1. Apa yang boleh ditulis jika melihat gambar seperti disertakan. Gambar ini mengimbau kenangan ketika belajar disekolah rendah. Apapun gambar ini mungkin diambil ditahun 60an dan tidak diketahui disekolah mana hanya terjumpa dimedia sisial.
2. Jika diimbau pernah penulis semasa hendak kesekolah memang menggunakan beg raga seperti digambar tersebut. Didalam beg raga buku yang diisi tidak banyak dan tidak berat. Ia cuma beberapa buah buku latihan sahaja. Dahulu tiada banyak buka bacaan dan adalah sebuah dua. Kalau hendak membaca kena pergi keperpustaan biasanya dan disana pun tidak banyak buku. Bukunya pula banyak buku cerita yang nipis-nipis sahaja. Buku cerita rakyat dan kisah binatang dan kisah nabi-nabi.
3. Baju seperti digambar biasanya dibeli di bandar Pasir Mas dan jumlahnya tidak lebih dua helai atau satu helai sahaja itu pun dibeli baru biasanya sebelum hari raya tiba. Masih diingat lagi jenamanya ialah cap udang dan kain kapas dan mutunya kain dan jahitan agak rendah berbanding yang ditempah yang biasanya dikenali kain 'dekron'. Baju yang ditempah 'dabar'nya atau kolarnya agak tebal dan keras berbanding yang dibeli nipis. Baju ini jarang berjumpa dengan nila dan berwarna sedikit kekuningan. Baju itu juga tidak berjumpa dengan seterika kerana seterika pun tiada. Jadi baju sentiasa berkedut. Tapi itu tidak menjadi satu kesalahan sangat kerana sesuailah dengan zaman dan suasana masa tersebut dimana apa yang penting berpakaian seragam sekolah yang lengkap walau tiada bersetokin.
4. Seluar pendek pula adalah serbaguna dimana itulah seluar sekolah dan itu juga seluar kegunaan hari lainnya. Jumlah seluar pun tidak banyak mungkin sehelai mungkin dua helai sahaja. Seluar itu akan digunakan semaksima mungkin dan jika haus dan koyak dibahagian punggung selagi boleh ditampal akan ditampal. Jadi tiada pernah berlaku pembaziran penggunaan. Jadi kalau dibeli masa baru akan dipastikan beli saiz yang agak besar supaya dapat dipakai lama dan tidak ketat. Seluar pendek sekolah tiada penggunaan ikat pinggang. Tapi kadang-kadang jika dibeli ada disertakan fesyen yang ada pacat maka biasanya akan berangan-angan bila ada peluang dapat membeli tali pinggang. Pernah diingati pernah beli ikat pinggang di kedai Mek Bari Mata Ayer dan rasanya serasa bergaya sakan masa tersebut. Apa yang tidak menariknya perkara itu diketahui oleh Mek (ibu) dimana ia bertanya beli dimana dan berapa harganya. Mek tidak berapa merestui pembelian tersebut kerana maklumlah dengan duit tersebut dapat digunakan untuk beli benda lain yang lebih berfaedah. Dan ada juga Mek sarankan supaya pulangkan balik ikat pinggang tersebut kekedai dan ambil balik duitnya. Tapi saranan tersebut tidak dipenuhi dan beberapa hari kemudian mek pun lupa perkara tersebut kerana ia tidak bertanya lagi. Dan memang mek ada melarang beli tapi mek bukan jenis seorang yang suka beleber (leter). Jarang dan tidak pernah mek berleter mungkin dia tidak pandai berleter macam orang sekarang atau beliau tiada masa untuk berleter kerana masanya penuh dengan kerja. Tapi mek akan berkomuniksi apabila ada sesuatu yang hendak disuruh sahaja. Apa yang disuruhnya seperti pergi ambil air ditelaga, kutip daun ulam untuk jualan nasi kerabu, pergi ambil daun pisang dirumah Pak Kob, pergi alih lembu, pergi hantar nasi kuih kesekolah, pergi mengaji alquran, pergi tolong masak memasak kuih muih untuk jualan, pergi kutip susu getah yang siap ditoreh, pergi kesungai Pengkalan Kiat ambil barang-barang yang dibeli di Pasir Mas, pergi jual kuih ditempat sekian-sekian, pergi ambil kayu api, pergi tolong pegang ayam hendak disembelih, pergi curahkan air panas kebadan ayam yang baru disembelih, pergi mesin kelapa dikedai Awang Mata Ayer dan ada lagi suruhan-suruhan lain. Biasanya kalau suruhan yang sudah jadi rutin harian akan dibuat tanpa banyak soalan kerana sudah biasa. Jadi rasanya banyak sudah suruhan-suruhan mek telah dilakukan walau mungkin ada yang kurang memuaskan hati beliau maklumlah apalah sangat kualiti yang dihasilkan oleh seorang budak.
5. Apapun setiap suruhan atau kerja yang dibuat banyak melibatkan yang diluar rumah. Biasanya kerja yang diluar rumah seronok dilakukan. Tapi jika yang melibatkan suruhan didalam rumah agak membosankan dan tidak digemari.
6. Itulah serba sedikit kisah pakaian sekolah dimasa budak hingga berlarutan kisah kepada hal-hal lain yang tiada kaitan dengan pakaian. Semua itu sudah jadi kenangan abadi. Jika difikir dan dikenang walaupun kita seorang budak yang serba kekurangan tapi adalah juga sumbangan bakti kita kepada ibu bapa dalam membantu mereka dalam kerja seharian mencari rezeki dan kita merasakan mereka pun mungkin bersyukur juga atau sumbangan tersebut. Dan kita pun memang tidak dapat membalas jasa mereka membesarkan kita sesuai dengan zaman dan masa tersebut.
No comments:
Post a Comment