Featured Post

(Berita Lewat) Kembali kerahmatullah Ramli Mohamed pada 25 Sep 2025

Semoga rohnya ditempatkan bersama mereka yang beriman dan beramal soleh. semasa saya masih budak pernah bermain main disekitar rumahnya yang...

Showing posts with label khas. Show all posts
Showing posts with label khas. Show all posts

Saturday, August 18, 2012

Salam Edulfitri

Saya mengambil kesempatan ini ingin mengucapkan selamat hari raya edulfitri kepada pembaca blog Kampung Dusun Buluh dengan memohon ampun dan maaf jika ada kekurangan semasa mengendalikannya. Kenangan masa budak berkenaan hari raya ini yang sukar dilupakan memang banyak jika ingin diBARIkan yang semuanya indah-indah belaka. Mercun, meriam buluh, tuppat, seluar baju baru, duit raya, tengok wayang, beraya rumah kerumah, naik bas, makanan yang istimewa, bermain tikam-tikam dan lainnya. Kemeriahan hari raya bermula dibulan Ramadan lagi dan kemuncaknya diawal Syawal. Inilah hadiah dari Yang Maha Esa pada hambanya. Ramadan telah pergi meninggalkan kita dan akan kembali yang belum tentu kita akan ada kesempatan menemuinya lagi. Ramadan yang diutus olehNYA tanpa gagal mendidik kita siang dan malam akhirnya melambai tangan berlalu pergi.

Wednesday, February 8, 2012

Bulan Maulidur Rasul

Bulan ini disebut Bulan Moklud. Jika dikampung dahulunya ia amat meriah kepada bebudak terutama dimalam hari. Aturcaranya mudah iaitu berkumpul, berselawat dan makan. Ianya diadakan dari sebuah rumah kerumah yang lain. Menu makannya dari air teh O dengan biskut tawar kepada nasi gulai kambing mengikut kemampuan tuan rumah. Selama sebulan acara menyambut kelahiran Nabi Muhammad SAW diraikan. Antara rumah yang agak jauh mengadakan acara ini ialah rumah Hamad Tok Menai di Kubang Tebit yang menyediakan menu makan nasi gulai kambing. Jadi walaupun jauh meredah gelap malam hari ianya dikira berbaloi. Apa yang diperhatikan acara ini dilakukan mengikut kampung masing-masing sahaja dimana sebagai contoh penduduk kampung Dusun Buluh tidak akan ke Kampung Mata Ayer atau Kampung Bandar dan begitu sebaliknya. Mungkin ini berlaku kerana semangat kekampungan yang tinggi dan juga jarak dan kemudahan kenderaan yang terhad. Dulunya semangat untuk meraikan kelahiran Junjungan Besar SAW kita oleh penduduknya amat disanjung tinggi walaupun kurang kemampuan dari segi menyediakan makanan cukup dengan minum air teh O dan biskut tawar sahaja kerana bukan itu yang dipentingkan tapi untuk sama-sama meraikannya. Sekarang acara menyambut kelahiran seumpama ini diambil alih oleh Masjid dan surau serta dimedia penyiaran dan mungkin acara dari rumah kerumah berselawat sudah berkurangan atau tiada lagi. Apapun pendekatannya acara sambutan Maulidur Rasul perlu disemarakkan terutama kepada golongan remaja dan kanak-kanak agar kecintaan pada Nabi SAW terus dapat dipertingkatkan.

Sunday, November 6, 2011

Salam Aidiladha

Apa yang dingati tentang Hari Raya Haji ialah masa menunggu. Dimana masa budak tempoh masa dirasakan lama dari Hari Raya Puasa ke Hari Raya Haji iaitu dua bulan lebih. Dihari raya ini tiada lagi baju baru dan dirasakan berbeza berbanding Hari Raya Puasa. Dahulu juga dihari raya ini jarang orang berkorban kerana jarang yang mampu dan jika ada pun mereka lebih suka menumpang membuat akikah dari bahagian lembu sembelihan korban. Ini mungkin berbeza dengan hari ini dimana ramai yang berkemampuan. Jadi bila tiada baju baru dan jika tiada korban maka tidak sangat dirasakan kemeriahannya. Itulah sebabnya kita digalakkan sangat berkorban pada hari raya ini dan ada yang mengatakan jika tidak mampu sembelih lembu atau kambing sembelihlah ayam sebagai meraikan Hari Raya Aidiladha. Salam Aidiladha buat semua.

Monday, August 29, 2011

Salam Idulfitri

Disini daku mengambil kesempatan mengucapkan salam idulfitri kepada semua pengunjung.  Jika dahulu dibulan Ramadhan kita budak-budak merasa ianya agak panjang. Ini mungkin kerana kita sangat tidak sabar-sabar menunggu ketibaan hari raya. Tambahan pula baju raya biasanya dibeli awal bulan. Jadi setiap malam sebelum tidur akan tetap setia melihat baju seluar tersebut dan sekali sekala akan mencubanya. Kemeriahan hari raya ini sebenarnya dapat dirasakan sebermula bulan Ramadhan lagi dan kemuncaknya pada hari raya pertama. Hari raya pertama dan kedua dikira meriah. Selepas dua hari tersebut kemeriahannya pun seakan berlalu pergi lagi pun sudah tiada baju baru yang hendak dipakai dan makanan utama pun sudah dihabiskan.

Thursday, September 9, 2010

Selamat Hari Raya Aidilfitri

Dahulu masa budak hari raya ialah hari bersuka ria dengan makanan yang berbagai, pakaian pula baru walaupun dalam bentuk baju dan seluar sekolah sahaja. Itu semua tidak diambil berat sangat kerana majoritinya begitu. Dahulu sepanjang bulan puasa dirasakan waktunya cukup lama datangnya hari raya. Begitu juga jika menunggu untuk berbuka puasa 5 minit pun dirasakan lama menunggu didepan hidangan. Jika hari biasa pun dirasakan lama apa lagi dibulan Ramadan. Ini berbeza dengan sekarang dirasakan waktu sudah semakin cepat berlalu. Kemeriahan Ramadan disiang hari mungkin tidak dirasakan sangat kerana lapar berpuasa namun apabila menjelang petang suasana berubah. Apa lagi jika dapat berbuka bersama jiran tetangga jika ada sauadara mara yang menganjurkan majlis berbuka puasa . Dimalam hari diisi dengan acara solat terawih dibalai sah Kampung Dusun Buluh dan bermain permainan tertentu . Permainan popular pula ialah meriam buluh. Selepas terawih memang ada jamuan seperti kuih muih tapi yang popular dan tetap diingati ialah biji sagu berwarna warni dan cendol hijau air gula.. Kita budak-budak memang tahu bila masa akan tamat terawih dan akan segera kembali untuk menikmati jamuan ringan. Orang dewasa dan ibu bapa pula tidak pula menghalang apa sahaja aktiviti yang diadakan dalam bulan Ramadan ini dan seolah-olah bulan ini bulan kebebasan. Dan dibulan ini juga diadakan Musabaqah membaca AlQuran peringkat antarabangsa. Biasanya akan didengar melalui radio sahaja kerana set TV tiada yang hendak menaja. Ini kerana tuan punya TV dikampung semua berbangsa cina. Waktu sahur adalah waktu sukar untuk bangun kerana penat beraktiviti dimalam hari tetapi digagahi juga. Bila menjelang hari raya pagi-pagi lagi telah bangun dari tidur dan mandi diperigi disamping menggosok gigi dengan ubat gigi percuma dari sekolah. Selepas itu bersolat hari raya. Maka selepas solat hari raya maka aktiviti pun bermula. Maka diatas jalan samada jalan kecil dan besar dikampung ramailah budak-budak kehulu dan kehilir beraya dengan baju baru. Tidak perlu dibimbangi akan bahaya lalu lintas kerana yang akan lalu pun bas sahaja dan sedikit kereta prebet sapu dan van. Masa itu kita tidak akan berada dirumah lagi kerana akan beraya kerumah saudara mara disekitar kampung untuk cari duit raya. Walaupun dapat 10 atau 20 sen dari setiap rumah sudah dikira berbaloi. Setelah duit raya berjaya dikumpul inilah masa untuk berbelanja samada membeli mercun, beradu nasib dengan sejenis permainan tikam menikam juga akan kebandar menaiki bas. Itu hari raya pertama. Untuk hari raya kedua pun lebih kurang begitu juga. Dan dahulu hari raya hanya dua hari sahaja. Tapi walaupun dua hari tapi aktivitinya padat. Lagipun cukuplah dua hari sahaja kerana baju raya pun bukannya banyak. Untuk hari raya pertama dan kedua itulah juga baju yang dipakai. Masa hari raya program TV pun dikira istimewa. Tayangan gambar agak terkini juga disiarkan disamping filem lama. Jumlah penonton pun ramai disesebuah rumah yang bukan terhad kepada ahli keluarga sahaja. Dahulu tiada budaya balik kampung seperti sekarang. Tidak perlu menunggu siapa akan balik. Cuma menunggu anak yang tinggal dikampung lain untuk datang beraya. Jadi mereka ini tanpa gagal akan datang beraya kerumah ibu bapa untuk bermaaf-maafan dihari mulia. Hari Raya umumnya untuk kanak-kanak berseronok dengan baju baru, permainan, duit raya, makanan raya, naik kenderaan, ziarah menziarahi dan lainnya yang menyeronokkan. Salam Aidilfitri ampun dipohon maaf diberi dari blog KDB pada semua pembaca.

Saturday, May 29, 2010

P Ramlee

Beliau telah meninggal pada 29 Mei 73. Semasa beliau meninggal telah diumumkan melalui radio seawal pagi. Kita budak-budak masa tersebut dikira mengenalinya kerana beliau selalu keluar di TV. Acara yang masih diingati ialah apabila beliau menjadi juri/pengadil dalam rancangan jika tidak silap Bakat TV. Penampilan beliau di TV dalam rancangan itu adalah secara langsung dan kelihatan beliau agak gempal badannya. Sejurus berita kematiannya apa yang daku ingat telah pergi kerumah Pak Nik Wil Makcik Yam dan juga disitu berjumpa dengan anaknya Suhaimi untuk memberi tahu berita kematiannya. Tentunya berita kematiannya mengejutkan. Namun sebelum kematiannya beliau pada pandangan kita sebagai kanak-kanak, beliau (P Ramle) adalah dikenali sama seperti lain-lain pelakon yang sezaman dengannya. Ini terjadi mungkin kita masih kanak-kanak tidak berapa tahu menilai kehebatan seseorang seperti orang dewasa. Filem-filem lakonannya banyak memberi pengajaran dan melangkaui zaman. Bagi kita yang sentiasa menonton filemnya dari dulu sampai sekarang dan sebagai orang Islam marilah menghadiahkan Surah Al Fatihah semoga rohnya dicucuri rahmat.

Thursday, February 25, 2010

Sebahagian Deretan Kedai Pulai Chondong Terbakar





Kejadian berlaku pada 19 Februari 2010 hari Jumaat sejurus selepas mahgrib. Kejadian telah dilaporkan oleh semua akhbar utama. Kebakaran adalah yang terbesar dalam sejarah Pulai Chondong. Pekan ini terkenal dengan jolokan pekan cowboy mungkin struktur bangunan yang lama. Ini mungkin betul jika dilihat kepada deretan kedai sebelah Klinik Hadi hingga ke Restoran Pulai Chondong dimana ada yang sudah terbiar berbanding dahulu. Jadi tidak mustahil jika yang lain pun akan menerima nasib yang sama jika tiada sesuatu usaha positif untuk memastikan ianya terus membangun. Dengan kebakaran ini juga ia seolah-olah Pekan ini berada dipersimpangan samada terus berkembang maju atau sebaliknya. Kepada yang terlibat secara langsung dalam kebakaran tentunya ianya satu ujian yang berat dan hanya kesabaran jua yang diperlukan dan InsyaAllah berjaya mengharunginya.

Saturday, October 17, 2009

Pak Muda Hamat Kembali KeRahmatullah

1. AlFatihah. Beliau dari Kampung Pengkalan Kiat ayah Umar, Fauziah, Jaya juga Enon meninggal di Bukit Panau jam 4.00 pagi tadi.

Saturday, May 2, 2009

Mah Pengkalan Kiat telah kembali kerahmatullah

Beliau telah kembali lebih kurang 2 minggu lepas setelah diberitahu oleh adiknya Pakcik Ya yang tinggal di Keramat Kuala Lumpur. Mah ini telah agak lama tidak sihat setelah tidak dapat berjalan. Beliau sentiasa tinggal di rumah sepupunya Fauziah Man anak Pak Muda Hamat. Allahyarham hanya ada seorang anak lelaki bernama Ramli pun sudah lama meninggal di Pahang. Beliau (Ramli) berkahwin dengan kerabat Pahang dan ada beberapa anak disana. Beliau lebih suka tinggal di Pengkalan Kiat kerana disitulah kampung halamannya. Beliau kembali kerahmatullah dirumah adiknya Chik Bidah di Tanah Merah Kelantan. Al Fatihah kepada beliau semoga ditempatkan rohnya bersama orang-orang yang solehah, amin.

Mah Pengkalan Kiat telah kembali
Di Tanah Merah tempat bersemadi
Sudah menjadi ketentuan azali
Hidup didunia tidak abadi