Featured Post

Azan

1.    Disuatu ketika dahulu ketika masih budak ketika menonton TV bila masuk waktu solat akan dialunkan suara azan buat seketika. Begitu jug...

Thursday, September 9, 2010

Selamat Hari Raya Aidilfitri

Dahulu masa budak hari raya ialah hari bersuka ria dengan makanan yang berbagai, pakaian pula baru walaupun dalam bentuk baju dan seluar sekolah sahaja. Itu semua tidak diambil berat sangat kerana majoritinya begitu. Dahulu sepanjang bulan puasa dirasakan waktunya cukup lama datangnya hari raya. Begitu juga jika menunggu untuk berbuka puasa 5 minit pun dirasakan lama menunggu didepan hidangan. Jika hari biasa pun dirasakan lama apa lagi dibulan Ramadan. Ini berbeza dengan sekarang dirasakan waktu sudah semakin cepat berlalu. Kemeriahan Ramadan disiang hari mungkin tidak dirasakan sangat kerana lapar berpuasa namun apabila menjelang petang suasana berubah. Apa lagi jika dapat berbuka bersama jiran tetangga jika ada sauadara mara yang menganjurkan majlis berbuka puasa . Dimalam hari diisi dengan acara solat terawih dibalai sah Kampung Dusun Buluh dan bermain permainan tertentu . Permainan popular pula ialah meriam buluh. Selepas terawih memang ada jamuan seperti kuih muih tapi yang popular dan tetap diingati ialah biji sagu berwarna warni dan cendol hijau air gula.. Kita budak-budak memang tahu bila masa akan tamat terawih dan akan segera kembali untuk menikmati jamuan ringan. Orang dewasa dan ibu bapa pula tidak pula menghalang apa sahaja aktiviti yang diadakan dalam bulan Ramadan ini dan seolah-olah bulan ini bulan kebebasan. Dan dibulan ini juga diadakan Musabaqah membaca AlQuran peringkat antarabangsa. Biasanya akan didengar melalui radio sahaja kerana set TV tiada yang hendak menaja. Ini kerana tuan punya TV dikampung semua berbangsa cina. Waktu sahur adalah waktu sukar untuk bangun kerana penat beraktiviti dimalam hari tetapi digagahi juga. Bila menjelang hari raya pagi-pagi lagi telah bangun dari tidur dan mandi diperigi disamping menggosok gigi dengan ubat gigi percuma dari sekolah. Selepas itu bersolat hari raya. Maka selepas solat hari raya maka aktiviti pun bermula. Maka diatas jalan samada jalan kecil dan besar dikampung ramailah budak-budak kehulu dan kehilir beraya dengan baju baru. Tidak perlu dibimbangi akan bahaya lalu lintas kerana yang akan lalu pun bas sahaja dan sedikit kereta prebet sapu dan van. Masa itu kita tidak akan berada dirumah lagi kerana akan beraya kerumah saudara mara disekitar kampung untuk cari duit raya. Walaupun dapat 10 atau 20 sen dari setiap rumah sudah dikira berbaloi. Setelah duit raya berjaya dikumpul inilah masa untuk berbelanja samada membeli mercun, beradu nasib dengan sejenis permainan tikam menikam juga akan kebandar menaiki bas. Itu hari raya pertama. Untuk hari raya kedua pun lebih kurang begitu juga. Dan dahulu hari raya hanya dua hari sahaja. Tapi walaupun dua hari tapi aktivitinya padat. Lagipun cukuplah dua hari sahaja kerana baju raya pun bukannya banyak. Untuk hari raya pertama dan kedua itulah juga baju yang dipakai. Masa hari raya program TV pun dikira istimewa. Tayangan gambar agak terkini juga disiarkan disamping filem lama. Jumlah penonton pun ramai disesebuah rumah yang bukan terhad kepada ahli keluarga sahaja. Dahulu tiada budaya balik kampung seperti sekarang. Tidak perlu menunggu siapa akan balik. Cuma menunggu anak yang tinggal dikampung lain untuk datang beraya. Jadi mereka ini tanpa gagal akan datang beraya kerumah ibu bapa untuk bermaaf-maafan dihari mulia. Hari Raya umumnya untuk kanak-kanak berseronok dengan baju baru, permainan, duit raya, makanan raya, naik kenderaan, ziarah menziarahi dan lainnya yang menyeronokkan. Salam Aidilfitri ampun dipohon maaf diberi dari blog KDB pada semua pembaca.

No comments:

Post a Comment