Kosmo! Online - Rencana Utama
Rantau Abang disumpah batu penyu?
Oleh HARADIAN SHAH HAMDAN
Kehadiran penyu bertelur di pantai Rantau Abang, Terengganu dikatakan ada kaitan dengan batu berbentuk penyu di atas Bukit Cik Hawa.
PAK NOR percaya penyu mendarat di pantai Rantau Abang kerana kewujudan sebuah batu menyerupai bentuk penyu di atas Bukit Cik Hawa.
KIRA-KIRA 20 tahun lalu, Mohamad Salleh, 64, atau lebih dikenali sebagai Pak Nor, boleh memungut lebih 9,000 biji telur penyu setiap malam di sekitar pantai Rantau Abang, Dungun, Terengganu.
Ketika itu biasanya dari bulan Jun hingga Oktober, rutin Pak Nor ialah berjaga hingga ke subuh menanti kehadiran penyu. Adakalanya jumlah penyu yang naik untuk bertelur mencecah 200 ekor setiap malam.
Hari ini, Rantau Abang hanyalah sebuah perkampungan biasa yang sunyi. Kadangkala pemandu yang melalui kawasan tersebut hampir terlupa ia pernah menjadi tumpuan ramai suatu masa dahulu.
Bagi bekas pemungut telur penyu seperti Pak Nor, pendaratan penyu selama ini kononnya dikaitkan dengan kewujudan sebuah batu menyerupai bentuk penyu di atas Bukit Cik Hawa di situ.
Walaupun ada yang menganggapnya sebagai tidak masuk akal, cakap-cakap mengenai 'hubungan' batu itu dengan kehadiran penyu tidak pernah dinafikan oleh golongan tua di kampung berkenaan.
Berdasarkan cerita dari mulut ke mulut, seekor penyu gergasi datang dari laut dan naik ke atas bukit tersebut. Ia akhirnya bertukar menjadi batu.
Penyu jantan dalam sungai
"Sejak kecil lagi saya dah dengar cerita mengenai batu itu. Orang kata, selama ini penyu datang bertelur di Rantau Abang kerana ada 'ibu penyu' di atas bukit itu," katanya membuka cerita.
Namun, sehingga kini tidak ada siapa tahu bila dan siapa yang menemui batu sepanjang kira-kira 3.5 meter tersebut.
Menurut Pak Nor, tahun 70-an dan 80-an dianggap sebagai kemuncak pendaratan pelbagai spesies penyu seperti agar, belimbing dan lipas di kawasan pantai berkenaan.
Calet dan rumah tumpangan penuh sesak dengan pelancong dari dalam dan luar negara. Mereka ghairah untuk melihat sendiri pelbagai jenis penyu merangkak naik ke pantai dan kemudian membuat lubang untuk bertelur.
"Waktu itu memang meriah, saya sendiri kerja sampingan mengutip telur penyu dengan upah RM100 setiap bulan selain kerja tetap sebagai nelayan," katanya.
Namun, kerancakan Pak Nor bercerita mengenai penyu terhenti seketika apabila ditanya mengapa kini kehadiran haiwan itu sekadar jadi kenangan di Rantau Abang.
"Ada orang percaya batu penyu itu sudah 'mati' dan rosak sebab dulu ramai yang datang melihat dan menyentuhnya. Sesetengah orang menganggap itulah punca penyu sudah tak datang lagi," katanya.
Ujarnya, sebelum ini batu tersebut berbentuk seakan-akan seekor penyu, namun lama-kelamaan ia mula hilang bentuk ekoran batunya mulai pecah dan diambil orang.
Menurut Pak Nor, sebenarnya ada dua buah batu penyu di Rantau Abang. Satu lagi tertanam di dalam sungai di laluan masuk ke Bukit Cik Hawa tetapi ramai yang tidak menyedarinya.
Ujarnya, walaupun ada usaha pihak tertentu mencari dan menaikkan batu tersebut, sehingga kini ia tidak berhasil, malah lokasi sebenarnya juga menjadi tanda tanya.
"Menurut cerita, batu penyu di dalam sungai itu adalah penyu jantan. Pasangannya ialah batu penyu di atas bukit yang merupakan penyu betina," katanya.
Pelancong buat maksiat
Selain teori kewujudan batu penyu tersebut, ada juga yang percaya 'kekotoran' yang dibawa oleh pelancong ke kawasan itu satu ketika dahulu mengundang padah kepada Rantau Abang.
GENERASI kini semakin sukar melihat penyu mendarat di Rantau Abang.Menurut seorang penduduk, Hanatrah Seman, 35, sesetengah penduduk percaya penyu enggan menjejakkan kaki ke kawasan itu kerana banyak aktiviti maksiat dan tidak sihat di kawasan itu pada masa itu.
"Dulu ada yang datang berpasangan dan minum arak semasa menginap di kawasan ini. Orang tua ada yang menyalahkan perbuatan tersebut punca kemunduran kawasan ini," kata pengusaha Kedai Makan Suhana ini.
Ujar Hanatrah, penyu pernah memberi kesenangan kepada keluarganya apabila kedai makan mereka mendapat keuntungan besar berikutan kehadiran pelancong pada musim penyu bertelur.
"Dulu kedai kami dibuka dari pukul 6 pagi sampai 5 pagi keesokannya sebab ramai yang datang untuk melihat penyu bertelur.
"Pada masa itu memang tak menang tangan melayan pelanggan dan boleh dapat sampai RM1,000 sehari. Bayangkan RM1,000 pada masa itu, memang besar nilainya," katanya.
Menurut Hanatrah yang mewarisi kedai itu daripada orang tuanya, pada masa ini bukan sahaja penyu sudah tidak kelihatan malah sukar untuk mendapat RM100 sehari walaupun berniaga sehari suntuk.
Bagaimanapun, sebagai generasi muda, Hanatrah mempunyai pandangan tersendiri mengenai kemerosotan jumlah penyu dan ia bukan semata-mata akibat 'sumpahan' batu penyu.
Baginya pencemaran dan penggunaan pukat oleh nelayan secara berleluasa adalah punca yang menyumbang kepupusan haiwan ter
No comments:
Post a Comment