Featured Post

(Berita Lewat) Kembali kerahmatullah Ramli Mohamed pada 25 Sep 2025

Semoga rohnya ditempatkan bersama mereka yang beriman dan beramal soleh. semasa saya masih budak pernah bermain main disekitar rumahnya yang...

Showing posts with label makanan. Show all posts
Showing posts with label makanan. Show all posts

Friday, October 20, 2023

Beras

1.   Dahulu pernah melihat dirumah Tok Derasik Kampung Dusun Buluh ada orang menumbuk padi menggunakan alu kayu panjang dan lesung kayu untuk mendapat beras. Selepas ditumbuk beras bercampur sekam ditampi untuk asingkan beras dan kulit padi. Pernah juga dahulu melihat ada mesin padi dibelakang rumah Abang Luwi. Mesin padi itu menggunakan enjin disel yang terletak dalam bangunan berbumbung. Antara enjin dan mesin padi disambung dengan satu 'belt' yang lebarnya mungkin 6 inci dan panjangnya dalam 3 ke 4 ela.  Mesin ini biasanya dikendalikan oleh arwah halim jika tidak silap adik kepada arwah abang luwi. Arwah meninggal diusia muda. 
2.   Dahulu di sekitar Kampung Dusun Buluh banyak bendang padi diusahakan seperti di Becah Kua, Kubang Tebit, Kerawang juga di Kampung Dusun Buluh sendiri. Yang paling luas ialah di Kerawang hingga bersambung ke kawasan Pulai Chondong, Kampung Pangkal Gong, Kampung Bukit juga hingga kekaki Bukit Buloh juga Kampung Pangkal Nering. Tetapi sejak dua tiga dekat kebelakangan disebabkan aktiviti kuari batu yang sejak sekian lama maka aliran air yang mempunyai debu dan butiran batu halus masuk ke sawah padi menyebabkan kerosakan struktur tanah menjadi keras dan tidak sesuai lagi untuk ditanam padi.  
3.   Pendek kata dahulu tidak perlu ada saliran tali air untuk tanam padi cukup dengan air musim hujan tetapi hanya ditanam satu tahun sekali. Jika yang tidak mempunyai bendang padi mereka akan usahakan padi huma yang ditanam ditanah biasa yang tiada air iaitu dengan menugal padi. Dahulu setiap inci tanah diusahakan tidak terbiar kosong dipenuhi dengan tanaman yang menjadi sumber ekonomi dan makanan penduduk. Kita sebagai budak pada waktu itu memang suka menyelusuri setiap tempat dalam kampung kerana banyak mempunyai kebun, tiada semak samun dan kelihatan bersih dan terjaga. 
4.   Namun banyak juga beras import dari negara Siam boleh dibeli dikedai kedai yang kualiti berasnya bagus terutama kepada peniaga kedai nasi. Dahulu beras dijual runcit mengikut ukuran cupak. Kadang kadang ada dijual sacara timbangan kati. Jika beras siam yang dijual dikedai diletakkan dalam guni besar yang dipanggil guni jalur. Berat beras untuk satu guni mungkin satu pikul atau mungkin bersamaan 100 kilogram sekarang atau mungkin juga 100 kati. Dahulu beras dibeli dalam jumlah yang sedikit oleh pembeli mengikut kemampuan dalam satu cupak atau segantang. Jika segantang lebih kurang 6 kati dan harga lebih kurang 3 ringgit segantang. Ini bermakna 50 sen sekati iaitu dalam setengah cupak lebih sedikit. Kesimpulannya secara kasar dahulu tahun 70an harga beras 1 kilogram lebih kurang 70 ke 80 sen.  Jika 5 kilogram harga bawah 4 ringgit (pengiraan kasar sahaja mungkin betul mungkin salah). 
5.   Dahulu jika dirumah sudah ada beras untuk dimasak untuk beberapa hari sekeluarga dan membeli dengan tidak berhutang maka sudah dikira mereka bukan lagi orang miskin kerana jika miskin pada kebiasaannya mereka akan berhutang beras samada dikedai atau lainnya. Waktu itu beras bolehlah diukur status ekonomi keluarga. Jika ada beras dirumah maka kelangsungan hidup lebih terjamin.  


Tuesday, August 22, 2023

Sangai

Maksud sangai ialah menggoreng tanpa guna minyak. Ada dua yang diketahui iaitu sangai kelapa parut untuk nasi kerabu. Satu lagi menyangai beras bahan untuk buat ikan pekasam. 

Saturday, June 10, 2023

Air sirap dan tapai ubi

jika di sekolah rendah dahulu bila saya balik dari Sekolah Kebangsaan Bandar ada ketika saya singgah di kedai Pak Yusuf untuk beli air sirap sejuk kemudian dicampur dengan tapai ubi kayu yang rasanya bagi saya amat sedap lagi pun dapat menghilangkan dahaga. Kedai Pak Yusuf juga jika dibulan puasa ada menjual air batu ketul. Kedai Pak Yusuf bertentangan denga rumah Cikgu Yusuf ayah Kartini juga berdekatan dengan rumah Omar tukang kebun sekolah. 

Sunday, September 25, 2022

Tumbor Nyior

Tumbor nyior ini ada didalam buah kelapa yang sudah tua. Ada yang saiz besar dan kecil ikut berapa lama buah itu telah gugur. Dahulu masa budak tumbor nyior ini dikira ada juga dalam senarai makanan walau bukan dalam kategori buahan yang jika kebetulan ada orang membelah buah nyior akan mengambil peluang memakannya. Rasanya agak manis dan isinya lembut tapi lebih keras sedikit dari span dan agak ranggup. itulah budak dulu apa yang boleh dimakan tidak memabukkan tidak jadi hal. Mungkin budak kini tidak lagi melihat dan kenal tumbor nyior ini. 

Monday, July 19, 2021

Siput Gondang

Siput ini mungkin species yang terbesar antara siput yang ada Ia hidup didalam air.Bentuknya kebulat bulatan dan berwarna hitam pekat. Semenjak dizaman budak saya tidak pernah berjumpa lagi dengan siput gondang samada di sawah padi atau dibaruh. Cuma yang biasa jumpa jenis yang kecil yang bukan dipanggil gondang seperti siput sedut. Walau bagaimana pun saya pernah melihat dan memakan siput gondang yang besarnya lebih besar dari bola pingpong tapi lebih kecil dari bola tenis atau bola "awal". Tapi ia memang besar. Ketika dirumah Mak Cik Yam Pak Cu Ali di Pengkalan Kiat disuatu hari di bulan Muharram kebetulan ketika mereka sedang membuat bubur sura itu saya melihat beberapa biji siput gondang ini yang katanya datang dari seberang sungai kelantan mungkin disekitar Bukit Panau. Selepas itu mereka menyiang dan dipotong kecil kecil dan menggorengnya. Lalu makan lah saya buat kali pertama dalam hidup siput gondang ini dan dapat merasanya betapa sedapnya dan selepas itu tidak memakannya lagi hingga kehari ini. Mungkin ini terjadi mungkin saya tidak cuba mencarinya dan terlihat dipasar pasar atau tiada yang menghidangnya lagi. Mungkin disuatu masa jika berpeluang akan cuba mendapatkannya. 

 

Friday, June 25, 2021

Buah Kurma Guni



Jika diimbas kembali tentang buah kurma akan teringat suatu masa dahulu ketika bulan Ramadan. Ketika itu buah kurma di "packing" dalam guni yang besar sebesar guni beras. Bila dijual akan ditimbang  dalam ukuran kati. Buah kurma yang didalam guni itu melekat erat dan sukar dan untuk dileraikan kerana "berjeket" antara satu sama lain. Untuk meleraikannya perlu di "takir" menggunakan kapak. Buah kurma ini juga amat keras dan tiada pilihan kerana ada hanya satu jenis sahaja. Walau pun kualitinya rendah tapi bila tamat bulan Ramadan ia habis terjual. Buah kurma ini untuk sedap dimakan biasanya akan digoreng bersalut tepung dan buahnya akan jadi lembut. Mungkin kini jarang lagi ada orang ingin menggorengnya kerana boleh jadi kini buahnya sudah berkualiti dan bermacam jenis dan bila digoreng sudah pasti tidak diketahui lagi kurma jenis apa samada yang mahal atau murah.  Itu lah kreativiti walau buah kurma berkualiti rendah tapi bila digoreng akan menjadikan ia berselera untuk dimakan dan menjadi satu menu lain pula.

Saturday, July 8, 2017

1. Jika melihat buah ini dimana-mana tempat akan teringat semasa di Sekolah Kebangsaan Bandar kedapatan pokok buah tar ini. Biasanya buah ini jatuh dengan sendiri macam buah kelapa dibawah pokok. Masa itu ada lebih kurang tiga empat pokok tar yang terletak berhampiran pinggir Bukit Tok Bidan. Disitu juga terletak gelanggang sepak raga/takraw juga ada kantin sekolah dan berhampiran pagar ada beberapa buah tandas. 
2. Kawasan sekitar pokok tar nampak bersih dan kemas. Pokok tar ini nampak subur dan sudah tinggi walau agak rendah sedikit dari pokok kelapa yg sudah tinggi dan batangnya lebih besar dari kelapa sawit. Pelepahnya tidak panjang macam kelapa dan kelapa sawit.  Jika hampir pertandingan‎ sepak takraw peringkan zon maka tempat ini akan jadi sibuk kerana pemain berlatih pada waktu petang. Selepas berlatih akan dapat pula makan bubur kacang merah dicampur dengan susu cair yang dimasak dalam periuk seperti kawah menggunakan kayu api.
3. Jika ada akativiti lain seperti petang dan malam hari tempat ini akan didirikan pondok/khemah tempat untuk be‎rmalam atau berkumpul waktu malam. 
4. Buah tar ini bila gugur tiada siapa yang peduli sebab tiada apa yang boleh dibuat dengannya untuk dijadikan bahan makanan atau minuman. Lagi pun tidak pernah melihat ada orang memanjat pokok ini untuk mengambil setandan dua buahnya. Ini bermakna buah ini tiada nilai komersil pada masa tersebut. 
5. Ada juga kadang-kadang jika terdengar iklan diradio berkenaan kegunaan minyak kelapa laut afrika ‎maka akan teringat buah ini yang terdapat disekolah tersebut‎. Jika kemana-mana kalau terjumpa minuman buah ini akan cuba untuk membelinya kerana keenakan rasanya. 

Saturday, July 9, 2016

Buku Besar

Kini buku besar‎ kalau disebut mungkin akan difahami buku yang besar saiznya. Jika disebut daging buku besar mungkin ada yang masih tahu tapi susah hendak melihatnya. Mungkin era 90an gulai daging ini telah jarang dihidangkan masa kenduri kendara. Begitulah zaman berubah cara hidang pun berubah dan menu pun juga berubah sedikit demi sedikit. 

Wednesday, August 8, 2012

Beras

Beras biasanya dimasak untuk menjadi nasi supaya boleh dimakan. Tapi dizaman budak beras ini ada yang memakannya walaupun agak keras. Lagipun bau beras ini bagi daku amat wangi sekali yang kadang-kadang disebabkan kewangiannya membuatkan beras ini ingin dimakan. Jadi untuk menghalang budak-budak makan beras maka orang-orang tua memberi pesan jangan makan beras nanti terkena penyakit kuning. Alasan ini ada juga logiknya.(25/07/12)

Friday, July 20, 2012

Kulat Sisir 3

Masakan yang sesuai untuk kulat ini ialah digoreang bersama telor dan boleh juga dimasak lemak kuning. Jika dipasar malalm dan lainnya ia dijual dan disukat menggunakan 'kopi' atau tin susu.

Wednesday, July 18, 2012

Kulat Sisir 2

Kulat ini jika diperhatikan mungkin hanya tumbuh dibatang getah yang telah mati.

Thursday, July 12, 2012

Kulat Sisir

Kulat sisir ini biasanya tumbuh diatas batang kelapa yang telah mati. Jika dahulunya selalu juga memakannya dan biasanya digoreng dengan telur. Jarang ia dimasak lemak atau lainnya.

Wednesday, January 25, 2012

Sarang Kerengga

Sarang kerengga biasanya terletak diatas pokok yang diperbuat dari daun pokok tersebut. Kerengga tidak seperti semut lain yang membuat sarang tidak diatas pokok dimana biasanya bahagian atas tanah. Apapun kerengga ini cuma akan jadi ancaman bila tiba musim buah kerana kesukaran untuk kita memanjat pokok seperti pokok duku, jambu, rambutan dan lainnya. Jika kita diserang selain digigit kerengga tersebut akan mengeluarkan sejenis cecair yang apabila terkena pada mata akan terasa pedih. Disebabkan jumlah mereka ini banyak maka jumlah cecair yang dipancarkan akan cepat mengena sasaran. Pernah juga diceritakan kerengga akan bertelur yang berwarna cerah keputihan dan telur tersebut ada yang memakannya. Sukar juga untuk membayangkan akan hal tersebut kerana kita sedari zaman bebudak tidak pernah memakannya dan apa khasiatnya tidak pula diketahui.

Wednesday, January 11, 2012

Batang Pisang

Batang pisang seperti ini yang telah siap dipotong-potong atau dicincang dengan menggunakan parang atau sadak adalah untuk dijadikan makanan lembu. Biasanya lembu jika lapar akan suka makan batang pisang ini. Walaupun adakalanya tidak dapat dihabiskan sebatang tapi cukuplah untuk mengenyang sementara lembu tersebut terutama jika dimusim bah yang sukar dicari rumput yang tempatnya banyak ditenggelami air. Untuk menyelerakan lagi lembu tersebut makan bolehlah direnjis-renjis dengan air garam atau sebarang air yang rasanya masin. Inilah antara aktiviti masa budak yang ada pengalaman sedikit memelihara lembu kampung dua tiga ekor. Walaupun kita budak-budak sibuk dengan pelbagai aktiviti seperti bermain, sekolah dan menolong ibu bapa sempat juga melayan memberi makan lembu yang dipelihara walaupun kadang-kadang ada ketikanya terlepas pandang memberi makan atau mengalih lembu tersebut.

Tuesday, November 29, 2011

Buah Stong

Buah ini dulunya banyak terdapat disekitar Kampung Dusun Buluh. Ianya kadang-kadang jatuh tidak berkutip dibawah pokok. Jika putik berwarna hijan dan masak akan berwarna kekuningan. Jarang orang memakannya tapi jika sudah masak dibelah dan dimakan isi bijinya yang warna putih rasanya manis dan isi buah pula kelat. Pokok buah ini seingatnya banyak terdapat dibelakang rumah Pak Mejah dekat rumah Cek Noh. Apa pun jika dibuat jeruk dimasuk kedalam botol besar dapatlah dijual kerana ada peminatnya. Tidak diketahui pula sekarang masih ada lagi kedapatan dipasaran buah jeruk stong.

Monday, August 1, 2011

Membuat Ragi

Bahan-bahan adalah seperti:

1. Lada Benar 2. Bawang Putih 3. Halia 4. Lada Burung 5. Lengkuas 6. Bunga Cengkih 7. Adah Manis (macam padi) 8. Jintan Putih 9. Cabang Bunga 10. Belaga Hendi 11. Kulit Kayu Manis 12. Adah Pedas 13. Akar kayu manis

Cara membuatnya:
Beras hendaklah ditumbuk menggunakan lesung tumbuk padi selepas itu hendaklah ditapis menggunakan penapis. Semua rempah ratus seperti dinyatakan perlu dimesin. Selepas itu masukkan air bertapis kedalam beras yang telah ditumbuk tadi dan
gaul dengan air tersebut. Setelah agak keras tepung tersebut dan ianya bolehlah dibulatkan menggunakan tangan dan dileperkan seperti bentuk ragi dan diletakkan didalam dulang seperti difoto.Selepas itu taburkan debu ibu ragi yang telah jadi tepung dengan ditumbuk dalam lesung iaitu ragi yang dibuat khas yang saiznya agak besar dengan ditabur atas tepung yang telah dibentuk jadi ragi tadi. Bila telah siap hendaklah ragi yang didalam dulang biru tadi diletak dalam kelambu selama 2 malam. Selepas itu jemur pula ditempat teduh pula 2 hari. Selepas itu dijemur pula dipanas matahari selama 3 hari pula. Kemudian ragi yang telah siap itu mesti dicuba untuk membuat
tapai. Jika telah berjaya baru lah boleh dijual dan sedikit daripadanya disimpan untuk dibuat ibu ragi.Serba sedikit maklumat ragi:

Ragi adalah bahan utama untuk menbuat tapai. Keunikan ragi ia tidak diperbuat dari gula tapi apabila menjadi tapai ia adalah manis. Untuk satu cupak beras hanya memerlukan sekeping lebih atau dua tiga keping ragi sahaja tapi apa yang pelik bagaimana secupak beras boleh menjadi manis. Inilah kelebihan ragi yang bahannya dari rempah ratus. Sebenarnya didalam rempah tersebut telah tersimpan bahan manis yang terdapat dalam masakan kita.
Bahan dan foto serta resipi membuat ragi ini disediakan oleh pembuat ragi yang bernama Awang Yang dan salah seorang penduduk Kampung Dusun Buluh yang telah menjalankan aktiviti ini berbelas tahun dahulu yang mana sebelum ini diusahakan dikampung isterinya didaerah Pasir Mas Kelantan. Beliau suami isteri mengusahakan membuat ragi ini. Membuat ragi ini memerlukan kepakaran dan faktor kebersihan juga amat perlu dijaga untuk menjamin mutu ragi dimana dikawasan rumah tidak boleh membela binatang ternakan seperti ayam dan sebagainya. Beliau juga menyatakan membuat ragi ini agak memenatkan memandangkan umur pun telah meningkat. Sekarang disamping membuat ragi beliau sentiasa mendapat tempahan tapai dalam kuantiti
yang banyak dari mereka yang akan mengadakan majlis kenduri. Oleh itu jika teringin memakan tapai pergilah kerumahnya dihujung Kampung Dusun Buluh sempadan Kampung Mata Ayer kerana biasanya setok tapai sentiasa ada.













Tuesday, July 26, 2011

Ragi

Ragi ialah bahan utama untuk membuat tapai samada ubi atau beras dan  juga untuk buat air tapai. Ragi ini dibuat secara tradisional dan perlu dipelajari dan memerlukan kemahiran tinggi tidak seperti membuat kuih. Ini kerana jika membuat kuih bila diadun dan dibakar ia akan tetap menjadi kuih apa yang membeza samada ia sedap atau tidak atau mungkin ia menjadi 100 peratus atau mungkin menjadi 70 peratus sahaja dari standard yang dikehendaki. Tapi bagi membuat ragi ia lagi rumit kerana jika campuran bahan ragi tidak betul maka tapai tidak akan menjadi walaupun cara membuat tapai sudah betul. Jadi setiap kali ragi dibuat pembuat akan mencuba dulu ragi tersebut dengan membuat tapai dan bila ia menjadi barulah boleh ragi dijual. Di Kelantan tidak ramai yang mengusahakan membuat ragi secara kecilan dirumah. Mungkin di posting akan datang akan dimuatkan cara-cara membuat ragi.

Saturday, June 4, 2011

Air Botol

Botol air saksi ini sejak dari dulu popular. Yang masih diingat suatu masa lama dahulu kisah air ini ialah ada seorang tetamu yang dikira dihormati telah datang kerumah maka air dari jenis dalam botol ini telah dihidang kepadanya. Air ini pula dihidang menggunakan cawan dan piring. Cuma waktu itu bukan air saksi tapi air oren warna kuning. Selepas tetamu beredar maka ada lebihan dalam botol maka daku sempat meminumnya. Alangkah enaknya air oren tersebut sehingga sekarang masih diingati.
Posted by Picasa

Thursday, January 27, 2011

Mengacau Shura



Aktiviti mengacau shura adalah acara tahunan. Kelihatan remaja Kampung Dusun Buluh nampaknya begitu tekun dalam misi menyiapkannya sehingga masak sambil diperhati rakan-rakan dan yang dewasa. Mungkin apabila sudah masak makan dalam tempurung dan masih panas tentu lebih enak. Tempat mengacau ini lokasinya disebuah laman sebuah rumah ditepi jalan dekat dengan rumah Seli, Pak Su Harun dan juga Mak Cik Yam.

Sunday, December 26, 2010

Pokok Serai Kayu


Pokok ini banyak kedapatan didalam belukar atau kebun buah-buahan. Pokoknya jika sudah besar ada mengeluarkan buah berwarna kehitaman jika sudah masak. Buahnya menjadi makanan burung dan juga boleh dimakan dan jika selepas dimakan gigi kita yang putih bertukar menjadi kehitaman kesan warnanya. Bagi pokok yang kecil dan rendah biasanya senang untuk diambil daunnya. Pucuknya atau yang belum tua boleh dibuat ulam. Jika dahulu ia menjadi bahan utama bersama daun kesum, pucuk daun mata ayam, serai batang juga kacang panjang untuk dihiris sebagai ulam. Dahulu nasi kerabu dikampung jarang digunakan taugeh juga kobis seperti sekarang. Pendek kata jika daun ini dijadikan salah satu ulam nasi kerabu nescaya menambah keaslian rasa nasi kerabu tersebut.