini dikenali sebagai puting beliung tidak pula diketahui tetapi itulah namanya yang masih diingati. Serangga ini boleh dijadikan permainan juga iaitu apabila ditangkap akan diikat benang diekornya. Lepas itu dilepaskan terbang keudara. Lagi satu kegunaannya dipercayai jika budak-budak selalu kencing malam bolehlah digunakan khidmat serangga ini iaitu dengan membiarkan ia menggigit pusat budak tersebut. Apapun tidak pula diketahui apakah cara ini berkesan untuk menghilangkan gejala tersebut.

Sunday, August 15, 2010

Culvert


Kalbut ini disuatu masa dulu samasa jalan bertar baru dibina antara Pangkal Gong dan Kemubu juga menjadi tempat menarik dan jadi tumpuan. Kalbut ini dibina diatas jalan raya untuk menghubungkan kedua-dua belah parit kiri dan kanan jalan supaya aliran air seimbang dikedua-dua belah jalan dan tidak melimpah diatasnya . Di Kampung Dusun Buluh dianggarkan ada dua kalbut iaitu satu berhampiran didepan rumah Pak Wil Tukang azan balai sah juga beliau boleh memanjat pokok kelapa. Suaranya lantang jika mengalunkan azan. Rumah beliau berdekatan pula dengan rumah Abang Deris hadapan Balai Sah sebelah alik ulu. Satu lagi dekat rumah Maksu Embong Pak Cu Soh tapi kurang popular. Pada permulaan siapnya kalbut ini ramailah budak-budak bermain-main disini jika ada kelapangan. Aktivitinya macam biasa iaitu merangkak dari sebelah sini kesebelah sana. Didalamnya agak gelap. Apa yang lebih menyeronokkan jika hari mula hujan dimana kita ramai-ramai duduk didalamnya. Cabaran juga untuk melalui bawah kalbut ini kerana dibimbangi ada binatang berbisa didalamnya seperti ular dan sebagainya. Apabila agak lama selepas dibina ada juga aktiviti kurang sihat berlaku iaitu ada mereka yang tidak bertanggungjawab pada waktu malam akan membuang hajat diatas batu hujung kalbut ini dimana seolah-olah macam tandas pula. Tapi sekarang rasanya aktiviti merangkak ini tiada lagi kerana kalbut pun mungkin sudah tersumbat dan tidak sesuai dijadikan tempat bermain serta bersemak.