Featured Post

Ikan

Suatu masa dahulu ketika memancing tepi sungai Pengkalan Kiat ikan yang paling senang dapat ialah ikan belukur. Kadang dapat ikan tilam. Ada...

Sunday, February 28, 2010

Kedai Runcit Mek Baru Mata Air


Kedai Runcit Mek Baru yang berbangsa cina ini terletak di Kedai Mata Air depan Kedai Runcit Awang yang juga kedai membaiki basikal. Didalam foto kedai dua pintu berwarna merah. Jika diawal tahun 70an kedai ini satu lokasi popular yang mesti dilawati dan daku sentiasa kesini dengan basikal. Jika waktu malam kerana ingin menonton TV kerana Mek Baru akan menyediakan ruang khas kedai sebelah kirinya. Siap akan disediakan kerusi panjang atau Kudda. Jadi kita budak-budak biasanya berdiri dikaki lima kedainya. Jika dihari lain akan kesini untuk membeli buah guli atau gurah. Antara rancangan TV yang diminati masa itu ialah Hiburan Minggu Ini dimana masa itu yang sentiasa jadi host ialah juara Bintang RTM iaitu Dhalan Zainuddin dan lainnya. Jadi malam tersebut kita akan ramai-ramailah pergi menontonnya. Mek Baru ini difahamkan tidak mempunyai anak tetapi mengambil anak angkat lelaki kalau tidak silap nama Echong dan dia berkahwin dengan anak Bungga Palla dekat Kampung Dusun Buluh dimana beliau ini jiga mempunyai kedai runcit. Mek Baru ini masih lagi ada dan telah berumur hampir 100 tahun dan tinggal dirumah anak angkatnya. Kedai Mek Baru ini didalamnya kelihatan bersih dan tersusun serta luas.

Thursday, February 25, 2010

Sebahagian Deretan Kedai Pulai Chondong Terbakar





Kejadian berlaku pada 19 Februari 2010 hari Jumaat sejurus selepas mahgrib. Kejadian telah dilaporkan oleh semua akhbar utama. Kebakaran adalah yang terbesar dalam sejarah Pulai Chondong. Pekan ini terkenal dengan jolokan pekan cowboy mungkin struktur bangunan yang lama. Ini mungkin betul jika dilihat kepada deretan kedai sebelah Klinik Hadi hingga ke Restoran Pulai Chondong dimana ada yang sudah terbiar berbanding dahulu. Jadi tidak mustahil jika yang lain pun akan menerima nasib yang sama jika tiada sesuatu usaha positif untuk memastikan ianya terus membangun. Dengan kebakaran ini juga ia seolah-olah Pekan ini berada dipersimpangan samada terus berkembang maju atau sebaliknya. Kepada yang terlibat secara langsung dalam kebakaran tentunya ianya satu ujian yang berat dan hanya kesabaran jua yang diperlukan dan InsyaAllah berjaya mengharunginya.

Friday, February 19, 2010

Hantu

Jika dizaman budak cerita dan perkara yang berkenaan dengan hantu memang menarik minat untuk didengar walaupun menakutkan. Jika pergi mengaji malam dirumah Makcik Yam masa pergi ramai-ramai tiada apa yang hendak ditakutkan. Tapi apabila balik biasanya yang balik lewat jumlahnya makin berkurang dan kadang tinggal kita seorang sahaja. Jika ini terjadi maka kita tidak akan balik dan tidur dirumahnya apalagi jika esoknya cuti sekolah. Pernah terjadi peristiwa budak kena susuk ke hantu kerana bermain diwaktu senja. Samada benar-benar ia disusuk atau tidak tidak dapat dipastikan. Apa yang berlaku malam itu ramai yang terlibat termasuk jiran-jiran mencari sekitar kawasan rumah dan tempat bermain. Riuhlah malam itu dengan tidak jemu-jemu memanggil namanya. Tapi malam itu memang tidak berjumpa budak sekitar umur 10 tahun tersebut. Walaubagaimanapun dikhuatiri budak ini telah bermalam atau bersembunyi dirumah lain kerana sesuatu sebab. Apapun budak ini sampai sekarang sihat walafiat dan mungkin jika berjumpa ingin juga bertanya kemana ia pergi malam tersebut untuk sambung cerita yang belum tamat. Inilah juga mungkin satu cara untuk menakutkan budak-budak. Tempat yang dikira menakutkan juga ialah melalui kubur Kampung Surau kerana dahulu tiada lampu jalan dan gelap. Satu lagi tempat ialah Pengkalan Kunyit jalan dari kampung Belukar ke Pangkal Gong juga di Jambatan kemubu. Begitu juga jalan menuju ke Pengkalan Kiat kerana ditepinya terdapat kubur cina. Itu cerita dulu dimana sekarang mungkin sudah tiada kerana mereka ini mungkin sudah berani. Nama hantu yang popular ialah hantu bungkus dan langsiur juga hantu raya. Itulah serba sedikit kenangan tentang hantu ini. Walaupun takutkan hantu tapi bila diada permainan seperti menora, wayang kulit, wayang publik lesen dan wayang berbayar dipanggung Mata Ayer atau disekolah-sekolah tidak pula merasa takut kepada hantu dan sebagainya kerana hantu pun barangkali cuti sementara kerana jika ditakutkan kuranglah sambutan.
Posted by Picasa

Saturday, February 13, 2010

Getah Pok


Getah Pok ialah susu getah yang ditadah samada menggunakan tempurung, mangkok getah dan sekarang dengan bekas plastik atau supik plastik. Jika dahulu getah pok ini dibuat atau terjadi dari lebihan susu getah hari sebelumnya dan membeku. Susu getah yang dikutip akan dijadikah getah keping dan diproses. Tapi sekarang susu getah yang ditoreh dijadikan getah pok. Jika kita dimasa budak getah pok dan getah segerap dijadikan upah kerana menolong ibu bapa mengutip susu getah. Apa pun menoreh getah sudah menjadi punca ekonomi harian kepada mana-mana yang ada kebun sendiri dan jika tiada, ada diantara mereka yang menoreh di Estet Sungai Bagan seperti Makcik Yam Paknik Wil. Apabila tiba musim kertuk biasanya pemalu dijadikan dari kayu yang hujungnya dibalut dengan getah yang telah beku dialur tempat torehan dibatang getah.

Saturday, February 6, 2010

Perahu



Perahu permainan ini dibuat dari pelepah pisang. Perahu gambar atas diletakkan getah urat dibelakangnya dan diantara getah urat tersebut pula diletakkan kipas biasanya dari kepingan buluh yang kecil dan nipis. Kipas itu pula akan di pusing kebelakang, Selepas itu perahu akan dilepaskan kedalam air samada parit dan mana-mana ada air bertakung. Gambar bawah pula perahu layar.

Foto ehsan.