Featured Post

(Berita Lewat) Kembali kerahmatullah Ramli Mohamed pada 25 Sep 2025

Semoga rohnya ditempatkan bersama mereka yang beriman dan beramal soleh. semasa saya masih budak pernah bermain main disekitar rumahnya yang...

Wednesday, March 21, 2012

Pin Rambut

Pin rambut ini digunakan untuk disepit pada rambut untuk kelihatan rapi dan kemas serta cantik bagi golongan wanita. Jika dahulu sepit rambut ini hanya berwarna hitam. Ianya mudah ditemui diatas rumah dan dikira selalu diguna seperti alat lain iaitu kacing baju semat, jarum serta jarum peniti, pengorek telinga juga ketip kuku. Apa yang istimewanya pin rambut ini ialah ia digunakan sebagai pengganti alat pengorek telinga kerana dianggap kurang bahaya dari alat pengorek telinga yang sebenar yang diperbuat dari logam yang agak tajam dihujungnya. Walaubagaimanapun fungsinya sebagai alat pengorek telinga suatu ketika dulu telah berakhir kini disebabkan ia agak merbahaya dan diganti dengan yang lebih selamat dan lembut seperti sekarang yang diperbuat dari kapas.

Friday, March 9, 2012

Kapal Haji

Dahulu sebelum tahun 80an jika ke Mekah mengerjakan ibadah haji bakal-bakal haji akan menaiki kapal laut. Apa yang diingati nama kapal tersebut ialah Kapal Malaysia Raya. Diceritakan kononnya kapal ini hadiah dari kerajaan Jepun sebagai hadiah pampasan atas penjajahannya keatas Tanah Melayu masa Peperangan Dunia Ke 2. Bakal-bakal haji khasnya dari Kelantan akan menaiki kapal ini di Pelabuhan Pulau Pinang. Jadi mereka akan pergi ke Pulau Pinang dengan menaiki keretapi samada melalui Thailand atau melalui Gemas biasanya dengan diiringi pengiring seperti anak yang agak dewasa. Mereka akan ke Mekah selama tiga bulan dimana diatas kapal sahaja pergi dan balik selama satu bulan. Apa yang dibawa bersama ialah beras serta lauk seperti ikan kering serta peralatan memasak seperti dapur minyak semawar. Diberita kapal tersebut didalamnya ada tujuh tingkat. Semasa diatas kapal bakal haji masa diperuntukkan untuk mempertingkatkan pengajian mengerjakan ibadah haji. Dahulu didalam satu kampung mungkin ada seorang atau tiada yang akan menunaikan haji. Masa awal 70an kos menunaikan haji ialan lebih kurang RM1300. Semasa menghantar bakal haji samada dikapal atau stesen keretapi suasana agak kesedihan kerana akan berpisah untuk tempoh yang lama dan mungkin tidak akan dapat berjumpa lagi. Apabila pulang ke tanah air buah tangan seperti buah kurma, buah tin(ara) air zam zam, celak, kamera dan lainnya dibawa bersama. Bahan-bahan tadi pula dimasukkan kedalam periok besar dan periok itu pula dibungkus dengan jaring atau jala supaya tudungnya tertutup ketat tidak tertanggal. Mungkin disebabkan banyaknya halangan dan pengorbanan dan jarang orang yang dapat mengerjakan haji maka mereka ini diberikan gelaran Haji atau AlHaj.

Wednesday, February 15, 2012

Masjid Kampung Surau Pulai Chondong

Masjid ini terletak di Kampung Surau. Apa yang istimewa masjid ini ialah menara yang diperbuat dari kayu yang mana diriwayatkan didirikan oleh Tok Pulai Chondong. Nama sebenarnya pula ialah Abdul Samad. Masjid ini makin terkenal pada kami pelajar Sek Men Abdul Samad (SMAS) sekitar tahun 70an. Dahulunya SMAS dikenali sebagai Sek Men Pulai Chondong. Apa yang menariknya pula ketika itu nama guru besar sekolah ini juga bernama Abdul Samad. Semasa pembukaan jika tidak silap diresmikan oleh Menteri Pelajaran Dato' Mohamad Yaakob. Itulah detik bersejarah yang pasti tidak dapat dilupakan hampir 40 tahun dahulu.

Wednesday, February 8, 2012

Bulan Maulidur Rasul

Bulan ini disebut Bulan Moklud. Jika dikampung dahulunya ia amat meriah kepada bebudak terutama dimalam hari. Aturcaranya mudah iaitu berkumpul, berselawat dan makan. Ianya diadakan dari sebuah rumah kerumah yang lain. Menu makannya dari air teh O dengan biskut tawar kepada nasi gulai kambing mengikut kemampuan tuan rumah. Selama sebulan acara menyambut kelahiran Nabi Muhammad SAW diraikan. Antara rumah yang agak jauh mengadakan acara ini ialah rumah Hamad Tok Menai di Kubang Tebit yang menyediakan menu makan nasi gulai kambing. Jadi walaupun jauh meredah gelap malam hari ianya dikira berbaloi. Apa yang diperhatikan acara ini dilakukan mengikut kampung masing-masing sahaja dimana sebagai contoh penduduk kampung Dusun Buluh tidak akan ke Kampung Mata Ayer atau Kampung Bandar dan begitu sebaliknya. Mungkin ini berlaku kerana semangat kekampungan yang tinggi dan juga jarak dan kemudahan kenderaan yang terhad. Dulunya semangat untuk meraikan kelahiran Junjungan Besar SAW kita oleh penduduknya amat disanjung tinggi walaupun kurang kemampuan dari segi menyediakan makanan cukup dengan minum air teh O dan biskut tawar sahaja kerana bukan itu yang dipentingkan tapi untuk sama-sama meraikannya. Sekarang acara menyambut kelahiran seumpama ini diambil alih oleh Masjid dan surau serta dimedia penyiaran dan mungkin acara dari rumah kerumah berselawat sudah berkurangan atau tiada lagi. Apapun pendekatannya acara sambutan Maulidur Rasul perlu disemarakkan terutama kepada golongan remaja dan kanak-kanak agar kecintaan pada Nabi SAW terus dapat dipertingkatkan.

Wednesday, February 1, 2012

Sabut Nyior

Jika untung sabut timbul begitu lebih kurang pepatah dahulu. Sabut ini amat berguna untuk dibuat bahan bakar terutama bagi membakar bahulu yang akan diletak bahagian atas penutup bekas pembakar. Ada juga sabut ini dibuat memberus kekotoran atas lantai seperti najis ayam atau kekotoran yang susah tanggal. Sabut ini perlu diletak ditempat berbumbung untuk mengelak basah ditimpa air hujan. Juga teringat dulu-dulu isi buah kelapa akan disalai sebelum dijual. Isi kelapa yang disalai akan diletak ditempat penyalai yang tinggi kedudukannya dan dibawahnya dinyalakan api. Jika tidak silap bahan bakarnya adalah dari sabut. Tetapi di Kampung Dusun Buluh tidak ada aktiviti menyalai isi kelapa ini. Aktiviti ini berlaku di Kampung Sungai Keladi Kota Bharu berhampiran Tanjubg Chat dimana disana banyak terdapat banyak buah kelapa. Mungkin sekarang orang tidak tahu lagi atau dapat membayangkan bagaimana isi kelapa yang begitu banyak disalai.

Wednesday, January 25, 2012

Sarang Kerengga

Sarang kerengga biasanya terletak diatas pokok yang diperbuat dari daun pokok tersebut. Kerengga tidak seperti semut lain yang membuat sarang tidak diatas pokok dimana biasanya bahagian atas tanah. Apapun kerengga ini cuma akan jadi ancaman bila tiba musim buah kerana kesukaran untuk kita memanjat pokok seperti pokok duku, jambu, rambutan dan lainnya. Jika kita diserang selain digigit kerengga tersebut akan mengeluarkan sejenis cecair yang apabila terkena pada mata akan terasa pedih. Disebabkan jumlah mereka ini banyak maka jumlah cecair yang dipancarkan akan cepat mengena sasaran. Pernah juga diceritakan kerengga akan bertelur yang berwarna cerah keputihan dan telur tersebut ada yang memakannya. Sukar juga untuk membayangkan akan hal tersebut kerana kita sedari zaman bebudak tidak pernah memakannya dan apa khasiatnya tidak pula diketahui.

Wednesday, January 18, 2012

Buah Getah Berani

Buah getah pun ada yang berani dan ada yang penakut. Jika yang berani itu maksudnya yang kuat dan menang jika diperlagakan antara satu sama lain. Teringat juga diawal tahun 70an buah getah dikutip dan dikumpul banyak-banyak kononnya dapat dijual dan akan dibeli oleh seseorang tapi tidak diingat pula siapa yang membeli dan berapa kadar harganya kerana tidak dialami oleh diri sendiri sendiri cuma sempat juga mengumpulnya. Ini terjadi kerana kononnya waktu tersebut harga getah mahal dan pokok-pokok getah perlu ditanam dalam kuantiti yang banyak.

Wednesday, January 11, 2012

Batang Pisang

Batang pisang seperti ini yang telah siap dipotong-potong atau dicincang dengan menggunakan parang atau sadak adalah untuk dijadikan makanan lembu. Biasanya lembu jika lapar akan suka makan batang pisang ini. Walaupun adakalanya tidak dapat dihabiskan sebatang tapi cukuplah untuk mengenyang sementara lembu tersebut terutama jika dimusim bah yang sukar dicari rumput yang tempatnya banyak ditenggelami air. Untuk menyelerakan lagi lembu tersebut makan bolehlah direnjis-renjis dengan air garam atau sebarang air yang rasanya masin. Inilah antara aktiviti masa budak yang ada pengalaman sedikit memelihara lembu kampung dua tiga ekor. Walaupun kita budak-budak sibuk dengan pelbagai aktiviti seperti bermain, sekolah dan menolong ibu bapa sempat juga melayan memberi makan lembu yang dipelihara walaupun kadang-kadang ada ketikanya terlepas pandang memberi makan atau mengalih lembu tersebut.

Wednesday, January 4, 2012

Bah

Pada 1 Jan 2012 sempena tahun baru Masehi sekitar Pulai Chondong telah dinaiki air bah. Jalan yang tidak boleh dilalui ialah di Pengkalan Kunyit dan Jalan di Pangkal Perahu. Walau bagaimana pun ianya cuma beberapa jam sahaja terputus hubungan laluan sekitar pagi dan menjelang petang sudah boleh dilalui. Untuk ke Kampung Dusun Buluh perlu melalui jalan Kok Lanas Kemubu. Musim ini sudah dua kali dinaiki air dan biasanya air akan naik sebanyak tiga kali barulah berakhir musim bah dikawasan ini. Foto adalah kejadian bah dijalan Pangkal Perahu ke Kerawang sekitar jam 1030 pagi.

Wednesday, December 28, 2011

Padang Wau Kerawang 4

Sekarang padang wau ini sudah tidak kelihatan seperti dulu lagi. Dimana kini sesetengah kawasan telah berpagar dawai duri dan ditanam pelbagai tanaman seperti sayuran. Terdapat juga dibina tempat takungan air yang besar mungkin sebagai tempat menyimpan air siraman tanaman. Apa pun tempat ini telah tersimpan sejarahnya yang tersendiri dimana pernah terkenal terutama bagi kami penduduk berhampiran dengan Kampung Kerawang. Tempat ini juga jika selepas mengetam padi adalah tempat pertama ditempuh atau dilalui untuk mencari belalang kunyit diwaktu malam. Belalang ini banyak terdapat di batang padi dan tidak terbang dan senang ditangkap. Belalang ini pula boleh dijadikan bahan makanan.

Wednesday, December 21, 2011

Padang Wau Kerawang 3

Suasana pertandingan wau diwaktu petang disini diberi tumpuan keatas wau-wau yang akan masuk bertanding mengikut giliran. Jumlah berapa pusingan wau dapat dipertandingkan bergantung kepada jumlah peserta yang akan masuk bertanding. Bagi peserta pula tujuan mereka bertanding adalah untuk menang. Jadi faktor untuk menang ialah bergantung kepada jenis wau dan kelajuan angin. Jenis wau maksudnya peserta kena pandai dan tahu wau ini sesuai dengan kekuatan angin. Ini bermakna setiap wau direka bentuk dengan sayap dimana ada yang lembut dan keras sesuai dengan kelajuan angin. Wau yang sayap lembut dapat naik tinggi dan seimbang walaupun anginnya tidak kuat dan jika angin kuat digunakan wau bersayap keras. Apabila wau dinaikkan maka semua mata tertumpu kepada belasan wau yang dinaikkan. Untuk menggantikan "stop watch" digunakan satu alat dari tempurung kelapa yang ditebuk dan dimasukkan kedalam baldi berisi air dan bila tempurung tenggelam maka ditiupkan wisel menandakan tali setiap wau perlu diukur ketinggiannya dengan menggunakan satu alat yang diperbuat dari kayu pembaris. Mana-mana tali wau yang ukuran paling tinggi dikira pemenang. Dahulu budaya pertandingan permainan tradisional sudah dikira satu kemestian ketika tiba musimnya. Apa saja yang boleh dipertandingkan akan dianjurkan kerana inilah salah satu cara peduduk beraktiviti,berhibur dan bersosial antara satu sama lain dan yang terlibat tidak mengira peringkat umur. Kita bebudak tidak melepas peluang turut serta memeriah suasana.