Featured Post

(Berita Lewat) Kembali kerahmatullah Ramli Mohamed pada 25 Sep 2025

Semoga rohnya ditempatkan bersama mereka yang beriman dan beramal soleh. semasa saya masih budak pernah bermain main disekitar rumahnya yang...

Showing posts with label tool. Show all posts
Showing posts with label tool. Show all posts

Wednesday, January 31, 2024

Topi Sudu

1.   Topi sudu ketika saya masih bebudak amat teringin untuk memakainya. Namun tiada kemampuan untuk membelinya. Lagi pun mungkin harganya mahal. Disebabkan untuk memakainya saya cuba menjahit sendiri dari lebihan kain menggunakan mesin jahit. 
2.   Proses tidak lah mengambil masa yang
lama untuk siap. Terubat juga untuk memakainya. Rasanya topi adalah satu satu nya hasil menjahit sendiri hingga jadi topi yang boleh dipakai walaupun bentuknya tidak seperti topi sebenar. 

Wednesday, December 27, 2023

Getah Urat


1.   Getah urat (GU) ini kepada budak budak dahulu ada nilai tersendiri. GU ini boleh dibuat pertaruhan jika bermain daun terup. Juga GU  dibuat kun dan kun ini dibidas untuk menjatuhkan GU yang diletak atas para. GU juga diguna untuk membidas orang lain dijatak dekat. GU digunakan agak banyak untuk dibuat getah lastik biddah. Juga dibuat tali yang panjang untuk bermain lompat lompat. Juga dibuat tempat mengikat barang di carrier basikal. Boleh juga diguna untuk buat senapang ikan. 
2.   GU ini jika budak budak bila berjumpa akan diambil dan disimpan untuk kegunaan seterusnya. Tapi nilainya akan pupus bila GU ini putus. Jika dibuat pertaruhan jika siapa yang mempunyai banyak jumlahnya maka dikira dia hebat kerana banyak memenangi yang kadang kala getah itu ditayang dilengan seperti gelang. 
3.   Itulah permainanan dahulu walau tidak mempunyai nilai wang yang tinggi tetapi tetap bermotivasi untuk memenangi apa jua pertandingan kerana memeng sifat kanak kanak yang sentiasa ingin menang dan ingin lebih hebat dari rakan lainnya. 

Sunday, October 1, 2023

Botol

1.   Banyak juga kegunaan botol atau jebol ini semasa umur budak budak dahulu. Ada botol saiz besar dan sederhana besar. Ada yang berwarna seperti hijau dan coklat serta yang tiada warna. Bentuk lebih kurang sama samada kecil atau besar. Cuma tapak botol kadang kadang berbeza iaitu ada yang rata sahaja dan ada yang menonjol kedalam. Tapak yang menonjol kedalam kita panggil juga botol tombol atau tumbor tidak tahu apa fungsinya. 
2.   Botol ini dahulu diperbuat dari kaca. Yang terkenal botol kicap, botol air lemonade, botol budu, botol cuka, botol sos dan lainya. Jika botol kecil biasanya botol minyak rambut, botol minyak angin. Botol kicap atau budu 'packaging' nya biasanya diikat dalam 12 botol atau 1 dozen dengan tali rafia untuk senang dibawa jika beli secara borong. 
3.   Botol botol ini yang telah digunakan boleh dijual balik kepada pembeli botol dan barangan logam biasanya botol kecil 3 biji sepuluh atau dua puluh sen (kurang pasti harga). 
4.  Ada juga ketika botol yang tidak berwarna ini digunakan untuk meletakkan serangga kunang kunang atau kelip kelip yang jika dikampung dulu pada waktu malam selepas maghrib pada ketika tertentu banyak berterbangan disekitar semak tepi jalan. Bila ditangkap akan dimasukkan serangga itu beberapa ekor kedalam botol maka akan cerah bercahaya. Jika musim bermain ikan sepilar maka banyak botol diperlukan untuk meletak ikan tersebut dan biasanya botol saiz besar diperlukan supaya ikan selesa berada didalamnya. Ada juga botol ini dibuat pelita minyak tanah. Itulah antara permainan budak budak dahulu. 
5.   Jika botol kaca minyak rambut lelaki brylcreem boleh juga diletakkan serangga kumbang berwarna hitam didalamnya akan mengeluarkan bunyi bila ditangkap. Itulah lebih kurang penggunaan botol yang tentunya masing masing pernah menggunakannya dari dulu hingga kini yang tentunya bagi budak budak yang penggunaannya mengarah kepada permainan tertentu.




Thursday, September 21, 2023

Meja

1.   Meja biasanya ia ada mempunyai pemukaan rata dan dibawahnya untuk menyokong keberadaannya ia mempunyai kaki mungkin satu, dua, tiga, empat atau lebih kaki. Ia diperbuat dari pelbagai bahan seperti kayu, batu, plastik dan lainnya. 
2.   Semasa zaman sekolah rendah ada banyak meja dan kerusi dalam bilik darjah. Jika dikedai kopi pun ada kerusi meja. Jika dirumah rumah dikampung jarang kelihatan meja dan kerusi. Jika dikedai runcit meja juru wang ada dibahagian depan. Jika disurau tidak kelihatan ada meja tapi dimasjid ada kerusi dan mimbar.
2.   Jika ada acara kebudayaan seperti menora seperti di Pengkalan Kiat dan diadakan acara meneka biji kacang untuk mendapat hadiah pulut seekor ayam golek maka diletakkan ayam itu diatas tempat berbentuk meja. Dilain tempat pula jika ada orang cina bermain mahjong atau main 'pong' maka mereka bermain diatas meja dan duduk atas kerusi. Kalau dirumah anak Tok Awang Aki dan kedai Mek Baru juga diletak TV atas meja.
3.   Dahulu tidak kedapatan dan amat jarang ada meja makan dirumah rumah orang kampung. Jadi mereka makan bersila sahaja. 
Seiring dengan kemajuan sedikit demi sedikit semakin ramai yang mampu membeli peralatan perabut maka di pekan Pulai Chondong ada kedai yang menjualnya. Seingat saya ada sebuah dua kedai dekat stesyen minyak shell dan kedai sebelah Restoran Pulai Chondong yang menjual perabut. 

Wednesday, August 11, 2021

Spanar hidup


Inilah rupa spanar yang paling popular semasa saya budak budak dahulu. Spanar ini ada terdapat di kedai basikal yang jika di Kampung Mata Ayer kedai Awang. Jika di Kampung Dusun Buluh kedai basikal pertama kali dibuka oleh Yaakub. Spanar ini mungkin dipanggil demikian mungkin kerana ia boleh diubah ukurannya. Apapun kini rasanya bentuk spanar jenis ini seperti sudah tiada mungkin kerana muncul spanar yang boleh diubah yang berbentuk baru yang lebih berkesan. 

Monday, August 2, 2021

Safety Pin (Kacing baju smart)



Suatu masa dulu pin ini amat berguna kepada budak budak. Ini kerana dengan pin ini baju dan seluar dapat dipakai seadanya bila butang baju atau seluar banyak yang tanggal terutama baju seluar untuk kesekolah rendah. Ia jadi penyelamat kerana maklumlah waktu dulu susah untuk dapatkan butang tambahan pula butang amat mudah tanggal dari pakaian atau memang budak ketika itu lasak menjalani  aktiviti harian. Agak sulit memasang pin ini kepada baju supaya selari atau teratur sebab kena diletakkan bahagian dalam supaya tidak nampak pin tersebut dan begitu juga diseluar akan mudah terbuka atau terlepas atau tertanggal yang kadang kadang boleh terkena bahagian perut bahagian jarumnya. Apa pun benda ini amat berguna sekali lagi pun disetiap rumah dahulu banyak tersimpan tidak seperti sekarang jarang terdapat dirumah. Yang amat popular ialah yang bersaiz kecil ada juga yang diperbuat dari tembaga agar tidak mudah berkarat. 

Sunday, July 4, 2021

Piala piring



Piala piring walau tidak secantik dan semahal seperti di foto tapi bentuknya yang agak kecil pernah saya terima ketika memenangi perlawanan hoki mewakili sekolah dan zon sewaktu sekolah rendah dahulu. Piala itu bertahan agak lama berada dirumah dan disimpan dan akan dilihat sekerap mungkin tapi akhirnya ia hilang begitu sahaja mungkin disebabkan tiada tempat penyimpan yang sepatutnya seperti almari pameran dan sebagainya. Pada masa tersebut piala seperti ini jarang diperolehi mungkin susah untuk memenanginya atau atas faktor lain atau juga hanya diberi bila menang diperingkat zon sahaja dan untuk memenangi diperingkat zon agak sukar. Jadi secara keseluruhannya bila diamati tidak banyak piala yang diperolehi semasa berada disekolah rendah.

Thursday, June 17, 2021

Tudung Periuk

Tudung periuk aluminium selalu juga digunakan untuk mengipas api didapur. Begitu juga digunakan untuk menyalai etok dalam jumlah yang kecil dengan menjemur dipanas matahari. Juga digunakan untuk buat memasak laksam . Selain dari itu tidak nampak apa kegunaan lainnya. Walau bagaimana pun ada lagi satu kegunaan yang daku alami sendiri iaitu dimasukkan air diatasnya kemudian diminum. Ini berlaku bila suatu hari daku terlekat tulang ikan ditekak ketika makan. Maka nenek ku menyuruh ku meminum air itu dan akhirnya berjaya mengatasi masalah lekat tulang tersebut. Itu lah petua orang dahulu yang diguna pakai. Dan nama pun petua sebagai satu usaha. Walau dikira bukan kegunaan tudung periuk ini boleh juga dijual kepada orang yang membeli botol dan tembaga.

Monday, June 14, 2021

Genjak Baulu


Genjak ini digunakan semasa membuat adunan baulu. Sebelum baulu dibakar dalam acuan perlu yang masih dalam bentuk cecair berwarna kekuningan diadun dari bahan tepung, telur, sumber/pewarna dan gula maka akan digunakan genjak ini. Biasanya adunan dimasukkan dalam baldi. tujuan digenjak supaya baulu bila dibakar dalam acuan akan naik/kembang. Sudah jadi kebiasaan bila mek daku membuat baulu menjadi tugas mengenjak adunan tadi didalam baldi. Tugas ini walau tidak mengguna tenaga yang banyak tapi agak memenatkan kerana tidak ada minat dan menjadi sedikit terhibur bila sampai kepenghujung membakar baulu kerana kerja akan tamat dan dapat makan baulu yang agak pejal sebab yang terakhir dibakar hanya kurang kandungan telur yang banyak ialah tepung dan gula sahaja. Apapun berbaloi kerana dapat makan dalam kuantiti yang banyak dan boleh mengenyangkan perut. 
Jika diperhati genjak ini mungkin tidak ujud lagi dimasa kini dan dikira pupus setelah berlalunya masa yang serba canggih.   

Sunday, February 7, 2021

Jam Rolex



(Foto hiasan)
Semasa saya transit di Pulau Labuan selama lebih kurang dua minggu disuatu masa dulu ada satu kisah. Labuan difahamkan ketika itu hanya satu satu nya pulau bebas cukai di Malaysia. Ketika saya disana saya sempat ke komplek membeli belah. Barangan yang menarik bagi saya ialah barangan pakaian seperti jam, kasut, baju dan lainnya. Disebuah kedai jam saya tertarik dengan jam jam jenama rolex dan yang paling murah ketika itu harganya RM600. Lama juga saya memikir dan melihatnya samada ingin membeli atau tidak kerana pada masa itu saya memang mampu membelinya kerana wang saya masih ada berbaki lebih dari itu. Akhirnya saya tidak jadi membeli kerana memikirkan harganya yang saya rasa agak mahal dan memikirkan saya boleh membeli jam lain yang lebih murah. Selepas beberapa tahun saya rasa menyesal pula tidak membelinya kerana sehingga kini saya belum lagi berpeluang membeli jam rolex baru yang tulin  kerana harganya yang mahal dan jika ada wang sekali pun ada lagi komitmen perbelanjaan yang lain yang lebih penting. Ibarat kata orang apa apa peluang itu hanya datang sekali sahaja dan untuk memujuk hati atas tidak  mengambil peluang itu kita akan selalu berfikir selepas ini peluang itu datang lagi dan tidak lari gunung dikejar.

Monday, June 15, 2020

Duit Syiling

Apakah kegunaan dua keping duit syiling ini. Biasanya duit syiling 10 sen atau 20 sen digunakan. Kegunaan duit syiling ini sebagai pengganti penyepit janggut atau misai. Jika dahulu zaman budak selalu lihat orang dewasa sambil duduk duduk rehat mencabut janggut menggunakan duit syiling itu tetapi perlukan cara yang sesuai supaya helaian janggut dapat dikepit kuat oleh dua duit syiling itu dengan menggunakan tiga  jari iaitu ibu jari, jari telunjuk dan jari hantu.

Wednesday, January 15, 2020

Rehal

Rehal ini dimasa budak dulu biasa juga melihatnya tapi dalam jumlah yang sedikit dan kalau ada pun di surau masjid. Kalau dirumah mungkin ada dan mungkin tiada. Yang pasti ada terdapat dirumah yang kita pergi belajar mengaji tapi jumlahnya terhad. Jadi untuk menggantikan rehal ini digunakan bantal untuk meletak musyaf surat kecil (muqaddam). Surat kecil ini pula tidak dibawa balik kerumah dan ditinggal sahaja dirumah tempat mengaji kerana selepas mengaji banyak aktiviti lain yang menanti tidak sempat balik kerumah. Sudah jadi kebiasaan pergi mengaji pakai seluar pendek dan bila mengaji guna apa kain yang ada untuk menutup kepala lutut bagi budak lelaki, yang budak perempuan memang tiada masalah kerana sentiasa berpakaian labuh. Yang selalu jadi perbualan budak macam kita ini masa itu tentang rehal ialah bagaimana orang putih (orang inggeris) pelik macam mana dua keping papan rehal itu dapat dimasukkan antara satu sama lain menjadi satu dan bercantum. Ini cerita mungkin dibuat-buat untuk menyatakan bahawa orang melayu hebat dalan membuat rehal tersebut. Begitulah ceritanya tentang rehal ini yang kini ada juga rehal diganti dengan rehal jenis lain pula. #dusunbuluh

Saturday, September 14, 2019

Kayu Api dan "tuat"

1. Kayu api jika masa dikampung dulu digunakan untuk memasak nasi dan lauk pauk. Kayu yang popular ialah dahan atau batang pokok getah. Jika batang pokok getah perlulah dipotong sekitar dua kaki kemudian dibelah dengan kapak supaya menjadi kecil. Jika dari dahan hanya perlu dikerat-kerat sahaja.
2. Dalam banyak-banyak cerita tentang kayu api ini ada satu cerita yang masih diingati iaitu terselit kisah bagaimana dari kayu api ini ada benda yang boleh menjadi ubat kepada penyakit kulit. Begini caranya iaitu bila kayu api (dahan pokok) itu terbakar tiba-tiba dihujungnya akan keluar buih yang panas. Maka buih itu jika disapu masa panas pada "tuat" iaitu sejenis ketumbuhan kecil yang biasanya besar sedikit dari kepala batang mancis dan kecil sedikit dari biji jagung akan bisa menyembuhkan atau menghilangkan tuat itu. Apa pun tidak dapat dipastikan setakat mana keberkesanan buih air panas yang keluar tadi tapi sebab percaya dan yakin diperaktikkan cara tersebut. Rasanya petua ini hanya dilakukan oleh budak-budak sahaja kerana tuat ini biasanya budak sahaja yang mengidapnya.
3. Tidak dapat dipastikan punca berlaku penyakit kulit ini atau masih ada lagikah penyakit ini sekarang. Apa yang pasti tuat ini jika dihadapi oleh kita yang budak-budak ini boleh mengganggu fikiran juga kerana kesan ketidak selesaan kerana sering digaru dan mencacatkan penglihatan jika dilakukan dikhalayak ramai.

Sunday, June 10, 2018

Budak Jumpa Pitih

1. Kalau jumpa pitih macam ini yang logamnya agak kehitaman akan diusahakan supaya kelihatan baru. Biasanya berjumpa dibawah rumah. Sebab itu budak dulu suka mencari sesuatu dibawah rumah. Lagi pun dulu kebanyakan rumah bertiang dan boleh dilalui dibawahnya cuma ada yang tinggi ada yang rendah. Rumah jenis ada pelantaian ini mendominasi rekabentuk rumah dahulu yang diperbuat dari kayu.

#tulis1kini

Tuesday, November 14, 2017

Kelantan Match Factory

Tidak dapat dipastikan tahun berapa kilang mancis api mula membuat pengeluaran produknya. Apa yang pasti selepas itu keluar pula mancis cap lada. ‎Kilang mancis ini terletak dipinggir bandar Kota Bharu jalan menghala ke Pantai Semut Api. Pemilik kilang ini difahamkan bernama Beremba tapi tidak dapat dipastikan sangat. 



Sunday, July 30, 2017

Daun Besar

1.   Daun besar ini jika dizaman bebudak ada juga kegunaannya. ‎Jika diketika musim ada permainan wayang kulit berbayar yang pernah diadakan berhadapan dekat rumah Pakcu Soh dikawasan yang ada kawasan lapang seluas kurang dari setengah padang bola maka ramai lah bebudah yang pergi menontonnya. Apa yang menariknya masa tersebut awal tahun tujuh puluhan wayang kulit amat diminati dan Tok Dalang masa itu ialah Dollah baju merah. Walau ada panggung wayang moden di Mata Ayer tapi wayang kulit hanya sekali sekala dimainkan. Sedangkan cerita filem wayang moden kerap diadakan dan berjadual. 
2.   Apa yang hendak diceritakan ialah selepas tamat permainan wayang kulit itu maka pengaruh kepada budak-budak amat dirasai. ‎Antaranya ialah akan cuba melakonkan balik adengan yang diingati. Caranya ketika waktu malam akan dicari batang pisang dan kain kelir iaitu kain putih. Biasanya kain kelir dari kain selimut. Lampunya pula hanyalah pelita. 
3.   Untuk persiapan perlu dibuat wayang kulit biasanya dari plastik sahaja kenudian diwarnakan. Watak utama ialah Wok Yoh Samad Eteng dan Pok Dogol. 
4.   Watak atau objek lain seperti hanuman tapi jarang dibuat kerana agak rumit. Objek gunung juga penting kerana ia ada peranan seperti jika ingin pergi bertapa biasanya objek gunung digunakan. Atau juga sebelum permainan dimulakan objek gunung ini akan ditayangkan.
5.   Jadi cara paling senang untuk objek gunung ialah daun besar seperti digambar atas akan digunakan. Daun itu untuk kelihatan kuat akan dikepit dengan perangan buluh untuk senang dicucuk dibatang pisang. Dan ada juga disedia sebuah alat yang apabila ditekan dengan paha semasa Tok Dalang menjalankan aksi akan berbunyi kuat. Ia dibuat dari kayu. Ia perlukan kemahiran untuk berbunyi kuat seperti yang diharapkan. Biasanya alat ini dibunyikan jika ada aksi pergaduhan samada dalam bentuk tikaman atau tumbukan atau tamparan atau panahan. Tidak dapat dipasti apakah nama alat tersebut. Begitulah permainan budak dahulu yang sudah jauh berbeza dengan budak sekarang dan jalan pemikiran dan citarasa yang jauh berbeza. 


Tuesday, June 27, 2017

Cupak

‎1.   Cupak digunakan sebagai penyukat sesuatu barang biasanya makanan yang berbentuk bijirin seperti beras, kacang, jagung dan lainnya. Kalau empat cupak sama dengan satu gantang. Juga jika satu leng? atau kopi sama dengan satu cupak. Jika menyukat beras maka dimasukkan cupak kedalam guni beras dan bila ada lebihan beras bahagian atas cupak maka akan diratakan menggunakan kayu pangjang bentuk bulat. Bagi peniaga ia tidak akan memendapkan beras dalam cupak dengan menghentakkan cupak yang berisi beras tadi kerana ini akan memendapkan lagi beras. 
2.   Etak juga disukat menggunakan cupak. Begitu juga dengan budu tempayan dan kulat sisir. Begitu juga dengan petai dan buah perah jeruk. Kenapa makanna tersebut tidak dijual dengan timbangan kati mungkin alat timbangan kati muncul selepas cupak atau juga bagi mempercepatkan proses jual beli yang kalau ditimbang akan memakan masa sebab akan menambah atau mengurang bahan bagi cukupkan timbangan. Bagaimanapun ada ketikanya beras akan ditimbang yang beratnya enam kati bagi satu gantang beras tapi apabila muncul alat timbang kati moden yang menggantikan alat timbang kati lama berbertuk batang kayu yang panjang pula digunakan.
3.   Walaubagaimanapun cupak telah tidak digunakan lagi sekarang sebagai alat penyukat yang suatu ketika dulu amat popular. 

Monday, January 2, 2017

Yuran Tahunan Sekolah

Ini adalah contoh yuran tahunan sebuah sekolah diera tahun 70an. Masih diingati ketika belajar disebuah sekolah teknik yurannya ialah sebulan RM22 lebih kurang setiap bulan termasuk makan minum. Itu belum lagi perbelanjaan lain juga soal tambang balik kekampung serta pembelian pakaian. Memandangkan tanggapan itu semua akan membebankan penjaga maka setelah dapat tawaran belajar kesekolah lain yang menawarkan secara percuma dan dapat lagi wang saku maka penulis berpindah sekolah kesana. ‎Itu lah dikatakan hidup ini ada lah membuat keputusan dan pilihan. 

Sunday, June 19, 2016

Suis Lampu Lama

‎Seingatnya inilah suis lampu yang mula-mula diguna masa rumah-rumah mula mendapat kemudahan letrik pada tahun 70an dikampung. Lampunya jenis mentol. Apabila dibuka suisnya berbunyi agak kuat. Dahulunya minima bil letrik walau tidak digunakan ialah RM2.00. Apabila lama digunakan ia akan rosak biasanya apabila hendak ditolak kebawah tidak dapat (tak jettak).  Foto sumber Google. 

Sunday, June 28, 2015

Basikal (Sikkal).

‎Walau telah keluar di posting yang terdahulu tentang tajuk basikal ini tapi disebabkan bentuk dan foto basikal ini yang agak unique dan amat seiras dengan basikal yang daku gunakan masa budak dulu maka keluar lagi tajuk posting yang sama. Basikal ini walau tidak sesuai dengan budak atau kanak-kanak tapi ianya tiada pilihan dan terpaksa digunakan juga. Hanya budak lelaki sahaja yang berupaya dan berani mengayuhnya dengan sebelah tangan memegang handle dan sebelah lagi memegang alang besi. Ini bermakna mengayuh dicelah alang basikal bukan atas alang atau berada atas pelana semasa mengayuh disebabkan saiz badan yang kecil dan rendah. Semua bahagian mekanikal basikal ini kukuh dan kuat dan tahan lama cuma yang perlu dijaga jangan biarkan ia berkarat. Yang biasa ditukar ialah tayar dan tiubnya akan ditampal. Begitu juga getah valve seperti pacat diganti jika sudah pendek. Freeway juga boleh dibaiki jika rosak dengan diganti bebola besinya. Getah brek juga ditukar kalau haus. Begitu juga jika rim bengkok boleh dibetulkan dengan tukar lidi yang bengkok, patah atau tercabut. Yang lain tukar bebola besi bahagian yang berpusing. Pendek kata selagi boleh dibaiki akan diperbaiki. Bahagian lain basikal ini jarang rosak. Basikal ini bila sudah berumur maka banyaklah bahagiannya yang akan tiada atau hilang cuma yang tinggal bahagian asas sahaja janji boleh dinaiki. Andai kata brek tiada akan digunakan pula kaki yang beralas selipar atau kasut untuk dijadikan brek dengan meletak dan menekan ketayar belakang atau depan ikut kesuaian. Berapa harga basikal ini tidak pula diketahui kerana jarang diniagakan dan ianya jarang diambil tahu oleh budak-budak. Namun jenama yang bermutu ialah Raleigh. Kegunaan dan jasa basikal ini amat banyak sekali. Sesekali kalau rajin akan dibawa disungai Pengkalan Kiat untuk dibasuh. Basikal ini jarang kedengaran ada orang yang mencurinya walau tidak berkunci. Kalau berkunci ia lagi selamat. Untuk memanjangkan jangka hayat bahagian bergeser perlulah sentiasa meminyakkan bahagian tersebut.