Featured Post

Ikan

Suatu masa dahulu ketika memancing tepi sungai Pengkalan Kiat ikan yang paling senang dapat ialah ikan belukur. Kadang dapat ikan tilam. Ada...

Sunday, December 26, 2010

Pokok Serai Kayu


Pokok ini banyak kedapatan didalam belukar atau kebun buah-buahan. Pokoknya jika sudah besar ada mengeluarkan buah berwarna kehitaman jika sudah masak. Buahnya menjadi makanan burung dan juga boleh dimakan dan jika selepas dimakan gigi kita yang putih bertukar menjadi kehitaman kesan warnanya. Bagi pokok yang kecil dan rendah biasanya senang untuk diambil daunnya. Pucuknya atau yang belum tua boleh dibuat ulam. Jika dahulu ia menjadi bahan utama bersama daun kesum, pucuk daun mata ayam, serai batang juga kacang panjang untuk dihiris sebagai ulam. Dahulu nasi kerabu dikampung jarang digunakan taugeh juga kobis seperti sekarang. Pendek kata jika daun ini dijadikan salah satu ulam nasi kerabu nescaya menambah keaslian rasa nasi kerabu tersebut.

Tuesday, December 21, 2010

MBH Jaya Enterprise


Kedai MBH Jaya Enterprise ini terletak menghadap Simpang Pangkal Gong Kemubu. Kedai ini yang terbesar di Pekan Pangkal Gong. Menjual pelbagai barangan runcit. MBH adalah singkatan kepada Mohamad Bukhari bin Hassan iaitu tuan punya kedai yang sentiasa berada di kaunter juruwang dikedainya. Bapanya dahulu adalah tuan punya Mesin Padi yang besar terletak ditepi sawah sebelah kiri jalan menuju ke Kampung Bukit berdekatan dengan rumah arwah Haji Harun yang disebelah kanannya.. Masa tersebut Mesin Padi beliau menjadi maju kerana semua padi pesawah disekitarnya dimesin disini. Sekarang mesin ini sudah lama tiada. Daku dahulu pernahlah kesini masa bebudak untuk melihat atau menghantar serta mengambil padi dan beras yang telah dimesin sambil melihat kehebatan mesin ini beroperasi yang tingginya seolah-olah bertingkat dan bunyinya yang kuat dan disekitarnya dipenuhi sekam padi yang menimbun tinggi yang sentiasa mengeluarkan asap.

Thursday, December 16, 2010

Cikgu Ishak

Beliau ialah Cikgu yang mengajar Sains Paduan di Sekolah Menengah  Abdul Samad (SMAS). Biasanya kita murid akan sentiasa kemakmal samada untuk pelajaran teori atau praktikal. Apa yang masih sangat diingati antaranya ketika ia mengajar bagaimana badan kita mengeluarkan air seperti berpeluh, membuang air besar atau kecil. Dahulu beliau menetap disebuah rumah yang terletak di tepi Jalan Bukit Buloh berdekatan padang bola. Apapun cara dan pendekatan beliau mengajar senang untuk difahami dan diminati.

Sunday, December 12, 2010

Daun Pellah

Daun Pellah atau Mempelas ini berlainan dari daun lain kerana permukaannya yang kesat seperti kertas pasir. Jadi jika dahulu jika membuat satu-satu permainan misalnya dari kayu, buluh, objek dari tanah liat yang telah kering atau lainnya maka untuk melicinkan permukaannya digunakan daun ini yang senang didapati. Walaupun ia tidak lah berapa tahan sangat seperti kertas pasir tapi bolehlah digunakan sekadar mengantikan kertas pasir oleh budak-budak.

Wednesday, December 8, 2010

Lencana SMAS


Inilah lencana (beh) sekolah daku dahulu dengan motonya Ilmu Jaminan Hidup. Jika dahulu lencana ini dipakaikan di baju seragam sekolah atas pada poket? Lencana ini pula diperbuat dari logam/besi. Rasanya logo dari dahulu hingga sekarang tidak berubah mungkin yang berubah ialah nama sekolah ditambah Kebangsaan. Adakah kita benar-benar menghayati Ilmu Jaminan Hidup dimasa tersebut. Lencana ini jika sudah berusia maka catnya akan tertanggal sedikit demi sedikit dan perlu diganti. Dahulu apa yang diperhatikan jika memakai topi misalnya maka penuhlah diatas topi tersebut dilekatkan dengan pelbagai lencana dari jabatan, organisasi, sekolah dan lainnya. Sekarang trend ini sudah tiada mungkin lencana sekarang sudah tidak diperbuat dari logam lagi.

Friday, December 3, 2010

Mesin Taip

Mula-mula mengenali mesin taip jenis lama ini ketika suatu hari dipelawa oleh Pak Nik Soh yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di kilang batu Bukit Buloh Pulai Chondong.  Beliau tinggal di Kampung Kerawang. Beliau telah lama meninggal dan agak rapat dengan keluarga kami dan selalu juga datang ke Kampung Dusun Buluh dan Pulai Chondong. Memang meyeronokkan apabila menggunakan mesin ini mungkin seperti bebudak sekarang dapat menggunakan komputer. Pendek kata mesin taip ini termasuk dalam kategori mesin seperti mesin jahit, mesin kelapa, mesin getah, mesin pengisar, mesin gergaji, mesin rumput atau juga mesin padi.