Tuesday, April 26, 2011

Foto Pangkalan kiat

Apabila berkunjung ke Pangkalan ini baru-baru ini terdapat perubahan lokasi rakitnya jika dahulu berada disebelah kanan apabila tiba ditepi sungai tapi sekarang berada ditepi kiri pula.
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

Sunday, April 24, 2011

Menara Masjid Surau Kerawang


Menara masjid ini talah dibina terlebih awal lagi dari masjid yang ada sekarang. Mungkin ia dibina bersama dengan masjid kayu yang lama atau bersama masjid batu bersebelahan masjid baru sekarang. Menara ini agak tinggi dan bila mula-mula daku memanjatnya masa budak dahulu amat terasa ketinggian maklumlah masa tersebut inilah kali pertama menaiki bangunan tinggi. Untuk menaikinya perlu menggunakan anak tangga berputar tapi jumlahnya tidak pula teringat untuk dikira untuk sampai keatas. Jika berada diatasnya akan dapat melihat pemandangan sekitar terutama kawasan perkuburan. Jika berada ditempat duduk diatas boleh memuatkan tiga empat orang bebudak dan terdapat pembesar suara dipasang disitu. Agak rugi juga jika tidak pernah berada diatas bangunan tinggi ini terutamnya bagi yang berada disekitarnya. Bangunan ini ada nilaui sejarah jika diberi perhatian dan dipromosikan.

Sunday, April 17, 2011

Seludang Buluh

Mungkin nama seludang tidak tepat untuk menamakan benda ini. Tapi itulah nama yang difikirkan agak sesuai. Ianya terletak dibatang buluh. Apabila telah tua ia akan tanggal dengan sendirinya. Kegunaan pada kita bebudak boleh dibuat alat esoseri basikal dimana akan menggunakan pisau dengan bentuk dan saiz yang sesuai. Bila telah siap akan diikat ke perangan basikal bahagian belakang dengan mengenakan kebahagian lidinya. Apabila basikal berjalan lidinya akan melanggar seludang tersebut dan akan mengeluarkan bunyi yang kuat. Seludang ini terdapat padanya miang buluh dimana lain pula kegunaannya jika ada.
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

Monday, April 11, 2011

Kien Nam Sand and Supply

Pembekal pasir Kien Nam ini terletak Kampung Bagan Mata Ayer Pulai Chondong. Aktiviti mengambil pasir ini dilakukan di Sungai Kelantan. Jika dahulu aktiviti yang sama dijalankan di Kampung Pasir Bandar tetapi tidak lagi aktif buat masa sekarang.



Monday, April 4, 2011

Kedai Getah


Kedai Getah ini jika datang dari arah Pangkal Gong ianya terletak disebelah kiri jalan selepas simpang cabang empat depan rumah Tok Imam Sat. Sekarang kedai ini terbiar tidak digunakan lagi.  Suatu masa dahulu kedai ini membeli getah keping dari penduduk setempat. Pengendali kedai ini ialah Pak Muda yusof. Pak Muda pun telah meninggal lebih kurang 10 tahun yang lalu. Dahulu urus niaga membeli dan menjual getah keping akan dilakukan samada oleh pembeli yang akan datang kerumah penoreh dan jarang mereka akan pergi kekedai getah. Pembeli getah tadi pula akan kekedai getah. Jadi kedai getah Pak Muda dikira membeli jumlah getah yang banyak dari penjual kecil-kecilan yang membeli menggunakan basikal. Kita waktu tersebut biasanya akan tahu bila pembeli akan datang membeli dan antara perbualan ialah samada harga getah naik atau jatuh.

Monday, March 28, 2011

Bukit Tok Bidan


Bukit Tok Bidan terletak berhampiran Sekolah Kebangsaan Bandar. Semasa bersekolah di sinii dahulu bukit ini kerap juga dinaiki biasanya pada waktu petang selepas waktu sekolah. Apa yang istimewanya bukit ini pada kami waktu itu. Yang istimewanya ialah mungkin inilah satu-satu bukit yang terdapat disekitar Kampung Dusun Buluh juga ianya berdekatan dengan sekolah. Didalam hutannya pula terdapat pokok berangan dan kadang-kadang terdapat buahnya bila melalui dibawah pohonnya. Bukit ini tidaklah tinggi sangat tapi terdapat pelbagai jenis pokok. Lagi tarikan bukit ini ialah ianya dikira satu tempat yang agak mencabar juga untuk diterokai dimana seingat daku hanya budak lelaki yang berani kesana. Ianya barangkali tidak sesuai untuk budak perempuan bermain-main didalamnya. Lain-lain kisah misteri (maklumlah namanya pun Tok Bidan) jika ada pun tentang bukit ini sudah tidak diingati lagi. Mungkin orang Kampung Bandar mengetahuinya.

Monday, March 21, 2011

Guan Pomen Kereta Mata Ayer


Beliau tinggal di Kedai Mata Ayer sederet dengan kedai Mek Baru. Beliau berbangsa cina dan merupakan seorang pomen membaiki kereta. Dahulu beliau membaiki kereta dihadapan rumahnya dan kemudian sekitar tahun 1995 mula membuka kedai membaiki kereta di bandar Kok Lanas dekat Kem Desa Pahlawan. Pada sekitar tahun 2006 ketika berusia 50 tahun beliau ditimpa serangan angin ahmar (stroke) dan semenjak itu beliau terlantar. Sekarang beliau sudah pulih tapi tidak lagi menyambung kerja yang pernah dilakukan dahulu tapi dikira aktif kekebun beliau dekat Kampung Kubang Tebit. Beliau mempunyai 5 orang anak dan bercucu. Dalam perbualan dengannya untuk pulih dari serangan penyakit ini beliau sentiasa mendapat khidmat urut tradisional dan sentiasa berusaha dan berikhtiar untuk sembuh. Dan sepanjang tempoh  terlantar beliau amat ingin sekali berjumpa dengan kenalan. Apa pun beliau kini gembira dan kelihatan ceria bersama keluarga serta  didampingi cucu-cucu. Semoga beliau sentiasa ceria serta tabah menempuh hidup dihari muka.

Tuesday, March 15, 2011

Kedai Awang Mata Ayer

 Inilah suasana didalam kedai runcit yang dikenali Awang yang berbangsa cina di Kampung Mata Ayer. Barangan untuk jualan ada yang kelihatan terletak dilantai dan ada yang bergantungan dan juga di rak. Awang yang sentiasa ditemani isteri yang dipanggil Mek Awang


telah lama berniaga disini. Keadaan kedai beliau dari dulu sampai sekarang kelihatan tidak berubah dan mungkin akan dikekalkan sedemikian. Mungkin juga mereka ini akan mengendalikan kedai ini hingga keakhir hayat dan selagi sihat. Jika bersembang dengan mereka banyak cerita lama yang akan diceritakan. Antaranya jika dahulu jika ingin membeli gas memasak kena membelinya dibandar dengan mengirimkannya kepada pemandu bas yang dikenali Paksu  Harun. Apapun kebanyakan ceritanya mereka lebih suka menceritakan perihal anak-anak yang sudah dewasa yang masing-masing telah bekerja.

Sunday, March 6, 2011

Kedai Mee Rebus


Dihujung Gertak Kemubu yang merentangi tali air Rumah Pam Utama terdapat sebuah kedai runcit dan juga kedai mee rebus. Disuatu ketika dahulu kami budak-budak jika pada waktu malam sekali sekala jika teringin makan mee maka Kemubu adalah salah satu tempat pilihan. Kedai ini sampai sekarang masih ada dan tidak pasti pula sekarang masih beroperasi atau tidak. Kedai ini juga berada ditempat strategik juga kerana ia akan dilalui untuk ke Pangkal Kalong dan Kampung Durian Hijau. Dimasa tersebut terdapat dua kedai mee satu lagi dihujung gertak dekat Kampung Bandar tapi kedai tersebut sudah tiada.

Sunday, February 27, 2011

Pemandangan Bukit Buloh


Bukit Buloh sudah tidak asing lagi kepada penduduk Pulai Chondong dan sekitarnya. Ini kerana bukit tersebut kelihatan berwarna batu bukit putih keperangan. Bukit ini telah ditarah setelah dijadikan kuari. Mungkin bukit ini mula diteroka seawal tahun 60an lagi. Mungkin suatu masa nanti bukit ini akan hilang dari pandangan. Walaubagaimanapun industri ini banyak memberi peluang pekerjaan kepada anak tempatan. Jika dahulu setiap hari Jumaat dikawasan bukit ini jika hampir waktu Zuhur jam 12 tengah hari akan kedengaran letupan kuat atau sebedo untuk memecahkan batu. Dahulu terdapat juga aktiviti mencari batu permata disini hingga ada yang terkorban nyawa kerana tertimbus pasir/batu. Sedikit sebanyak keindahan pemandangan sawah padi berlatarkan bukit yang kehijauan terjejas. Namun bukit ini sudah lama menjadi mercu tanda Pulai Chondong atau trademark bagi mereka yang berkenderaan melalui jalan raya.

Wednesday, February 23, 2011

Penapis

Penapis ini digunakan untuk menapis susu getah apabila dituang dari dalam baldi kedalam palung getah. Bahan untuk membuat penapis adalah dari paku pakis serta rumput dan lain-lain daun yang sesuai. Susu getah perlu ditapis agar tiada bahan yang tidak perlu bercampur dengannya dan ini akan mengurangkan mutu getah. Walaupun ditapis kadang-kadang berlaku juga ada benda asing yang termasuk kedalam palung dan bila hendak dimesin perlu dibuang benda tersebut dan sedikit sebanyak akan mencacatkan getah keping tersebut tetapi bila dimesin dengan mesin getah bunga akan menghilangkan kesannya. Begitulah telitinya orang dahulu menjaga mutu getah keping. Sekarang semua proses tersebut tidak perlu lagi cukup dengan hanya dibekukan dalam bekas plastik dan terus dijual.